Skandal Sister Hong: Lelaki Menyamar Wanita Perdaya Ratusan Mangsa Lelaki di China

CHINA — Skandal penyamaran seksual melibatkan seorang lelaki berusia 38 tahun yang menyamar sebagai wanita dikenali sebagai Sister Hong mencetuskan kejutan di China apabila pihak berkuasa mengesahkan bahawa ratusan lelaki telah menjadi mangsa penipuannya.
Suspek yang dikenali dengan nama keluarga Jiao, ditahan pada 6 Julai 2025 oleh pihak polis Nanjing selepas siasatan mendapati dia telah memperdaya ratusan lelaki untuk melakukan hubungan seksual dengannya dengan menyamar sebagai seorang wanita yang berpenampilan menarik dan berstatus janda. Lebih memburukkan keadaan, perbuatan itu dirakam secara rahsia menggunakan kamera tersembunyi dan dijual di laman web lucah luar negara untuk keuntungan peribadi.

Menurut maklumat siasatan, Jiao menggunakan pelbagai kaedah untuk menjayakan penyamarannya. Dia memakai rambut palsu, solekan tebal selain menggunakan silikon dan span untuk membentuk tubuh seperti wanita. Malah dia menggunakan aplikasi penukar suara dan sentiasa beroperasi dalam persekitaran bilik yang gelap bagi mengelakkan identitinya terbongkar. Penampilannya yang meyakinkan itu berjaya memperdaya lelaki-lelaki yang mengenalinya melalui media sosial dan aplikasi temu janji.
Mangsa-mangsa dipujuk untuk datang ke rumahnya dengan tawaran seks percuma kononnya sebagai bentuk balasan jika mereka membawa sedikit buah-buahan, susu atau makanan ringan. Setibanya di rumah, Jiao akan mengarah mangsa untuk melakukan hubungan seksual dalam keadaan cahaya malap dan dalam posisi tertentu lazimnya dari belakang agar alat sulitnya tidak dapat dikesan. Bentuk hubungan yang berlaku dipercayai melibatkan seks oral dan seks dubur.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa semua hubungan intim itu dirakam secara rahsia melalui kamera tersembunyi yang telah dipasang di bilik tidur suspek. Rakaman-rakaman ini kemudiannya dijual secara atas talian melalui platform lucah antarabangsa dengan bayaran sekitar 150 yuan (lebih RM100) setiap akses. Siasatan awal mendapati suspek memperoleh keuntungan lumayan hasil aktiviti terlarang tersebut.
Laporan awal menyatakan bahawa sehingga 1600 lelaki mungkin menjadi mangsa namun polis Nanjing setakat ini telah mengesahkan sekurang-kurangnya 237 individu dikenal pasti dalam rakaman yang dirampas. Beberapa laporan media tidak rasmi turut menyebut bahawa suspek mungkin merupakan pembawa virus HIV dan telah menjangkiti beberapa mangsa. Namun setakat ini, tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh pihak kesihatan mengenai dakwaan tersebut.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Nanjing telah menggesa mana-mana individu yang pernah berhubung dengan Sister Hong untuk tampil dan menjalani saringan kesihatan secara percuma. Tindakan ini diambil selepas tersebar senarai tidak rasmi yang mengandungi nama dan nombor telefon ratusan mangsa di media sosial.
Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat sulit berkenaan dan memberi amaran bahawa penyebaran data peribadi tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang China.
Suspek kini sedang disiasat atas pelbagai pertuduhan serius termasuk menghasilkan dan mengedar bahan lucah, penipuan seksual serta membahayakan kesihatan awam. Sekiranya terbukti suspek menyebarkan penyakit berjangkit secara sengaja, dia berdepan kemungkinan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati mengikut undang-undang China.
Catat Ulasan for "Skandal Sister Hong: Lelaki Menyamar Wanita Perdaya Ratusan Mangsa Lelaki di China"