Kisah Stefania Follini: Eksperimen Pengasingan Diri Dalam Gua

     Eksperimen pengasingan diri Stefania Follini merupakan salah satu kajian sains tingkah laku dan kronobiologi yang paling terkenal dalam sejarah moden. Pada tahun 1989, wanita warga Itali berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pereka dalaman ini telah terpilih daripada 20 orang pemohon untuk menjadi subjek ujian bagi satu eksperimen ekstrem yang dinamakan Eksperimen Pengasingan Gua. Projek ini dikendalikan oleh seorang pakar sosiologi dan pengembara Itali, Maurizio Montalbini dengan tajaan serta sokongan dana daripada agensi angkasa lepas Amerika Syarikat, NASA. Pihak NASA sangat tertarik dengan kajian ini bagi memahami kesan pengasingan jangka panjang terhadap mental dan fizikal angkasawan yang bakal dihantar bagi misi masa hadapan seperti penjelajahan ke planet Marikh.

     Follini dipilih kerana memiliki personaliti yang tenang, berdikari dan tidak kisah untuk meluangkan masa bersendirian. Pada 13 Januari 1989, eksperimen tersebut bermula di Gua Lost yang terletak di New Mexico, Amerika Syarikat. Follini ditempatkan di dalam sebuah modul khas berbentuk bilik akrilik lutsinar seluas 130 kaki persegi yang dibina pada kedalaman 9 meter di bawah tanah. Di dalam bilik tersebut, pihak penganjur menyediakan bekalan makanan, air, buku, sebuah gitar, kaset lagu dan sebuah komputer. Komputer tersebut hanya boleh digunakan untuk menghantar mesej teks sehala kepada para penyelidik di permukaan bumi bagi melaporkan status kesihatannya tanpa sebarang akses internet. Peraturan paling kritikal dalam eksperimen ini ialah tiada sebarang jam, radio, televisyen atau kalendar dibenarkan. Malah cahaya matahari langsung tidak dapat menembusi gua tersebut.


     Tanpa kehadiran cahaya matahari dan penanda waktu (iaitu perangsang luar yang dikenali dalam sains sebagai zeitgeber), jam biologi badan Follini mula mengalami gangguan yang dahsyat. Pada awal eksperimen, Follini cuba mengekalkan rutin harian yang sihat dengan membaca, belajar bahasa Perancis, bermain gitar dan berlatih seni pertahanan diri judo. Dia juga ditemani oleh beberapa ekor haiwan kecil seperti dua ekor tikus putih yang dinamakan Giuseppe dan Nicoletta, beberapa ekor katak serta belalang sebagai sokongan emosi bagi mengurangkan rasa sunyi. Setiap kali terjaga daripada tidur, dia akan menghidupkan lampu pendarfluor sebagai pengganti matahari lalu memasukkan data berat badan, tekanan darah dan keputusan ujian memori ke dalam komputer sebelum memulakan aktiviti bebas.

     Walau bagaimanapun, lama-kelamaan ketiadaan paku masa biologi menyebabkan kitaran sirkadian (waktu dalaman badan) Follini berubah secara drastik. Daripada kitaran normal 24 jam sehari, persepsi masanya meluas menjadi kitaran 28 jam dan akhirnya melonjak ke kitaran 48 jam yang ekstrem. Follini dilaporkan mampu terus berjaga dan melakukan aktiviti selama 30 jam berturut-turut, sebelum tidur dalam tempoh yang sangat lama mencecah 24 jam. Disebabkan Follini mengikut pengiraan satu hari berdasarkan jam biologinya sendiri, dia hanya makan sebanyak tiga kali bagi setiap kitaran 48 jam tersebut. Hal ini menyebabkan jumlah pengambilan makanannya berkurangan berbanding hari biasa di permukaan bumi sekali gus mengakibatkan berat badannya menyusut sebanyak 8 kilogram sepanjang eksperimen berjalan.

    Kesan fizikal dan mental akibat pengasingan ini menjadi semakin membimbangkan dari hari ke hari. Akibat langsung daripada ketiadaan pendedahan kepada sinaran matahari, kulit Follini bertukar menjadi sangat pucat seperti mayat hidup di mana dia mengalami masalah kekurangan Vitamin D yang amat kritikal. Perubahan biologi yang paling mengejutkan para saintis adalah apabila fungsi sistem reproduktif badannya terhenti sepenuhnya yakni menyebabkan kitaran haid Follini terhenti terus sepanjang berada di bawah tanah. Dari sudut psikologi pula, Follini mula diserang rasa sunyi yang amat mencengkam dan fasa kemurungan teruk, suatu simptom yang sering terjadi kepada subjek yang terputus hubungan dengan interaksi manusia.

    Selepas 130 hari berada dalam kegelapan dan kesunyian bawah tanah, para penyelidik memutuskan bahawa data yang dikumpul sudah mencukupi dan menamatkan eksperimen tersebut pada 22 Mei 1989. Apabila Follini dibawa keluar ke permukaan bumi, dia terpaksa menutup matanya kerana tidak tahan dengan silau cahaya matahari yang sudah lama tidak dilihatnya. Maurizio Montalbini kemudian bertanyakan soalan penting kepada Follini tentang tarikh semasa pada hematnya. Maka dengan penuh yakin, Follini menjawab bahawa ketika itu jangkaannya baru berada di pertengahan bulan Mac. Dia berasa sangat terkejut dan seolah-olah tidak percaya apabila diberitahu bahawa realitinya masa sudah berlalu selama empat bulan dan kini sudah mencecah penghujung bulan Mei.


     Walaupun terpaksa melalui pengalaman yang mengerikan di dalam gua tersebut, Follini mengambil masa sekitar dua minggu untuk pulih sepenuhnya dan dengan semangat yang kental. Dia menyatakan tidak keberatan untuk menyertai eksperimen sedemikian lagi pada masa hadapan demi kemajuan sains angkasa lepas.

Catat Ulasan for "Kisah Stefania Follini: Eksperimen Pengasingan Diri Dalam Gua"