Kisah Pembunuhan Kejam Rosiya Aprilia


    Pada tahun 2024, seorang wanita guru muda cantik bernama Rosiya Aprilia di daerah Mesuji, Lampung, Indonesia telah menjadi mangsa pembunuhan kejam. 
Rentetan kejadian menyayat hati ini bermula pada petang Khamis, 25 Januari 2024, di kawasan kuarters guru Sekolah Dasar Negeri (SDN) 8 Tanjung Raya yang terletak di Desa Buha Kencana, Kecamatan Tanjung Raya, Kabupaten Mesuji. 

    Pada sekitar jam 5:00 petang, suasana damai di kuarters tersebut bertukar menjadi huru-hara apabila seorang rakan sekerja mangsa yang juga menghuni premis sama pulang ke rumah. Menyedari pintu bilik Rosiya tidak berkunci, saksi bertindak masuk dengan niat untuk mengajak mangsa keluar bersiar-siar. Walau bagaimanapun, saksi disambut dengan pemandangan yang mengerikan apabila mendapati Rosiya (25 tahun) terbaring kaku di atas katilnya dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelaran yang sangat dalam pada bahagian leher.


     Pihak polis bersama unit forensik yang menerima laporan kecemasan segera bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan secara saintifik dan mengumpul bahan bukti. Dalam tempoh kurang daripada tiga jam selepas mayat mangsa ditemui, pihak berkuasa berjaya menjejaki, mengepung dan menahan suspek utama. Penangkapan itu ternyata mengejutkan seluruh penduduk kampung dan warga sekolah kerana suspek yang ditahan ialah Andre Armanda, seorang pemuda berusia 22 tahun yang merupakan tunang mangsa sendiri dan dijadualkan bakal bernikah dengan mangsa pada masa terdekat.

     Melalui proses soal siasat yang dijalankan secara intensif dan mendalam oleh pihak penyiasat, motif sebenar di sebalik tindakan kejam Andre akhirnya berjaya dirungkai satu per satu. Pembunuhan ini didorong oleh api cemburu yang meluap-luap digabungkan dengan rasa sakit hati yang terpendam. Berdasarkan kenyataan rasmi daripada pihak polis Mesuji, Andre mengaku dia kerap diserang rasa cemburu kerana mengesyaki tunangnya mempunyai hubungan dengan lelaki lain selain mendakwa mangsa sering melakukan panggilan video secara sembunyi. Keadaan menjadi semakin parah apabila rancangan perkahwinan mereka terpaksa ditangguhkan. Mangsa meminta penundaan tersebut atas alasan yang munasabah iaitu untuk mengumpul bajet dan membuat persiapan kewangan yang lebih kukuh. Namun ego Andre tercalar. Dia tersalah tafsir keputusan itu sebagai satu bentuk penghinaan dan menganggapnya sebagai helah Rosiya untuk membatalkan perkahwinan mereka.


     Siasatan lanjut membuktikan bahawa pembunuhan ini bukanlah satu tindakan spontan tetapi sebaliknya merupakan sebuah pembunuhan terancang. Beberapa hari sebelum kejadian, Andre telah pun membeli sebilah pisau di pasar tempatan dan menyembunyikannya di dalam ruang simpanan bawah tempat duduk motosikalnya sambil merancang masa yang paling sesuai untuk bertindak. Pada hari kejadian, suspek sengaja datang ke kuarters tersebut selepas memastikan sesi persekolahan telah tamat dan keadaan sekeliling sunyi. Mengambil kesempatan ketika Rosiya sedang tidur keletihan di biliknya, Andre menyelinap masuk lalu menyerang mangsa tanpa belas kasihan. Kelaran dalam pada leher tersebut disahkan oleh pakar perubatan forensik sebagai punca utama kematian serta-merta akibat pendarahan kritikal yang memotong saluran pernafasan mangsa.

      Apa yang membuatkan ramai pihak lebih berang adalah tindakan berdarah dingin yang ditunjukkan oleh suspek sejurus selepas melakukan pembunuhan tersebut. Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, Andre sempat menukar pakaiannya yang penuh dengan kesan darah, mencuci tangannya serta menyembunyikan senjata pembunuhan di lokasi rahsia. Malah dengan penuh kepura-puraan, dia kembali semula ke kuarters tersebut dan menyertai orang ramai serta jiran tetangga yang sedang berkerumun di luar rumah mangsa. Menerusi reaksi wajah tanpa rasa bersalah, Andre berlakon menangis kononnya amat terkejut dan hancur luluh dengan kematian tragis bakal isterinya itu. Helah licik itu bagaimanapun gagal melepasi ketajaman dikesan forensik. Pihak polis menemui kejanggalan pada alibi suspek serta bukti fizikal mikro yang melekat pada tubuhnya sekali gus meruntuhkan lakonan tersebut dan memaksanya mengaku kalah.


    Akibat perbuatan kejamnya ini, Andre Armanda telah didakwa secara rasmi di bawah Pasal 340 Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) Indonesia mengenai pembunuhan terancang yang digabungkan bersama Pasal 338 KUHP tentang pembunuhan sengaja. Di bawah sistem perundangan Indonesia, sabitan kesalahan bagi pembunuhan terancang membawa hukuman paling maksimum iaitu hukuman mati atau penjara seumur hidup. 

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Rosiya Aprilia"