Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Hilang 22 Hari: Kebenaran di Sebalik Kisah Palsu Penculikan Sherri Papini


     Keith dan Sherri Papini merupakan pasangan suami isteri dari bandar kecil Redding, California, Amerika Syarikat. Mereka tinggal bersama dua orang anak dan dikenali dalam kalangan jiran sebagai pasangan yang kelihatan bahagia. Sherri merupakan seorang suri rumah manakala Keith bekerja dalam bidang teknologi. Tiada sebarang latar belakang yang mencurigakan tentang keluarga ini sehinggalah satu kejadian pada tahun 2016 mengubah segalanya.

     Pada 2 November 2016, Sherri dilaporkan hilang oleh Keith. Menurut laporan, Sherri tidak pulang selepas keluar berjoging seperti biasa. Keith menjadi bimbang apabila menemui telefon bimbit dan fon kepala Sherri di tepi jalan berdekatan laluan jogging, dengan beberapa helai rambut ditemui bersama. Dia kemudian menghubungi pihak berkuasa dan membuat laporan polis. 

     Operasi pencarian besar-besaran dijalankan melibatkan polis tempatan, FBI dan sukarelawan. Orang awam juga memainkan peranan dengan berkongsi maklumat dan poster kehilangan Sherri di media sosial. Keith turut membuat beberapa penampilan media untuk merayu kepada umum agar membantu mencari isterinya. Simpati terhadap keluarga ini sangat tinggi dan ramai percaya bahawa Sherri telah menjadi mangsa penculikan secara rawak.


     Selepas 22 hari hilang yakni pada 24 November 2016, Sherri dijumpai dalam keadaan kurus, lebam dan pergelangan tangan dirantai di tepi jalan berhampiran Yolo County, California. Dia mendakwa telah diculik dan dikurung oleh dua wanita Hispanik yang bercakap dalam bahasa Sepanyol. Sherri juga menyatakan bahawa dia telah dipukul dan didera sepanjang tempoh itu. Laporan awal perubatan menunjukkan terdapat beberapa kecederaan ringan dan lebam pada tubuhnya yang seolah-olah mengesahkan ceritanya.

     Kes penculikannya mendapat liputan besar. Sherri dilihat sebagai mangsa jenayah yang kejam dan berjaya selamat. Keith pula digambarkan sebagai suami penyayang yang tidak berputus asa mencari isterinya. Sherri tidak memberikan keterangan terperinci kepada media tetapi bekerjasama dengan pihak penyiasat. Dia melukis gambaran kasar tentang dua wanita Hispanik yang kononnya menculiknya. Walau bagaimanapun, gambaran itu terlalu umum dan tidak membantu siasatan secara signifikan.

     Dalam tempoh seterusnya, siasatan mula menemui beberapa keraguan. Antara perkara yang mencurigakan ialah keputusan ujian DNA yang dijalankan ke atas Sherri dan barang peribadinya. Satu profil DNA lelaki yang tidak dikenali ditemui pada barang milik Sherri. DNA itu tidak sepadan dengan Keith dan tidak dikenal pasti dalam mana-mana pangkalan data jenayah pada waktu itu. Ini menimbulkan persoalan kerana Sherri tidak pernah menyebut tentang kewujudan lelaki semasa penculikan.


     Pada tahun 2020, hasil ujian DNA baharu yang dijalankan oleh FBI menunjukkan bahawa profil DNA tersebut sepadan dengan James Reyes, seorang bekas teman lelaki Sherri. Apabila disoal siasat, James mengaku bahawa Sherri telah menghubunginya sebelum kejadian kononnya diculik. Menurut James, Sherri menyatakan bahawa dia ingin melarikan diri dari kehidupan rumah tangganya yang kian berantakan. Dia meminta James mengambilnya dan menyembunyikannya di rumahnya yang terletak beratus kilometer dari rumah keluarga Papini.

     Selama lebih dua minggu, Sherri tinggal di rumah James secara sukarela. Dia tidak dikurung, tidak diikat dan tidak didera. Mereka sebaliknya menjalani kehidupan biasa seperti orang yang berpasangan. Sherri juga meminta James mencederakan dirinya dengan sengaja bagi mencipta kesan bahawa dia telah diculik dan diseksa. Selepas itu, dia meminta James menghantarnya ke lokasi terpencil agar dapat ditemui semula.

     Sherri kemudiannya memalsukan laporan kepada pihak berkuasa dan terus berbohong tentang penculikan tersebut selama bertahun-tahun. Bukan sahaja kepada polis tetapi juga kepada pihak persekutuan apabila dia membuat tuntutan pampasan sebanyak lebih USD 300 000 (sekitar RM1.2 juta) melalui skim bantuan mangsa jenayah, insurans dan bayaran perubatan. 

     Pada Mac 2022, pihak FBI menahan Sherri Papini dan mendakwanya atas dua pertuduhan iaitu memberikan keterangan palsu kepada pegawai persekutuan dan penipuan melalui penggunaan pos. Pada September 2022, dia dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan. Mahkamah turut memerintahkan Sherri membayar ganti rugi kepada pelbagai agensi kerajaan dan institusi yang terlibat dalam kesnya.


     Sepanjang tempoh ini, Keith Papini berada di barisan hadapan mempertahankan isterinya. Dia sering dilihat menyokong Sherri dalam pelbagai temu ramah media dan mempercayai sepenuhnya cerita isterinya. Namun selepas kebenaran terbongkar, Keith mengakui bahawa dia amat kecewa dan berasa dikhianati. Dalam kenyataan kepada mahkamah, Keith menyatakan bahawa tindakan Sherri telah memberi kesan besar kepada dirinya dan anak-anak mereka. Katanya, penipuan itu telah merosakkan kepercayaan dan menyebabkan trauma mendalam kepada seluruh keluarga.

     Tidak lama selepas Sherri mengaku bersalah, Keith memfailkan penceraian dan menuntut hak penjagaan penuh terhadap anak-anak mereka. Dia menyatakan bahawa demi kesejahteraan anak-anak adalah lebih baik mereka berada di bawah jagaan penuh seorang ibu bapa yang stabil. Keith juga menekankan bahawa Sherri bukan sahaja telah mempermainkan pihak berkuasa tetapi juga mempermainkan kepercayaan dan perasaan anak-anaknya.


Catat Ulasan for "Hilang 22 Hari: Kebenaran di Sebalik Kisah Palsu Penculikan Sherri Papini"