Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Wanita Rusia dan Dua Anak Kecil Ditemui Tinggal di Dalam Gua India Selama Bertahun-tahun


     INDIA – Seorang wanita warga Rusia, Nina Kutina, 40 tahun ditemui bersama dua orang anak perempuannya sedang menjalani kehidupan terpencil di dalam sebuah gua berhampiran bukit Ramatirtha, Gokarna dalam negeri Karnataka. Penemuan ini dibuat pada 9 Julai 2025 oleh pihak berkuasa tempatan selepas menerima maklumat awam berhubung kehadiran seorang wanita asing bersama anak-anaknya yang dilihat hidup dalam keadaan yang luar biasa jauh dari peradaban. 

     Menurut laporan polis, Kutina dan dua anaknya yang masing-masing berusia enam dan empat tahun telah tinggal dalam gua tersebut selama beberapa tahun. Kehidupan mereka amat sederhana yakni tanpa kemudahan asas, tanpa elektrik, tanpa sumber air bersih tetap dan jauh daripada mana-mana penempatan manusia. Namun Kutina sendiri menegaskan bahawa mereka tidak berada dalam bahaya atau kesusahan seperti yang disangka. Katanya, kehidupan yang dipilih itu bersifat sukarela, berasaskan prinsip kesederhanaan, hubungan dengan alam semula jadi dan amalan spiritual.

     “Kami tidak sedang mati. Anak-anak saya gembira,” tegas Kutina ketika ditemu bual media tempatan. Dia menjelaskan bahawa anak-anaknya mendapat pendidikan secara homeschool dan mereka menghabiskan masa dengan membaca, melukis, memasak menggunakan dapur mudah alih serta bermeditasi. Menariknya, dia juga menyatakan bahawa ular-ular yang berkeliaran di sekitar kawasan gua merupakan teman mereka.

     Siasatan lanjut bagaimanapun mendapati bahawa Nina Kutina telah melanggar undang-undang imigresen India. Rekod mendapati bahawa dia pertama kali memasuki negara itu menggunakan visa perniagaan pada tahun 2016. Walaupun visanya tamat tempoh pada tahun berikutnya, dia tetap tinggal di India tanpa dokumentasi sah. Pada tahun 2018, Nina Kutina sempat keluar ke Nepal dan menerima permit keluar rasmi dari pihak berkuasa India namun kemudian kembali semula ke India dan terus menetap secara haram sejak itu.

     Berikutan penemuan tersebut, Nina Kutina dan anak-anaknya telah dipindahkan ke pusat tahanan imigresen di bawah pengawasan pihak berkuasa. Kes mereka kini sedang dalam proses deportasi. Proses pemulangan warga asing secara paksa ini menurut kenyataan rasmi pihak imigresen Indiabboleh memakan masa sehingga sebulan dan melibatkan kos yang perlu ditanggung oleh individu terbabit. Pada masa yang sama, kerajaan Rusia telah dimaklumkan dan proses dokumentasi sedang berjalan.

     Sementara itu bekas suami Kutina, seorang lelaki warga I*ra*l bernama Dror Goldstein yang berusia 38 tahun tampil ke hadapan menuntut hak penjagaan bersama terhadap anak-anak mereka. Menurut Goldstein, dia merupakan bapa kandung kepada dua kanak-kanak terbabit dan sangat risau dengan masa depan mereka. Goldstein menegaskan bahawa jika anak-anak itu dihantar ke Rusia, dia akan hilang hak untuk bersama mereka. Tambahnya lagi, anak bongsu yang dilahirkan di India sepatutnya berhak untuk memperoleh kewarganegaraan India, justeru tidak wajar untuk dideportasi.

     Dalam kenyataan kepada media, Goldstein berkata: “Saya bukan mahu memisahkan anak-anak daripada ibu mereka tetapi saya juga berhak untuk berada dalam hidup mereka. Saya mahu penyelesaian bersama.” Goldstein kini telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Mahkamah Keluarga India untuk menangguhkan proses deportasi anak-anaknya sehingga isu hak asuh dapat diselesaikan secara adil.

     Sementara itu, beberapa aktivis kebajikan kanak-kanak mula menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan fizikal dan mental kanak-kanak terbabit selepas tinggal bertahun-tahun dalam persekitaran yang tidak sesuai untuk tumbesaran normal. Laporan awal mendapati tiada tanda penderaan namun pemantauan lanjut sedang dijalankan untuk menilai impak jangka panjang terhadap kesihatan mereka.

     Nina Kutina pula mempertikaikan keadaan pusat tahanan tempat mereka ditempatkan di mana dia menyifatkannya sebagai kotor, tidak sesuai untuk kanak-kanak dan mengganggu kestabilan emosi anak-anaknya yang sebelum ini hidup aman dalam keharmonian alam. Nina Kutina juga mendakwa pihak berkuasa mengambil barangan peribadi mereka tanpa penjelasanntermasuk abu anaknya yang meninggal dunia beberapa tahun lalu yang menurutnya disimpan sebagai kenangan rohani.

     Setakat ini, pihak berkuasa India masih meneliti semua aspek kes ini sebelum mengambil tindakan lanjut. Prosiding mahkamah hak asuh dijangka berlangsung pada beberapa minggu akan datang sementara proses deportasi masih tertangguh sementara menunggu keputusan mahkamah dan kelulusan akhir dari Kementerian Dalam Negeri India.

Catat Ulasan for "Wanita Rusia dan Dua Anak Kecil Ditemui Tinggal di Dalam Gua India Selama Bertahun-tahun"