Kisah Skandal Kripto di Amerika Syarikat oleh Malone Lam

     Kes jenayah siber yang melibatkan pemuda warga Singapura iaitu Malone Lam Yu Xuan (lahir pada 19 Julai 2004) telah menarik perhatian selepas dia dikesan mengetuai sebuah sindiket kecurian mata wang kripto berskala besar bernilai ratusan juta dolar. Latar belakang awal Malone Lam bermula di Singapura di mana dia berhenti sekolah (drop out) pada usia belasan tahun. Malone kemudiannya mula bergiat aktif dalam komuniti permainan video dalam talian seperti Minecraft dan platform komunikasi Discord sebelum mendalami dunia perdagangan mata wang kripto serta mula menggunakan pelbagai nama samaran dalam talian yang terkenal seperti Anne Hathaway, $$$ dan King Greavy.

      Perjalanan jenayah terancang ini mula mengambil tempat apabila Malone Lam berhijrah ke Amerika Syarikat sekitar Oktober 2023 menggunakan Program Pengecualian Visa yang mana tempoh sah laku dokumen itu kemudiannya tamat menjelang tahun 2024. Dia mula menetap di beberapa kawasan mewah seperti Miami, Los Angeles dan The Hamptons. Di sana, Malone Lam memulakan rangkaian sindiket kejuruteraan sosial bersama rakan sebiliknya sebelum kumpulan tersebut berkembang dan melibatkan kerjasama dengan individu dari pelbagai negeri lain untuk menyasarkan pemegang aset kripto bernilai tinggi di seluruh Amerika Syarikat.

     Rangkaian jenayah terancang yang didalangi oleh Lam ini beroperasi menggunakan taktik licik yang dikenali sebagai kejuruteraan sosialm Kumpulan ini menyasarkan individu-individu yang dikenal pasti mempunyai pegangan aset kripto yang banyak dengan cara menyamar sebagai kakitangan khidmat pelanggan ataupun bahagian teknikal daripada syarikat teknologi terkemuka seperti Google serta platform pertukaran kripto Gemini. Melalui taktik manipulasi ini, mangsa diperdaya supaya menyerahkan maklumat sulit seperti kata laluan, kod pengesahan keselamatan dua faktor serta frasa pemulihan dompet digital mereka. Sekiranya taktik digital gagal, sindiket ini turut menggunakan cara kekerasan fizikal termasuk menceroboh kediaman mangsa untuk merampas peranti perkakasan yang menyimpan mata wang kripto.

     Kemuncak kepada kegiatan jenayah ini berlaku pada 18 Ogos 2024, apabila sindiket berkenaan melancarkan salah satu serangan terhadap mangsa tunggal terbesar dalam sejarah di Washington, D.C. Dalam insiden tersebut, mereka berjaya memperdaya seorang pelabur (dirujuk sebagai R.W.) untuk menyerahkan lebih 4100 Bitcoin yang pada ketika itu bernilai kira-kira USD230 juta. Secara keseluruhan, rangkaian jenayah terancang yang dianggotai oleh sekurang-kurangnya 18 tertuduh ini didapati telah melarikan dana melebihi USD245 juta hingga USD$263 juta (dianggarkan melebihi RM1.05 bilion) daripada pelbagai mangsa.

    Hasil daripada kekayaan luar biasa yang diperoleh secara haram itu, Malone Lam dan rakan sekumpulannya meneruskan gaya hidup mewah secara berleluasa di Amerika Syarikat. Dia menyewa hartanah bernilai tinggi di lokasi eksklusif, menyewa jet peribadi serta mengupah pengawal peribadi. Malone Lam dilaporkan berbelanja secara besar-besaran dengan membeli lebih 30 kenderaan mewah, jam tangan berharga jutaan dolar serta membelanjakan sehingga USD$569 000 untuk semalaman di sebuah kelab malam di Los Angeles. Corak perbelanjaan yang terlalu mencolok mata ini akhirnya menghidu perhatian pihak berkuasa persekutuan.

     Tindakan pantas pihak berkuasa Amerika Syarikat menyaksikan penahanan rasmi Malone Lam pada 18 September 2024 di Miami oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) diikuti dengan pemfailan pertuduhan awal pada keesokan harinya. Kes pendakwaan terhadap Lam mencatatkan sejarah perundangan apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mengenakan pertuduhan di bawah Akta Pertubuhan yang Dipengaruhi Raketer dan Korupsi (RICO) sekali gus menjadikannya kes berkaitan Bitcoin pertama yang didakwa menggunakan akta jenayah terancang berat tersebut. Pada 15 Mei 2025, pihak berkuasa mengeluarkan pendakwaan superseding (superseding indictment) yang memperluaskan lagi skop kes dengan mendakwa individu-individu lain yang bersubahat dalam sindiket berkenaan.

     Selepas melalui pelbagai peringkat prosiding undang-undang, pada 8 September 2026, Malone Lam secara rasmi membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Daerah Washington, D.C. di hadapan Hakim Colleen Kollar-Kotelly atas pertuduhan konspirasi RICO. Ekoran pengakuan bersalah tersebut, dia berdepan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun, diarah membayar perintah pemulangan bernilai melebihi USD$245 juta kepada para mangsa serta melucuthakkan aset mewah miliknya termasuk 28 buah kereta mewah. Mahkamah menetapkan tarikh 8 Disember 2026 bagi prosiding status seterusnya untuk memutuskan tarikh hukuman penjara rasmi terhadap tertuduh.

Catat Ulasan for "Kisah Skandal Kripto di Amerika Syarikat oleh Malone Lam"