Kisah Pembunuhan Kejam Nia Kurniasari

Pada tahun 2024, Nia Kurniasari, seorang gadis remaja berusia 18 tahun dari Kabupaten Padang Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia telah menjadi pembunuhan kejam. Nia dikenali sebagai seorang gadis yang cekal, berbakat dan mempunyai cita-cita besar. Walau bagaimanapun, segala impian tersebut ranap dalam sekelip mata akibat sifat tidak berperikemanusiaan seorang manusia bernama Indra Septiarman.
Nia Kurniasari dilahirkan dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan. Sejak kecil, dia sudah terbiasa hidup susah. Keluarganya bahkan pernah terpaksa menumpang teduh di sebuah surau kampung sebelum mampu menyewa rumah. Menyedari beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapanya, Nia menunjukkan inisiatif yang luar biasa dengan mula menjual makanan bergoreng dan kuih-muih tradisional sejak berada di bangku sekolah rendah lagi. Dia membawa jualan tersebut ke sekolah untuk dijual kepada rakan-rakan sewaktu jam istirahat. Walaupun sibuk mencari rezeki, Nia tidak pernah mengabaikan pelajarannya. Dia merupakan seorang pelajar cemerlang yang sering mendapat kedudukan teratas di dalam kelas selain turut aktif dalam sukan pencak silat sehingga berjaya merangkul pingat emas di peringkat wilayah. Selain itu, Nia juga merupakan seorang hafizah yang telah mengkhatamkan 30 juzuk Al-Quran.
Selepas menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah pada tahun 2024, Nia berazam untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading demi mengejar cita-citanya menjadi seorang guru Bahasa Indonesia. Disebabkan gagal memperoleh bantuan biasiswa, dia menggandakan usahanya dengan menjual makanan bergoreng secara berjalan kaki mengelilingi kampung sejauh tiga kilometer pada setiap hari. Dia biasanya keluar bermula jam 4:00 petang sehinggalah menjelang waktu maghrib. Walaupun bapanya pernah menasihati Nia agar menghentikan jualan keliling kerana bimbangkan keselamatan anak gadisnya, Nia tetap meneruskan pekerjaan tersebut dengan penuh semangat demi mengumpul wang yuran pengajian.

Detik hitam bagi Nia bermula pada petang Jumaat, 6 September 2024. Ketika sedang dalam perjalanan pulang selepas menjual makanan bergoreng, Nia telah melalui sebuah kawasan kedai di mana sekumpulan pemuda tempatan sedang melepak. Salah seorang daripada mereka ialah Indra Septiarman, seorang penganggur berusia 26 tahun yang juga merupakan seorang bekas banduan tegar dengan rekod jenayah lampau berkaitan kes pencabulan dan penyalahgunaan dadah. Indra yang dirasuki niat jahat telah bertindak mengekori Nia secara senyap-senyap. Ketika Nia melalui kawasan perkebunan yang sunyi dan gelap, Indra telah menyerang mangsa dari belakang lalu menjerat lehernya menggunakan tali rafia hingga mangsa lemah dan tidak berdaya.
Indra kemudiannya memikul tubuh Nia ke sebuah kawasan perkuburan yang terpencil di dalam hutan. Di sebuah pondok usang di kawasan tersebut, penjenayah itu bertindak memperkosa mangsa. Selepas melampiaskan nafsu serakahnya, Indra dipalit ketakutan akan kegiatannya dihidu pihak berkuasa. Bagi menghapuskan bukti, dia menyeret mayat Nia ke kawasan lereng bukit. Di situ, Indra menanam jasad gadis sunti itu secara berbogel di dalam sebuah lubang cetek yang kemudian ditutup dengan daun dan ranting kayu. Pakaian Nia pula dicampakkan ke dalam kawasan sawah berhampiran sebelum Indra pulang ke rumah seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Kehilangan Nia mula disedari oleh keluarganya apabila dia tidak pulang ke rumahhingga jam 8:00 malam. Operasi pencarian segera dilancarkan oleh penduduk kampung bersama pihak polis. Pada keesokan harinya, petunjuk mula ditemui apabila dulang jualan Nia bersama makanan goreng yang bertaburan serta tudung milik mangsa dijumpai di kawasan semak. Pasukan penyiasat yang menggunakan khidmat anjing pengesan akhirnya menemui gundukan tanah yang mencurigakan. Pada 8 September 2024, mayat Nia ditemui tertanam dalam keadaan yang sangat menyedihkan.
Pihak polis segera memburu Indra Septiarman selepas dia didapati melarikan diri sebaik sahaja siasatan bermula. Selepas hampir dua minggu bersembunyi di dalam hutan dan kawasan ladang, Indra akhirnya berjaya dikepung oleh pihak polis dan penduduk kampung. Dia ditemui sedang bersembunyi di atas siling sebuah rumah kosong. Pihak polis terpaksa membentuk sekatan keselamatan yang ketat bagi menyelamatkan Indra daripada menjadi mangsa amukan penduduk kampung yang terlalu marah dengan tindakan kejamnya. Selepas ditangkap, Indra akhirnya mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan membunuh Nia Kurniasari.

Semasa perbicaraan mahkamah yang berlangsung pada Jun 2025 di Pengadilan Negeri Padang Pariaman, Indra cuba membuat helah dengan memfitnah mangsa kononnya Nia terlibat dalam sindiket pengedaran dadah seberat 1.5 kilogram. Mahkamah dan pihak polis bagaimanapun menolak sekeras-kerasnya dakwaan tersebut kerana tiada sebarang bukti sahih selain reputasi Nia yang dikenali seluruh kampung sebagai anak yang sangat baik serta solehah. Tindakan keji memfitnah mangsa yang telah meninggal dunia ini menyebabkan pihak pendakwaan menuntut hukuman paling berat iaitu hukuman mati ke atas Indra Septiarman.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Nia Kurniasari"