Kisah Lee Choon Jae: Bagaimana Pembunuh Bersiri Hwaseong Akhirnya Ditangkap Selepas 30 Tahun

Lee Choon Jae

     Kes pembunuhan bersiri Hwaseong yang berlaku antara tahun 1986 hingga 1991 merupakan salah satu episod paling hitam dalam sejarah jenayah moden Korea Selatan. Selama lebih tiga dekad, identiti si pembunuh yang meragut nyawa wanita-wanita tidak bersalah di kawasan luar bandar itu kekal misteri hingga mencetuskan ketakutan skala nasional dan menjadi inspirasi kepada filem thriller ikonik arahan Bong Joon-ho, Memories of Murder (2003). Namun pada tahun 2019, misteri yang menyelimuti daerah Hwaseong akhirnya terbongkar apabila sains forensik moden berjaya mendedahkan nama seorang lelaki yang selama ini bersembunyi di sebalik tirai besi atas jenayah lain iaitu Lee Choon Jae.

     ​Rentetan pembunuhan ngeri ini bermula di Hwaseong, sebuah wilayah pertanian di Gyeonggi yang ketika itu sedang pesat membangun tetapi masih dipenuhi laluan sawah bendang yang gelap dan sunyi pada waktu malam. Mangsa pertama yang ditemui merupakan seorang wanita warga emas berusia 71 tahun disusuli oleh rantaian mangsa lain yang merangkumi pelbagai lapisan usia termasuk remaja perempuan berumur 13 tahun hinggalah suri rumah. Modus operandi Lee Choon Jae sangat konsisten dan kejam. Dia sengaja menghendap mangsa yang berjalan sendirian pada waktu lewat malam atau awal pagi sebelum menyerang mereka secara agresif. Selepas merogol mangsa, Lee akan mengikat tangan dan kaki mereka menggunakan pakaian milik mangsa itu sendiri seperti stoking, seluar dalam atau skaf sebelum mencekik mereka sehingga mati. Kekejaman Lee Choon Jae turut melangkaui pembunuhan apabila sebahagian mayat mangsa ditemui dalam keadaan ngeri dengan objek-objek asing sengaja dimasukkan ke dalam tubuh mereka.

    ​Siasatan ke atas kes Hwaseong ini mencatatkan rekod sebagai salah satu operasi polis terbesar dan paling mengecewakan di Korea Selatan. Memandangkan teknologi forensik dan profil jenayah pada era 1980-an di negara itu masih berada di tahap primitif, pihak polis sebahagian besarnya hanya bergantung kepada kekuatan tenaga kerja dan kaedah siasatan tradisional. Lebih daripada dua juta anggota polis dikerahkan sepanjang tahun-tahun siasatan tersebut dengan senarai suspek dan individu yang disoal siasat mencecah angka melebihi 21 000 orang. Pihak berkuasa turut mengumpul ratusan sampel cap jari dan helaian rambut namun tiada satu pun yang membawa kepada penangkapan pembunuh sebenar.

     ​Ketakutan pemduduk dan tekanan politik yang memuncak akhirnya membawa kepada salah satu insidien kehakiman paling memilukan dalam sejarah negara tersebut. Pada tahun 1989, pihak polis telah menahan seorang lelaki berusia 22 tahun bernama Yoon Sung-yeo atas tuduhan melakukan pembunuhan kelapan dalam siri tersebut yang melibatkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun. Yoon yang mengalami kecacatan fizikal akibat polio sejak kecil telah diseksa secara mental dan fizikal semasa sesi soal siasat tanpa henti hingga dia terpaksa menandatangani pengakuan palsu. Akibatnya, Yoon dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Walaupun dia sentiasa menegaskan bahawa dirinya tidak bersalah dari dalam penjara, rayuannya sering kali tidak diendahkan. Dia terpaksa merentasi tempoh 20 tahun penderitaan di sebalik jeruji besi sebelum akhirnya dibebaskan secara parol pada tahun 2009.


Yoon Sung-yeo

     ​Apabila kes pembunuhan Hwaseong terhenti secara tiba-tiba selepas kematian mangsa kesepuluh pada April 1991, pihak polis mengesyaki bahawa pembunuh tersebut berkemungkinan besar telah meninggal dunia atau dipenjarakan atas kesalahan lain. Tekaan tersebut ternyata benar. Pada Januari 1994, Lee Choon Jae telah ditangkap di bandar Cheongju selepas melakukan pembunuhan ngeri yang menyasarkan ahli keluarganya sendiri. Berang selepas ditinggalkan oleh isterinya akibat tabiat panas baran serta keganasan rumah tangga, Lee Choon Jae telah memperdaya, merogol dan membunuh adik ipar perempuannya yang baru berusia 18 tahun. Mayat remaja tersebut kemudiannya dibuang di sebuah tapak pembinaan berhampiran. Disebabkan jenayah berat itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Lee Choon Jae dan dia dipindahkan ke Penjara Busan. Di sana, Lee Choon Jae berjaya menyembunyikan personaliti psikopatnya dengan mempamerkan imej sebagai banduan contoh yang sopan, rajin dan mahir dalam pembuatan kraf tangan.

     ​Ketika Lee Choon Jae sedang menjalani hukumannya dengan tenang, misteri yang ditinggalkannya di luar sana terus menghantui pemduduk hinggalah pengarah Bong Joon-ho mengabadikan kisah tersebut ke dalam filem Memories of Murder pada tahun 2003. Filem yang dibintangi oleh Song Kang-ho sebagai Detektif Park Doo-man itu ditutup dengan sebuah babak akhir yang sangat ikonik dan penuh dengan metafora. Dalam babak tersebut, Detektif Park yang telah bersara melawat semula parit lokasi pembunuhan pertama dan diberitahu oleh seorang budak perempuan bahawa ada seorang lelaki berwajah biasa-biasa sahaja baru sahaja datang ke situ untuk mengimbau kenangan lalu. Menyedari bahawa pembunuh itu bukanlah lelaki bermuka bengis, Detektif Park kemudian berpaling sebelum merenung tepat ke arah lensa kamera. Renungan tajam, hiba dan penuh dendam itu sengaja dicipta oleh pengarah kerana dia tahu psikopat gemar menonton karya tentang jenayah mereka sendiri menjadikannya satu mesej langsung kepada pembunuh sebenar yang dipercayai sedang menonton di luar sanam "Aku tahu kau sedang melihat, dan aku tidak akan berhenti mencari kau."

     ​Ironinya semasa filem itu meletup di pawagam pada tahun 2003, Lee Choon Jae sememangnya tidak dapat menontonnya di skrin besar kerana sudah pun berada di dalam penjara. Walau bagaimanapun, pihak pengurusan penjara mendedahkan bahawa filem tersebut pernah ditayangkan di televisyen penjara beberapa kali. Rakan-rakan sel menyatakan bahawa Lee Choon Jae yang terkenal sebagai banduan pendiam langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi pelik, emosi atau kegelisahan setiap kali berita mahupun filem mengenai kes pembunuhan bersiri Hwaseong ditayangkan di hadapan matanya. Dia berjaya menyimpan rahsia gelap itu dengan begitu rapi di sebalik wajah orang biasa yang digambarkan dalam filem berkenaan.

     ​Tiga dekad berlalu sejak kes pertama dan kes Hwaseong hampir diklasifikasikan sebagai kes fail sejuk (cold case). Malah tempoh had masa undang-undang asal bagi kes pembunuhan di Korea Selatan sepatutnya telah tamat. Namun satu anjakan undang-undang berlaku pada tahun 2015 melalui pengenalan Undang-Undang Taewan yang memansuhkan sepenuhnya tempoh had masa bagi kes pembunuhan kejam tahap pertama sekali gus membolehkan kes-kes lama dibuka semula tanpa had masa. Pada Julai 2019, unit fail sejuk Agensi Polis Wilayah Gyeonggi Nambu mengambil keputusan untuk menggunakan kemajuan sains forensik terkini. Mereka menghantar bahan bukti pakaian yang tersimpan rapi sejak era 1980-an termasuk seluar dalam salah seorang mangsa ke Perkhidmatan Forensik Kebangsaan untuk menjalani ujian DNA sensitiviti tinggi yang tidak wujud pada waktu jenayah itu berlaku.

      ​Keputusan analisis makmal tersebut mengejutkan apabila profil DNA yang diekstrak daripada bahan bukti tersebut sepadan 100% dengan pangkalan data profil milik Lee Choon Jae. Berhadapan dengan bukti saintifik yang mutlak, pasukan penyiasat dan pakar profil jenayah mula menjalankan soal siasat secara intensif ke atas Lee Choon Jae di dalam penjara. Selepas beberapa sesi penafian awal, Lee Choon Jae akhirnya mengalami perubahan psikologi lalu mula membuat pengakuan secara terbuka pada akhir tahun 2019. Pengakuannya jauh lebih mengerikan daripada apa yang dijangkakan oleh pihak polis. Lee Choon Jae bukan sahaja mengaku bertanggungjawab ke atas sembilan pembunuhan dalam kes bersiri Hwaseong tetapi turut mengesahkan bahawa kes kelapan, kes yang menyebabkan Yoon Sung-yeo meringkuk di penjara selama dua dekad akibat penyiksaan polis adalah juga perbuatannya sendiri.

     Lebih mengejutkan, Lee Choon Jae mendedahkan bahawa dia telah melakukan lima lagi pembunuhan tambahan di sekitar Hwaseong dan Cheongju yang sebelum ini tidak pernah dikaitkan oleh pihak polis dengan kes bersiri tersebut menjadikan jumlah keseluruhan mangsa pembunuhan kejamnya adalah seramai 14 orang wanita. Selain pembunuhan, dia turut mengaku telah melakukan lebih daripada 30 jenayah rogol dan cubaan rogol sepanjang tempoh keganasannya. Pengakuan rasmi Lee Choon Jae ini bukan sahaja merungkai misteri Hwaseong bahkann mencetuskan semakan semula kehakiman bagi kes Yoon Sung-yeo. Pada November 2020, Lee Choon Jae hadir sebagai saksi di mahkamah dan secara terbuka memohon maaf kepada Yoon serta keluarga mangsa yang lain dengan menyatakan bahawa dia sendiri hairan mengapa pihak polis mengambil masa yang begitu lama untuk menangkapnya. Sebulan kemudian, Mahkamah Daerah Suwon secara rasmi membersihkan nama Yoon Sung-yeo daripada segala tuduhan.

     ​Di sebalik pembongkaran kebenaran ini, terdapat satu ironi undang-undang yang menimbulkan kemarahan orang awam. Walaupun Lee Choon Jae telah mengaku membunuh 14 orang secara kejam, dia secara teknikalnya tidak boleh didakwa, dituduh atau dijatuhkan hukuman mati bagi kesemua 14 kes tersebut. Hal ini kerana jenayah-jenayah berkenaan dilakukan sebelum tahun 1991 yakni bermakna tempoh had masa undang-undang bagi kes-kes tersebut telah pun luput sepenuhnya sebelum pindaan undang-undang tahun 2015 dibuat memandangkan undang-undang baharu tidak boleh dikuatkuasakakan secara retroaktif ke atas kes yang tempoh had masanya sudah pun tamat sebelum tahun 2015. Walau bagaimanapun, rakyat Korea Selatan tidak perlu bimbang akan kebebasannya kerana Lee Choon Jae disahkan akan terus menghabiskan baki seluruh hidupnya di dalam penjara tanpa sebarang peluang parol berdasarkan hukuman penjara seumur hidup yang sedang dijalaninya atas kes pembunuhan adik iparnya pada tahun 1994. 

Catat Ulasan for "Kisah Lee Choon Jae: Bagaimana Pembunuh Bersiri Hwaseong Akhirnya Ditangkap Selepas 30 Tahun"