Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Guru Muda Jadi Mangsa Rogol Beramai-Ramai oleh Pelajar Sekolah, Rumahnya Kemudian Dibakar

     AUSTRIA - Seorang guru wanita berusia 28 tahun di Vienna menjadi mangsa kepada serangan mengerikan apabila sekumpulan pelajar sekolah lelaki dipercayai merogolnya secara bergilir-gilir sebelum membakar kediamannya dalam usaha memusnahkan bukti jenayah.

     Menurut laporan mahkamah, kejadian itu berlaku sekitar tahun 2023 dan kini sedang dibicarakan di Vienna Regional Criminal Court. Tertuduh terdiri daripada lima remaja lelaki berumur antara 14 hingga 17 tahun di mana semuanya pelajar di sekolah yang sama dengan mangsa. Mereka dilaporkan mula mengenali guru tersebut melalui kelas tambahan yang dikendalikan di luar waktu sekolah.

     Mangsa memaklumkan kepada penyiasat bahawa serangan pertama berlaku di pangsanya sendiri selepas dia menjemput beberapa pelajar ke rumahnya untuk membantu mereka dalam pelajaran. Namun keadaan berubah apabila kumpulan pelajar itu mula bertindak agresif, memegangnya dengan kekerasan dan merogolnya secara bergilir. Lebih menjijikkan, beberapa pelaku dikatakan merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit. Rakaman itu kemudian digunakan untuk mengugut mangsa agar tidak melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

      Pihak pendakwa raya turut mendedahkan bahawa selepas kejadian itu, mangsa mengalami trauma mendalam dan memohon cuti panjang daripada sekolah. Dia kemudiannya berpindah buat sementara waktu ke luar negara untuk mendapatkan rawatan psikologi. Kejadian bagaimanapun tidak berakhir di situ. Beberapa bulan selepas serangan itu yakni ketika guru berkenaan berada di luar negara, tiga daripada remaja terbabit dikatakan memecah masuk ke rumah mangsa untuk mencuri beberapa barangan peribadi dan menyimbah bahan mudah terbakar sebelum menyalakan api.

     Api merebak dengan cepat hingga memusnahkan hampir keseluruhan unit apartmen itu. Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran selepas beberapa jam tetapi siasatan forensik menemui kesan petrol dan puntung rokok yang membawa kepada penahanan semula tiga suspek utama.Penyiasat percaya tindakan membakar rumah itu dilakukan bagi menghapuskan sebarang bukti yang boleh mengaitkan mereka dengan jenayah rogol terdahulu.

     Menteri Pendidikan Austria mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengecam perbuatan keji itu dan menegaskan bahawa keselamatan guru perlu diberi keutamaan di semua institusi pendidikan. Beberapa laporan media tempatan turut menyebut bahawa sebahagian daripada remaja itu merupakan pelajar imigran yang baru menetap di Austria. Walau bagaimanapun, butiran kewarganegaraan mereka tidak didedahkan kepada umum atas sebab perundangan dan sensitiviti sosial.

     Di mahkamah, pihak pendakwa menuduh para pelaku atas kesalahan rogol beramai-ramai, ugutan, kecurian dan pembakaran disengajakan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara panjang meskipun masih di bawah umur berdasarkan undang-undang perlindungan kanak-kanak Austria yang membenarkan hukuman berat bagi kes jenayah serius.

     Mangsa yang kini dirahsiakan identitinya dilaporkan masih menjalani rawatan psikologi dan enggan kembali mengajar buat masa ini. Peguamnya menyatakan bahawa wanita itu masih mengalami mimpi ngeri dan rasa takut yang mendalam untuk kembali ke Vienna.

Catat Ulasan for "Guru Muda Jadi Mangsa Rogol Beramai-Ramai oleh Pelajar Sekolah, Rumahnya Kemudian Dibakar"