Habis Duit, Musnah Kerjaya: Kes Penipuan Perkahwinan Pelakon China, Yin Xiaotian

     Salah satu skandal peribadi paling malang dalam kalangan selebriti di China ialah skandal yang melibatkan pelakon kacak popular, Yin Xiaotian. Sebelum terjebak dalam masalah rumah tangga, karier seni Xiaotian sebenarnya sudahpun berdepan dengan pelbagai ujian berat seperti penganiayaan rakan seindustri yang menjatuhkan reputasinya secara drastik. Dalam keadaan kerjaya yang merosot dan tekanan hidup yang memuncak di Beijing, pelakon berusia 36 tahun itu mula diuji dari sudut peribadi apabila ibu bapanya mendesak agar Xiaotian segera mendirikan rumah tangga demi meneruskan keturunan keluarga tentera mereka yang menjunjung tinggi nilai disiplin dan tradisi.

     Tekanan keluarga tersebut menjadi semakin berat kerana ibu bapa Xiaotian meletakkan piawaian pemilihan jodoh yang terlalu tinggi terutamanya daripada segi kelulusan akademik akibat kekecewaan mereka sendiri yang hanya memiliki pendidikan peringkat diploma. Mereka mahukan menantu kelulusan universiti ternama bertaraf ijazah sarjana muda atau sarjana, satu syarat ketat yang menyukarkan Xiaotian mencari pasangan hidup selama bertahun-tahun. Ketika berada di fasa paling sukar dalam hidup Xiaotian, seorang rakan memperkenalkannya kepada seorang wanita bernama Han Lina yang pada mulanya kelihatan begitu sempurna, lemah lembut dan memiliki pakej lengkap yang selama ini dicari-cari oleh ibu bapa Xiaotian.

      Pertemuan pertama di sebuah kafe di Sanlitun, Beijing, meninggalkan kesan mendalam kepada Xiaotian kerana Han Lina mempamerkan imej wanita terpelajar, berpendidikan tinggi serta sudi mendengar segala masalah dan kesusahan yang sedang dihadapinya tanpa sebarang prasangka. Lebih mengujakan keluarga Xiaotian, Han Lina mendakwa dirinya lulusan ijazah sarjana muda dari Universiti Perubatan Tianjin dan peringkat sarjana dari Universiti Kewangan dan Ekonomi Pusat selain mendakwa mempunyai skor IQ tinggi iaitu 152. Tidak cukup dengan itu, wanita tersebut turut nendedahkan latar belakang keluarganya yang didakwa mewah kononnya bapanya ialah seorang pegawai kanan di sebuah syarikat milik kerajaan di Mongolia. Sementara itu, ibunya pula mengusahakan rangkaian restoran berantai di samping mendakwa memiliki hartanah bernilai tinggi di Beijing.

      Namun di sebalik perancangan perkahwinan yang megah itu, pelbagai tanda tanya dan keraguan mula timbul apabila bapa Xiaotian yang berlatarbelakangkan pegawai tentera mula meneliti sijil akademik Han Lina yang didapati meragukan daripada segi kualiti cetakan dan cop mohor. Walaupun bapa Xiaotian mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, rasa cinta dan keinginan segera untuk membina keluarga menyebabkan Xiaotian memilih untuk menutup sebelah mata memandangkan Han Lina ketika itu sedang sarat mengandung. Kemuncak segala pengorbanan kewangan berlaku apabila Xiaotian menanggung kos perbelanjaan perkahwinan mencecah hampir 4 juta yuan (sekitar RM2.6 juta) termasuk pembayaran wang hantaran lumayan sebanyak 2.1 juta yuan (sekitar RM1.36 juta) serta hadiah barangan kemas mewah demi memuaskan hati pihak keluarga wanita terbabit.


     Kejadian sebenar mula membongkar diri selepas anak lelaki mereka dilahirkan pada Januari 2016 apabila satu demi satu tembelang keluarga tersebut pecah ketika urusan pendaftaran pendaftaran kad pengenalan dan kediaman dijalankan. Siasatan dan pengakuan membuktikan bahawa Han Lina sebenarnya bukanlah graduan universiti ternama seperti yang dicanang. Dia sebaliknya hanya pelatih dari sebuah akademi perubatan biasa yang memiliki sijil akademik palsu. Lebih mengejutkan, rumah mewah di Beijing yang didakwa milik keluarga wanita itu rupa-rupanya hanyalah unit sewaan. Lebih malang lagi, puluhan saudara-mara berpakaian segak yang hadir meriah pada hari perkahwinan mereka sebenarnya adalah pelakon upahan yang dibayar 100 yuan (sekitar RM70) sehari.



      Akibat penipuan bersiri yang amat licik ini, rumah tangga mereka runtuh apabila Han Lina bertindak memfailkan kes penceraian terlebih dahulu di mahkamah terhadap Xiaotian. Mahkamah akhirnya memutuskan perpisahan rasmi di mana Xiaotian diarah membayar pampasan pembahagian harta sebanyak 3.5 juta yuan (sekitar RM2.3 juta) serta menanggung nafkah bulanan anak sementara hak penjagaan anak diserahkan kepada bekas isterinya. Penderitaan pelakon malang itu tidak terhenti setakat kerugian harta benda dan wang malah dia turut mengalami kesukaran yang berpanjangan untuk menemui anak kandungnya sendiri akibat tindakan bekas isterinya yang sengaja melarikan diri dan memutuskan perhubungan. Selepas kontroversi besar itu reda, Han Lina tidak lagi aktif di dalam mana-mana lingkaran hiburan mahupun sorotan berita arus perdana China. Dia memilih kehidupan peribadi yang jauh daripada radar media sosial dan orang awam.


Catat Ulasan for "Habis Duit, Musnah Kerjaya: Kes Penipuan Perkahwinan Pelakon China, Yin Xiaotian"