Kisah Menyedihkan di Sebalik Fenomena Xili Ge

Salah satu fenomena internet paling ikonik pada era awal media sosial adalah kisah sensasi mengenai Cheng Guorong atau lebih dikenali sebagai Xili Ge. Imbas kembali pada penghujung bulan Januari 2010, seorang individu di bandar Ningbo, wilayah Zhejiang, China tanpa sengaja merakam dua keping gambar seorang lelaki gelandangan yang sedang berjalan di hadapan sebuah premis perniagaan. Gambar tersebut kemudiannya dimuat naik ke dalam sebuah forum fotografi sebelum tular di platform perbincangan popular, Tianya Club.
Apa yang menarik perhatian warga maya terhadap lelaki tersebut bukanlah identitinya tetapi sebaliknya penampilan dan aura unik yang dimilikinya. Walaupun hidup merempat di jalanan, gabungan pakaian terpakai yang disarungnya, gaya rambut vintaj yang bersahaja selain renungan mata yang kelihatan tajam dan dalam telah disamakan oleh netizen dengan model antarabangsa. Warga maya mula menyunting gambarnya ke dalam poster majalah fesyen dan filem blockbuster sekali gus mengangkat imej seorang gelandangan menjadi model fesyen jalanan. Fenomena ini merebak dengan pantas hingga mendapat liputan meluas daripada media di Jepun, Korea Selatan, Eropah dan Amerika Syarikat serta diberikan pelbagai nama gelaran termasuk Brother Sharp dan Putera Pengemis Ningbo.

Namun di sebalik lambakan pujian, suntingan digital dan tarikan pelancong tempatan yang sengaja datang untuk merakam gambarnya, hakikat sebenar kehidupan Xili Ge jauh lebih menyayat hati. Berbeza dengan tanggapan umum, dia sebenarnya bukanlah seorang pengemis tegar. Berdasarkan perkongsian individu yang pernah mengenalinya di jalanan, Xili Ge tidak pernah meminta sedekah daripada orang ramai. Dia biasanya menghabiskan masa dengan mengutip puntung rokok di dalam tong sampah, berjalan di sekitar pusat beli-belah atau tidur di laluan bawah tanah dan taman awam. Xili Ge juga mempamerkan tanda-tanda masalah kesihatan mental yang ketat di mana dia sering mengelak daripada berinteraksi, membisu ketika disapa atau menjerit ke langit apabila disoal terlalu kerap.
Tekanan media dan perhatian awam yang mendadak akhirnya mendorong pihak berkuasa tempatan serta pertubuhan kebajikan untuk menjejaki dan menyelamatkannya bagi menjalani pemeriksaan kesihatan. Ketika pihak berkuasa menemui Xili Ge tidur di atas bangku taman yang basah akibat hujan, dia meronta dan menangis ketakutan kerana tidak biasa dengan perhatian sedemikian. Ekoran liputan besar-besaran itu, berita tersebut akhirnya sampai ke pengetahuan keluarganya di sebuah kampung terpencil di daerah Poyang, wilayah Jiangxi. Adiknya, Cheng Guosheng bersama bapa saudara mereka bergegas ke Ningbo selepas mengecam wajah dalam video tersebut sebagai abang kandung mereka yang telah hilang tanpa berita selama sedekad.

Siasatan lanjut merungkai kisah duka di sebalik pemergian Xili Ge dari kampung halaman sejak tahun 2000. Dia yang mempunyai masalah komunikasi sejak muda merantau ke bandar untuk mencari rezeki demi menyara isteri dan dua anak lelaki yang masih kecil. Namun kegagalan perniagaan serta kesempitan hidup membuatkanya rasa terbeban dan memilih untuk terputus hubungan dengan keluarga. Lebih mengejutkan yakni sewaktu dia bersiap untuk kembali ke pangkuan keluarga pada tahun 2010, takdir menentukan bahawa isteri serta bapa kandungnya telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada penghujung tahun 2009. Sekembalinya ke kampung, dia mendapati rumah tangga yang ditinggalkan telah musnah, meninggalkan ibunya terkandas menjaga dua anak kecil.

Meskipun keluarganya cuba membantunya membina semula kehidupan melalui sokongan moral, rawatan perubatan dan membawanya menyertai beberapa kemunculan pentas fesyen komersial untuk memulihkan keyakinan diri, beban psikologi yang ditanggung terlalu berat. Tekanan media, eksploitasi pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan atas popularitinya serta keadaan mentalnya yang semakin merosot menyebabkan Xili Ge sukar menyesuaikan diri dengan masyarakat arus perdana. Dalam tempoh beberapa tahun selepas itu, dia dilaporkan kembali melarikan diri, merayau di jalanan dan akhirnya dimasukkan ke hospital psikiatri tempatan untuk rawatan lanjut sebelum jejaknya perlahan-la
han hilang.
Catat Ulasan for "Kisah Menyedihkan di Sebalik Fenomena Xili Ge"