Kisah Dua Gadis Venezuela Diculik, Diseksa dan Dibunuh Kejam di Mexico

Impian besar untuk mengubah nasib keluarga di tanah air sering kali mendorong individu untuk merantau jauh ke seberang benua. Namun bagi dua gadis muda asal Venezuela, Stefanie Alejandra Maldonado yang berusia 21 tahun dan rakannya Susej Moreno yang berusia 20 tahun, cita-cita murni itu telah berakhir dengan kejadian ngeri di ibu kota Mexico. Kedua-dua sahabat ini berasal dari bandar Maracay di negeri Aragua, Venezuela yakni sebuah wilayah yang terjejas teruk akibat krisis ekonomi dan sosial yang berpanjangan. Pada tahun 2019, mereka berdua mengambil keputusan sukar untuk meninggalkan Venezuela demi mencari masa depan yang lebih cerah dan kestabilan kewangan.
Perjalanan hijrah Stefanie dan Susej bukanlah satu laluan yang mudah atau singkat. Selama lima tahun, mereka merentasi pelbagai ranjau kesusahan dengan menempuh pelbagai negara di benua Amerika Selatan seperti Colombia, Ecuador, Peru dan Chile. Setiap hentian menguji ketahanan mental dan fizikal mereka sebelum mereka akhirnya menjejakkan kaki ke Mexico pada Januari 2024. Ketika tiba di Mexico City khususnya di kawasan perbandaran Azcapotzalco, mereka disambut dengan janji-janji manis oleh individu yang berkenaan menerusi media sosial. Mereka diyakinkan secara tipu muslihat bahawa paras rupa dan kebolehan mereka sebagai model akan membuka ruang dalam industri peragaan.
Namun setibanya di lokasi, lelaki-lelaki yang membawa dua sekawan itu masuk ke Mexico mendakwa bahawa mereka mempunyai hutang perjalanan yang mencecah USD15 000. Mereka diugut dengan ancaman bunuh terhadap diri sendiri serta ahli keluarga sekiranya gagal melunaskan jumlah tersebut dalam tempoh yang ditetapkan. Jalan pintas yang diberikan secara paksa kepada mereka untuk membayar hutang palsu itu adalah dengan memaksa mereka terjebak dalam kancah pelacuran.

Stefanie dan Susej akhirnya menyedari bahawa mereka telah jatuh ke dalam rangkaian jenayah antarabangsa yang didalangi oleh kumpulan pengganas bersenjata yang berasal dari Venezuela iaitu sindiket Tren de Aragua. Pasport serta dokumen pengenalan diri mereka dirampas serta-merta bagi menyekat sebarang pergerakan fizikal. Mereka dikurung di sebuah kediaman terpencil yang terletak di Colonia Providencia di mana setiap gerak-geri mereka dikawal rapi oleh pengawas sindiket. Telefon mereka sering diambil, komunikasi dengan dunia luar disekat sepenuhnya dan mereka terus-menerus diugut dengan keselamatan keluarga di kampung halaman sekiranya enggan menurut perintah. Menurut keterangan individu terdekat, kedua-dua gadis itu sebenarnya sudah terlalu tertekan selain buntu tanpa sebarang arah tuju untuk meminta pertolongan.
Kemuncak kepada penderitaan yang tidak menentu itu akhirnya berlaku pada 30 Julai 2024. Desakan yang memuncak untuk keluar daripada cengkaman sindiket dipercayai menjadi pencetus kepada keputusan mereka untuk melarikan diri yang kemudiannya dibalas dengan hukuman bunuh yang kejam. Sebuah kenderaan jenis Renault Logan berwarna putih dilaporkan tiba di kawasan perhutanan terpencil di San Miguel Topilejo yang terletak di perbandaran Tlalpan di bahagian selatan Bandaraya Mexico. Beberapa lelaki turun dari kenderaan tersebut da mencampakkan dua tubuh yang tidak bernyawa ke kawasan semak samun sebelum melarikan diri dengan pantas. Penduduk sekitar yang menyedari kehadiran kenderaan mencurigakan itu segera menghubungi pihak berkuasa apabila melihat pelaku cuba membakar mayat mangsa di tempat kejadian bagi menghapuskan bukti. Namun hujan lebat yang turun pada malam tersebut telah memadamkan api sekali gus menyelamatkan sebahagian besar mayat daripada musnah sepenuhnya dan meninggalkan petunjuk fizikal yang penting untuk siasatan forensik.

Apabila pihak polis dan pasukan kecemasan tiba di lokasi pada kira-kira pukul 4:00 pagi, mereka mendapati kedua-dua wanita muda itu telah meninggal dunia dalam keadaan yang mengerikan. Pemeriksaan mendapati mayat mangsa mengalami kecederaan parah akibat tembakan senjata api, pelbagai kesan trauma fizikal serta kesan terbakar tahap ketiga pada kira-kira 90 peratus. Identiti mereka akhirnya berjaya dikenal pasti melalui padanan tatu pada tubuh mereka dengan gambar-gambar yang dimuat naik di media sosial di samping penemuan slip deposit bank asing di dalam beg peribadi mereka.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang lebuh raya dan kawasan sekitar menjadi kunci utama kepada pembongkaran kes ini. Polis menjejaki laluan kereta Renault Logan putih itu dan mendapati beberapa suspek lelaki membawa turun mayat di lokasi kejadian di manq salah seorang suspek kelihatan dalam keadaan berkaki ayam manakala yang seorang lagi sedang membersihkan pakaiannya selepas menyempurnakan jenayah tersebut. Melalui pengecaman nombor pendaftaran dan analisis digital yang teliti, pihak berkuasa berjaya menahan beberapa individu warga Venezuela termasuklah Jesus Alberto Cordoba dan Mairis Alesandra Castaneda, pada pertengahan Ogos 2024. Penahanan mereka pada peringkat awal bagaimanapun lebih terarah kepada pertuduhan memiliki bahan terlarang dan dadah. Sementara itu, dalang utama di sebalik pembunuhan kejam itu masih belum diheret sepenuhnya ke muka pengadilan atas pertuduhan membunuh secara langsung.

Ketakutan yang mendalam turut menyelubungi mangsa-mangsa lain yang bernasib sama di bawah cengkaman sindiket tersebut hingga menyebabkan saksi-saksi enggan memberi keterangan rasmi secara terbuka kerana bimbang akan keselamatan nyawa masing-masing. Pada 24 September 2024, mayat kedua-dua gadis malang tersebut akhirnya dihantar pulang ke Venezuela menerusi proses repatriasi untuk disemadikan oleh ahli keluarga yang telah lama menunggu kepulangan mereka dalam bentuk keranda.
Catat Ulasan for "Kisah Dua Gadis Venezuela Diculik, Diseksa dan Dibunuh Kejam di Mexico"