KES PEMBUNUHAN KEJAM YULIANINGSIH

Pada bulan September 2026, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di Kota Cirebon, Jawa Barat Indonesia yang melibatkan seorang wanita muda bernama Yulianingsih, 23 tahun. Dia sepatutnya memulakan kehidupan baharu dalam hidup sebagai Pekerja Migran Indonesia (PMI) di Taiwan. Namun sebaliknya yang berlaku apabila wanita itu ditemui mati di dalam sebuah bilik hotel akibat perbuatan kejam bekas suaminya sendiri.
Pada tahun 2023, Yulianingsih telah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki seusia dengannya yang hanya dikenali sebagai SN. Sejak dari awal hubungan mereka laagi, keputusan Yulianingsih untuk berkahwin dengan lelaki itu tidak mendapat restu sepenuhnya daripada ibu bapanya. Hal ini kerana SN mempunyai perangai baran dan gemar melakukan kekerasan fizikal terhadap Yulianingsih semenjak mereka masih bergelar sebagai pasangan kekasih lagi. Namun atas dasar rasa sayang, Yulianingsih tetap meneruskan perkahwinan tersebut dan dikurniakan seorang anak.

Semakin lama, perangai baran SN langsung tidak berubah. Kemuncak kepada penderitaan itu berlaku apabila Yulianingsih tidak lagi sanggup menanggung tekanan serta penderaan berterusan lalu membuat keputusan muktamad untuk berpisah. Proses penceraian mereka akhirnya sah pada bulan Ogos 2026. Sedar bahawa selepas ini dia perlu membesarkan anak tunggal mereka sendirian, Yulianingsih mula merangka masa depan dengan menyertai kursus di sebuah agensi pekerjaan bagi melayakkan dirinya bekerja di luar negara. Rancangan untuk berhijrah ke Taiwan pada akhir September 2026 itu mendapat sokongan penuh daripada kedua ibu bapanya.
Sehari sebelum kejadian menyayat hati itu iaitu pada hari Ahad, 20 September 2026, Yulianingsih sempat singgah ke rumah ibu bapanya di Talun, Cirebon, secara bersendirian. Pertemuan santai itu berlarutan hingga ke lewat petang. Pak Suyoto sebagai seorang bapa merasakan satu naluri yang kuat seolah-olah tidak mahu melepaskan anaknya pergi, tambahan pula mangsa bakal terbang jauh ke luar negara tidak lama lagi. Dalam detik terakhir itu, Yulia sempat meminta wang sebanyak Rp30 000 daripada bapanya semata-mata untuk membeli bakso.

Berdasarkan siasatan pihak polis dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Yulia tiba di Hotel Nusantara yang terletak di Jalan Suryadinaya Utara, Kosambi, Cirebon pada malam Ahad kira-kira jam 7:23 malam. Yulianingsih hadir menaiki motosikal bersama bekas suaminya, SN sebelum mereka mendaftar masuk ke bilik nombor F5 di tingkat tiga. Pada pagi Isnin, 21 September 2026 yakni ketika berada di dalam bilik, SN hilang kawalan akibat cemburu buta setelah melihat Yulianingsih sedang leka berbual menerusi panggilan video dengan lelaki lain. Walaupun ikatan perkahwinan mereka sudah pun berakhir, rasa cemburu memicu kembali tabiat buruk SN. Berlaku pertengkaran hebat di antara mereka di mana SN bertindak kejam memukul wajah Yulianingsih menggunakan siku dan kaki sehingga pengsan. Tidak cukup dengan itu, SN mengambil seutas tali kasut lalu menjerat leher mangsa dengan kuat sehingga Yulianingsih kehilangan nyawa.
Selepas memastikan bekas isterinya tidak lagi bernyawa, SN sempat merancang untuk membunuh diri tetapi gagal . Pada pagi Isnin sekitar jam 9:05 pagi, SN mengemas barang, mengambil dua unit telefon Yulianingsih, mengunci bilik dari luar sebelum bergegas melarikan diri menaiki motosikal.

Kira-kira pukul 3:00 petang pada hari yang sama, perbuatan SN terbongkar apabila kakitangan hotel hendak membuat pemeriksaan bilik kerana tempoh penginapan sudah tamat. Pekerja hotel terkejut apabila menemui seorang wanita terbaring kaku di celah katil dan dinding dengan berselimutkan cadar merah. Pihak polis yang dihubungi segera menjalankan siasatan dan membawa mayat Yulia ke Hospital Bhayangkara Indramayu untuk dibedah siasat.
Sementara itu, pelarian SN tidak bertahan lama. Setelah motosikalnya rosak di tengah jalan, dia meneruskan perjalanan menaiki bas mini ke Pangandaran. Pada malam Isnin sekitar jam 9:30 malam, SN akhirnya datang ke Balai Polis (Polsek) Padaherang ditemani oleh abang iparnya untuk menyerah diri. Kini SN telah ditahan pihak berkuasa dan dijerat dengan undang-undang berkaitan kes pembunuhan.
Catat Ulasan for "KES PEMBUNUHAN KEJAM YULIANINGSIH "