Kisah Misteri Kematian Byun Ah-yeong

     Pada bulan Jun 2023, pempengaruh media sosial terkenal dari Korea Selatan iaitu Byun Ah-yeong telah ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di negara Kemboja. Berdasarkan kronologi kejadian, Ah-yeong yang lahir pada tahun 1990 selain pernah menjadi salah satu personaliti popular di platform penstriman terkenal AfreecaTV secara mengejut telah mengumumkan persaraannya daripada dunia maya pada Mac 2023. Dalam mesej yang ditinggalkannya kepada rakan-rakan, dia mendedahkan bahawa keputusan drastik itu dibuat akibat tekanan dan gangguan daripada individu yang mengikutinya (stalker). Tidak lama selepas itu, Ah-yeong bertindak mengambil tiket penerbangan dan tiba di ibu negara Kemboja, Phnom Penh pada 2 Jun 2023 untuk meneruskan siri percutiannya. Sepanjang berada di sana, dia menumpang di rumah rakan kenalannya yang merupakan pasangan suami isteri (suami warga China dan isteri warga Korea) di sebuah kondominium mewah.

     Percutian itu bagaimanapun bertukar menjadi tragedi itu apabila Ah-yeong dilaporkan hilang. Pada 6 Jun 2023, seorang pemandu jengkaut yang sedang melakukan kerja-kerja pembinaan di wilayah Kandal ternampak satu objek mencurigakan berbalut kain merah dan diikat dengan kabel di dalam sebuah parit kumbahan. Pihak berkuasa tempatan yang bergegas ke lokasi kejadian segera mengeluarkan bungkusan tersebut sebelum mengesahkan ia adalah mayat seorang wanita. Melalui padanan cap jari yang dijalankan dengan bantuan Kedutaan Besar Korea Selatan, mangsa dikenal pasti sebagai Byun Ah-yeong yang berusia 32 tahun. Keadaan fizikal mayat ketika ditemui amat menyayat hati dengan kesan bengkak serta lebam yang pada mulanya menimbulkan syak bahawa dia mungkin telah diseksa atau dipukul dengan teruk sebelum dibunuh.

      Siasatan polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan perumahan dan premis perniagaan berjaya merungkai pergerakan terakhir mangsa. Pada petang 4 Jun 2023, Ah-yeong kelihatan meninggalkan kediaman rakannya dengan pakaian kasual hitam kononnya untuk mendapatkan rawatan di klinik. Rakaman CCTV kemudian merakamkan dia berjalan masuk ke sebuah klinik perubatan kecil bertanda papan tanda biru di kawasan berkenaan, sebuah premis yang didapati dikendalikan oleh pasangan suami isteri warga China iaitu Lai Wen Shao (30 tahun) dan Cai Huijuan (39 tahun). Apa yang mencurigakan yakni selepas melangkah masuk ke dalam klinik tersebut pada petang itu, Ah-yeong tidak pernah kelihatan keluar hidup-hidup lagi. Rakaman sebaliknya menunjukkan aktiviti mencurigakan di klinik terbabit lewat malam itu termasuk tindakan memadamkan lampu premis, keluar masuk kenderaan serta memasukkan bungkusan ke dalam ruang bonet belakang kenderaan sebelum dipandu keluar menuju ke lokasi mayat dibuang di tapak pembinaan terpencil.

       Susulan penemuan mayat tersebut, pasangan pemilik klinik haram terbabit telah ditahan polis Kemboja. Semasa disoal siasat, suspek lelaki, Lai Wen Shao mengakui bahawa Ah-yeong memang datang ke kliniknya pada hari kejadian dan meminta untuk disuntik dengan bahan tertentu. Walau bagaimanapun, suspek mendakwa dia menolak permintaan tersebut dan sebaliknya hanya memberikan suntikan serum atau cecair biasa untuk meningkatkan imuniti badan. Suspek mendakwa Ah-yeong tiba-tiba mengalami sawan, kesukaran bernafas sebelum meninggal dunia di tempat kejadian. Disebabkan panik dan bimbang kerana menjalankan perubatan tanpa lesen sah di negara asing dengan sistem undang-undang yang ketat, suspek mengaku bertindak memasukkan mayat Ah-yeong ke dalam kereta lalu membuangnya ke parit terbiar tanpa pengetahuan isterinya.

      Walaupun suspek mengaku membuang mayat, mereka secara konsisten menafikan pembunuhan tersebut dan mendakwa kematian Ah-yeong berlaku akibat masalah kesihatan atau tindak balas ubat yang dibawa sendiri oleh mangsa. Kes ini turut dibelenggu dengan pelbagai teori liar dan spekulasi media. Antara andaian yang popular termasuklah dakwaan bahawa Ah-yeong mungkin mendapatkan rawatan estetik atau pembedahan kosmetik pasaran gelap di klinik tidak berlesen tersebut memandangkan terdapat tanda-tanda fizikal tertentu pada tubuh mangsa. Selain itu, wujud juga spekulasi mengenai kemungkinan penglibatan sindiket dadah atau penyalahgunaan bahan terlarang seperti ubat bius jenis ketamin cair yang sering digelar suntikan susu di sesetengah negara Asia berikutan kelonggaran akses ubat tertentu di pasaran tempatan. Di pihak keluarga Ah-yeong, mereka menolak sekeras-kerasnya sebarang andaian bahawa Ah-yeong terlibat dalam penyalahgunaan dadah kerana wanita itu tidak pernah mempunyai sejarah sedemikian.

     Tentang status hingga setakat ini, proses perundangan di bawah sistem kehakiman Kemboja masih berjalan secara berhati-hati dan berdepan pergerakan yang agak perlahan akibat pelbagai kekangan antarabangsa serta birokrasi tempatan. Pasangan suami isteri warga China yang mengendalikan klinik tersebut telah didakwa secara rasmi oleh pihak pendakwaan atas pertuduhan pembunuhan disertai dengan seksaan atau penderaan di mana mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. Selain faktor kekangan teknologi makmal tempatan di Kemboja untuk menjalankan analisis forensik yang mendalam, sampel dan bahan bukti telah dihantar ke institusi forensik pihak ketiga di luar negara bagi mendapatkan keputusan bedah siasat yang sahih.

Catat Ulasan for "Kisah Misteri Kematian Byun Ah-yeong"