INI BEBERAPA FAKTA TENTANG KES VIRAL SISTER HONG

Baru-baru ini, China dikejutkan dengan satu kes penyamaran seksual paling luar biasa dalam negara itu apabila seorang lelaki berusia 38 tahun dari Nanjing menyamar sebagai wanita separuh umur dikenali sebagai Sister Hong. Dengan memakai rambut palsu, solekan tebal dan suara lembut, suspek berjaya memperdaya sekitar 1600 lelaki melalui aplikasi temu janji sebelum menggoda mereka untuk datang ke rumahnya, melakukan hubungan seksual dan merakam aksi tersebut secara rahsia. Rakaman itu kemudiannya dijual kepada kumpulan langganan berbayar dalam talian. Lebih membimbangkan, siasatan mendapati ada dalam kalangan mangsa disahkan positif HIV. Berikut adalah beberapa fakta terperinci mengenai kes ini:

1. Latar Belakang Suspek
Suspek utama dalam kes ini ialah seorang lelaki berusia 38 tahun yang dikenali dengan nama keluarga “Jiao”. Nama penuhnya tidak diumumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa berkemungkinan atas faktor undang-undang dan sensitiviti awam. Lelaki ini bermastautin di kota Nanjing yang terletak dalam wilayah Jiangsu, China.
Dia tidak mempunyai pekerjaan tetap serta dipercayai menjalani kehidupan harian melalui aktiviti penipuan dalam talian serta penghasilan dan pengedaran bahan lucah secara rahsia. Berdasarkan siasatan awal, suspek mempunyai kemahiran tinggi dalam aspek penyuntingan visual dan audio terutamanya dalam mengubah suara serta mengubah suai penampilan menggunakan teknologi digital.
2. Identiti Palsu yang Digunakan
Suspek menyamar sebagai seorang wanita dewasa separuh umur yang dikenali dengan nama Sister Hong atau secara sinis dikenali juga sebagai Uncle Red oleh netizen selepas kes ini terbongkar. Dalam setiap penyamaran, suspek akan memakai rambut palsu panjang, solekan tebal, pakaian wanita serta prostetik dada dan punggung untuk membentuk susuk tubuh feminin.
Bagi mengukuhkan penipuan tersebut, dia turut menggunakan suara lembut menyerupai wanita sama ada melalui teknik vokal manual atau bantuan filter suara digital. Dalam perbualan awal bersama mangsa, dia sering memperkenalkan dirinya sebagai wanita yang kesepian, ibu tunggal atau isteri yang ditinggalkan suami bagi meraih simpati dan menarik minat lelaki untuk berkenalan secara lebih intim.

3. Modus Operandi Penipuan
Suspek menyasarkan lelaki muda hingga pertengahan usia terutamanya mereka yang aktif di platform sosial dan aplikasi perkenalan. Aplikasi yang digunakan termasuk Momo, WeChat, Tantan dan Douyin (versi TikTok di China). Melalui aplikasi tersebut, dia mencipta profil palsu dengan gambar wanita menarik menggunakan filter atau foto yang diambil dari sumber lain. Dia akan memulakan perbualan dengan pendekatan manja dan menggoda serta secara beransur-ansur menawarkan hubungan cinta atau hubungan intim secara rahsia.
Setelah mangsa bersetuju untuk bertemu, suspek akan meminta mereka membawa hadiah seperti minyak masak, buah-buahan atau rokok supaya pertemuan itu tampak seperti lawatan kekeluargaan biasa. Ini juga bertujuan untuk mengelakkan sebarang bukti transaksi wang yang boleh mendakwa dirinya melakukan pelacuran atau pelanggaran undang-undang lain secara langsung.
4. Hubungan Seksual & Rakaman Tanpa Kebenaran
Apabila mangsa tiba di rumah suspek yakni sebuah pangsapuri kecil di Nanjing, suspek akan menggoda mangsa secara fizikal dan seterusnya melakukan hubungan seksual. Apa yang tidak diketahui mangsa ialah setiap pergerakan mereka telah dirakam secara rahsia oleh kamera tersembunyi yang diletakkan pada pelbagai sudut bilik.
Rakaman-rakaman tersebut tidak digunakan untuk koleksi peribadi semata-mata sebaliknya telah dijadikan bahan utama untuk penjualan kandungan lucah secara dalam talian tanpa pengetahuan atau keizinan mangsa. Kesemua aksi tersebut diproses dan disunting untuk diedarkan dalam platform berbayar.

5. Jumlah Mangsa dan Skala Jenayah
Menurut pengakuan suspek sendiri semasa siasatan, sebanyak 1691 lelaki telah menjadi mangsa dalam tempoh beberapa tahun. Mangsa datang daripada pelbagai latar belakang sosial termasuk pelajar universiti, pekerja profesional, jurulatih kecergasan/gimnasium dan pempengaruh media sosial.
Kebanyakan daripada mereka tidak pernah menyedari bahawa mereka telah berhubungan dengan seorang lelaki apatah lagi dirakam secara rahsia. Angka mangsa yang mencecah hampir 1700 menjadikan kes ini sebagai antara jenayah catfishing seksual terbesar yang pernah direkodkan di China dan barangkali di dunia.
6. Pengedaran Video Lucah & Penjanaan Wang
Suspek bukan sekadar menyimpan video untuk kegunaan peribadi tetapi telah mewujudkan kumpulan tertutup dalam talian dipercayai melalui WeChat dan beberapa saluran langganan tidak sah bagi menjual video rakaman mangsa.
Ahli kumpulan perlu membayar yuran sebanyak 150 yuan (sekitar RM100) untuk mengakses rakaman tersebut. Video yang diedarkan menunjukkan aksi jelas mangsa, sebahagiannya dengan wajah dan tubuh terdedah hingga menyebabkan trauma mendalam kepada mereka.
Rakaman dilakukan dalam keadaan tanpa notis atau cahaya rakaman sekali gus menjadikan ia sebagai bukti jelas pelanggaran privasi dan eksploitasi seksual tanpa rela.

7. Penyiasatan & Penangkapan
Beberapa individu yang terlihat video-video mencurigakan mula membuat aduan kepada pihak berkuasa. Setelah siasatan dijalankan, polis berjaya menjejak suspek dan menahannya pada 5 Julai 2025. Serbuan dilakukan ke atas pangsapurinya serta pihak polis merampas 6 unit telefon pintar, 5 kamera tersembunyi, pelbagai rambut palsu, alat solek, prostetik fizikal, buku nota yang mengandungi senarai atau kod nama mangsa, beberapa pemacu USB dan storan digital yang mengandungi koleksi rakaman.
Pihak berkuasa turut mengesahkan bahawa suspek bertindak sendirian tanpa sebarang jaringan atau sindiket dan dianggap sebagai seorang penjenayah seksual bersiri dalam talian.
8. Tuduhan Jenayah
Suspek kini berdepan dengan beberapa pertuduhan berat termasuk menghasilkan serta menyebarkan bahan lucah secara haram, penyamaran, penipuan identiti secara dalam talian, pelanggaran privasi seksual dan maruah individu.
Kemungkinan pelanggaran undang-undang kesihatan awam memandangkan terdapat laporan awal bahawa beberapa mangsa disahkan positif HIV dipercayai dijangkiti selepas hubungan dengan suspek. Kes ini masih dalam siasatan lanjut dan pihak pendakwaan dijangka akan mengenakan pertuduhan tambahan bergantung kepada jumlah mangsa dan hasil analisis bukti digital.

9. Kesan Sosial
Ramai mangsa tampil secara sukarela ke pusat kesihatan untuk saringan STD dan HIV manakala sebahagiannya mengalami tekanan mental dan keresahan akibat kemungkinan video mereka tersebar. Ada yang melaporkan ketakutan terhadap kesan sosial seperti kehilangan pekerjaan atau kepercayaan ahli keluarga.
10. Langkah Tindak Balas
BSebagai tindak balas kecemasan, pihak CDC Nanjing (Pusat Kawalan Penyakit) membuka perkhidmatan saringan percuma kepada sesiapa yang merasakan diri mereka mungkin menjadi mangsa. Polis turut mengeluarkan kenyataan rasmi menyeru rakyat supaya berhati-hati dengan sesiapa yang dikenali secara dalam talian, mengelakkan pertemuan fizikal tanpa pengesahan identiti sebenar dan melaporkan segera sebarang kandungan lucah yang disyaki dibuat tanpa izin.
Catat Ulasan for "INI BEBERAPA FAKTA TENTANG KES VIRAL SISTER HONG"