Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Skandal Seks dan Pemerasan Gegar Thailand: Wanita Didakwa Ugut Sami Berprofil Tinggi

     THAILAND - Seorang wanita yang dikenali sebagai Wilawan Emsawat, 35 tahun kini menjadi tumpuan utama dalam satu skandal seks dan pemerasan terbesar yang pernah menggoncang institusi agama Buddha di negara itu. Dia ditahan pihak berkuasa pada 4 Julai 2025 di kediamannya di wilayah Nonthaburi, berhampiran Bangkok. Penahanan wanita itu dilakukan selepas siasatan intensif mendapati dia terlibat dalam kegiatan pemerasan terhadap sekurang-kurangnya sembilan sami berpangkat tinggi selain didakwa atas tuduhan lain termasuk pengubahan wang haram dan penerimaan barang curi.

     Menurut kenyataan rasmi pihak polis, Wirawan telah menjalankan modus operandi licik sejak sekurang-kurangnya tiga tahun lalu. Dia dipercayai menggoda dan menjalinkan hubungan intim secara sulit dengan beberapa sami terkenal di Thailand. Hubungan tersebut kemudiannya dijadikan senjata untuk memeras ugut para sami tersebut. Mangsa-mangsa dipercayai dipaksa untuk membayar sejumlah wang yang besar bagi mengelakkan rakaman video atau gambar hubungan mereka didedahkan kepada umum. Jika mereka enggan bekerjasama, Wirawan mengugut untuk menyebarkan bahan bukti yang memalukan itu di media sosial dan kepada pihak media.

     Lebih mengejutkan, siasatan polis menemui lebih 80 000 fail digital berbentuk gambar dan video eksplisit dalam telefon bimbit suspek. Bahan-bahan ini bukan sahaja melibatkan sami-sami terkenal malah turut melibatkan individu berprofil tinggi lain termasuk ahli politik dan pegawai kerajaan. Penemuan ini sekali gus mendedahkan skala sebenar kegiatan pemerasan yang telah dijalankan oleh suspek dan kini siasatan sedang diperluaskan terhadap kemungkinan wujudnya rangkaian lebih besar di sebalik perbuatan itu.


     Laporan kewangan menunjukkan bahawa dalam tempoh tiga tahun terakhir lebih daripada 385 juta baht (bersamaan kira-kira RM50 juta) telah dimasukkan ke dalam akaun bank Wirawan. Wang tersebut dipercayai hasil daripada aktiviti pemerasan di mana sebahagian besar daripadanya telah digunakan untuk membiayai tabiat berjudi dalam talian yang serius termasuk permainan kasino atas talian dan pertaruhan tidak sah. Pihak berkuasa turut menyita pelbagai aset mewah milik suspek termasuk kenderaan, barang kemas dan hartanah yang kesemuanya dipercayai diperoleh melalui wang hasil kegiatan haram tersebut.

     Susulan daripada pendedahan ini, lebih dua belas kuil Buddha utama di seluruh Thailand kini sedang disiasat termasuk kuil-kuil yang menjadi tempat pengabdian para sami yang terlibat. Reaksi orang awam pula sangat negatif dengan ramai menyuarakan rasa kecewa dan hilang kepercayaan terhadap institusi agama yang selama ini dianggap suci serta berdisiplin tinggi. Tekanan turut meningkat terhadap Majlis Tertinggi Sangha, badan tertinggi agama Buddha di Thailand agar melaksanakan reformasi menyeluruh bagi memperketatkan peraturan dan etika dalam kalangan sami termasuk pemantauan kewangan serta gaya hidup.

     Hingga setakat ini, Wirawan masih ditahan untuk siasatan lanjut. Peguamnya pula enggan memberi sebarang komen kepada media. Pihak pendakwaan dijangka akan membawa kes ini ke mahkamah pada masa terdekat dan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan akan ada lebih ramai individu lain yang akan ditahan dalam masa terdekat termasuk beberapa sami terkenal yang telah dikenal pasti.

Catat Ulasan for "Skandal Seks dan Pemerasan Gegar Thailand: Wanita Didakwa Ugut Sami Berprofil Tinggi"