KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KARISSA BOUDREAU

Pada awal tahun 2008 bertempat di di bandar kecil Bridgewater, Nova Scotia, seorang remaja perempuan berusia 12 tahun iaitu Karissa Boudreau dilaporkan hilang oleh ibunya, Penny Boudreau. Laporan kehilangan itu segera mendapat liputan media meluas. Penny tampil di kaca televisyen di mana dia merayu dalam tangisan agar orang ramai membantu mencari anak tunggalnya.
Karissa merupakan seorang pelajar sekolah menengah rendah yang tinggal bersama ibunya selepas penceraian ibu bapa mereka. Menurut rakan-rakan dan guru, Karissa seorang anak yang periang. Cuma seperti mana-mana remaja lain, hubungan Karissa dengan ibunya tidak sentiasa tenang. Mereka sering bertelingkah dan keadaan menjadi semakin tegang apabila Penny menjalin hubungan dengan seorang lelaki bernama Vernon Macumber. Vernon dikatakan tidak selesa dengan kehadiran Karissa dan hubungan tiga segi antara mereka bertambah rumit dari hari ke hari.

Menurut pengakuan Penny kemudian di mahkamah, tekanan yang dihadapinya datang dari pelbagai arah yakni konflik dengan Karissa, desakan untuk mengekalkan hubungan cintanya serta keletihan mental. Dia mendakwa Vernon pernah memberikan kata putus sama ada Karissa pergi atau hubungan mereka berakhir. Walaupun Vernon menafikan pernah mengeluarkan kata-kata itu, Penny mempercayainya dan menjadikannya sebagai alasan untuk membuat keputusan paling kejam dalam hidupnya.
Pada 27 Januari 2008, Penny membawa Karissa menaiki kereta dengan alasan untuk berbincang. Mereka memandu ke sebuah kawasan terpencil berhampiran Sungai LaHave. Di situ, Penny menyuruh Karissa keluar dari kereta. Tanpa disangka-sangka oleh anak kecil itu, ibunya tiba-tiba mengikat tali pada lehernya dan menjerutnya sehingga rebah. Waktu itu, Karissa yang menyedari dia sedang dibunuh sempat merayu dengan kata-kata yang sangat menyentuh perasaan,
“Mommy, don’t. I’m sorry. I want to live.” (“Ibu, tolong, jangan. Saya minta maaf. Saya mahu hidup.”)

Walau bagaimanapun, Penny mengabaikan rayuan itu. Dia bukan sahaja terus menjerut Karissa malah berlutut di atas dada anaknya bagi memastikan Karissa tidak dapat melawan. Setelah memastikan anaknya tidak lagi bernyawa, Penny menyeret mayat Karissa ke dalam semak lalu meninggalkannya di situ.
Beberapa jam selepas itu, Penny tampil di balai polis membuat laporan palsu bahawa Karissa telah hilang selepas mereka bertengkar di tempat letak kereta sebuah pasar raya. Dia turut tampil di hadapan kamera televisyen, menangis dan merayu agar Karissa kembali. Lakonan Penny memperdaya ramai pihak pada awalnya dan orang awam turut melancarkan gerakan mencari Karissa secara besar-besaran.
Siasatan pihak polis bagaimanapun mula mengesan percanggahan dalam kenyataan Penny. Rakaman CCTV menunjukkan Karissa tidak pernah berada di kawasan pasar raya seperti yang didakwa. Ketidakselarasan masa dan kronologi menyebabkan polis mula menyasarkan Penny sebagai suspek utama. Setelah dua minggu mencari, pada 9 Februari 2008, mayat Karissa akhirnya ditemui dalam keadaan beku dan membusuk berhampiran Sungai LaHave.

Tekanan siasatan akhirnya memaksa Penny untuk mengaku bersalah pada Januari 2009. Di mahkamah, dia mengakui membunuh anaknya sendiri dan menyatakan kononnya bahawa dirinya tidak nampak jalan keluar lain. Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan kelayakan parol hanya selepas 20 tahun. Teman lelakinya, Vernon Macumber tidak pernah didakwa atau dikaitkan secara langsung dengan pembunuhan tersebut. Menurut keterangan Vernon, dia tidak pernah menyuruh Penny memilih antara dirinya dan Karissa. Namun akibat kejadian itu, Vernon mengalami tekanan emosi yang sangat berat. Vernon menyatakan dalam temu bual bahawa dia dihantui rasa bersalah kerana kata-katanya mungkin disalah tafsir dan dijadikan alasan untuk pembunuhan itu. Setelah kejadian, Vernon menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan, mengalami kemurungan dan bergelut dengan masalah alkohol.
Pada tahun 2025, selepas 17 tahun menjalani hukuman, Lembaga Parol Kanada memberikan kebenaran kepada Penny Boudreau untuk menjalani cuti sementara dari penjara tanpa pengawasan selama 60 hari. Walaupun parol penuh ditolak, keputusan ini menimbulkan kemarahan orang awam dan keluarga mangsa. Ranai berpendapat,vseorang ibu yang membunuh anaknya sendiri dengan kejam tidak seharusnya diberi sebarang kelonggaran.
Kisah Karissa telah dipaparkan dalam pelbagai dokumentari jenayah seperti Deadly Women serta menjadi subjek buku Mommy Don’t: From Mother to Murderer tulisan Sherri Aikenhead yang mendedahkan butiran kes, laporan forensik dan wawancara bersama pihak-pihak yang terlibat. Buku itu turut memaparkan detik-detik akhir Karissa dan konflik batin yang menghantui Vernon hingga pada hari ini.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KARISSA BOUDREAU"