Kisah Dave Shaw yang Tidak Pernah Pulang: Misteri Laut Dalam

Dave Shaw merupakan seorang juruterbang komersial warga Australia yang mempunyai minat mendalam serta kepakaran luar biasa dalam bidang technical diving. Dia merupakan salah seorang daripada segelintir penyelam di dunia pada waktu itu yang mahir mengendalikan peralatan rebreather, sebuah alat pernafasan litar tertutup yang mengitar semula gas pernafasan untuk selaman yang sangat dalam. Pada Oktober 2004 yakni ketika melakukan selaman eksplorasi di Boesmansgat (Bushman's Hole), sebuah gua air tawar bawah tanah di Afrika Selatan yang sangat digeruni, Dave telah berjaya mencecah dasar gua pada kedalaman ekstrem iaitu 270 meter. Di tengah-tengah kegelapan dan keheningan dasar lubang tersebut, lampu suluhnya secara tidak sengaja telah menyuluh sekujur mayat yang terbenam di dalam lumpur dalam keadaan terapung tegak.
Mayat tersebut kemudian disahkan sebagai Deon Dreyer, seorang penyelam remaja warga Afrika Selatan yang telah hilang dan mati lemas di lubang berkenaan sepuluh tahun sebelumnya iaitu pada tahun 1994. Disebabkan oleh ketiadaan bakteria dan tekanan air yang terlampau tinggi di dasar gua tersebut, mayat Deon tidak mengalami proses reput yang biasa tetapi sebaliknya tisu badannya bertukar menjadi lilin yang mengekalkan bentuk fizikalnya. Sekembalinya ke permukaan, Dave segera menghubungi ibu bapa Deon. Terkesan dengan penderitaan mendalam keluarga tersebut yang gagal menemui mayat anak mereka selama sedekad, Dave dengan penuh azam membuat satu janji besar. Dia bertekad akan turun semula ke kedalaman maut itu untuk membawa pulang mayat Deon agar keluarganya dapat memberikan sebuah penghormatan dan pengebumian yang sempurna.
![]() |
| Deon Dreyer |
Rancangan untuk menaikkan jasad Deon diatur dengan sangat teliti selama beberapa bulan dengan melibatkan barisan penyelam teknikal terbaik dunia termasuk sahabat karib Dave, Don Shirley. Misi ini turut mendapat perhatian media dan didokumentasikan sepenuhnya. Malah sebuah kamera video kecil telah dipasang pada dahi (helmet) Dave untuk merakam setiap detik operasi di dasar gua bagi tujuan rekod dan keselamatan. Mengikut pelan keselamatan yang ketat, Dave hanya mempunyai masa yang tersangat suntuk iaitu 5 minit sahaja di dasar gua untuk memasukkan mayat Deon ke dalam beg mayat khas sebelum perlu mula naik semula ke permukaan. Kelewatan walaupun seminit akan menyebabkan proses dekompresi yang memakan masa berbelas jam bertukar menjadi tidak selamat kerana kekangan bekalan gas pernafasan.
Pada pagi 8 Januari 2005, Dave Shaw mula turun menyelami kegelapan Boesmansgat. Namun sebaik sahaja diantiba di dasar dan memulakan kerja-kerja pengalihan, situasi mula bertukar menjadi cemas dan tidak terkawal. Berdasarkan rakaman kamera video yang ditemui kemudian, mayat Deon didapati mula terapung secara misteri sebaik sahaja digerakkan kerana poket udara yang terperangkap pada sut selaman lama Deon masih mempunyai daya apungan. Pergerakan fizikal yang drastik itu telah mengocok mendapan lumpur di dasar gua yang menjejaskan jarak penglihatan dengan teruk. Dalam keadaan yang semakin samar, tali beg mayat dan tali garis panduan mula tersangkut dan melilit peralatan yang dibawa oleh Dave termasuk lampu suluhnya.
Pada kedalaman 270 meter, ketumpatan gas pernafasan adalah sangat tinggi dan memberikan tekanan yang luar biasa pada paru-paru. Apabila Dave bekerja keras secara fizikal dalam keadaan panik untuk melepaskan lilitan tali tersebut, badanya menghasilkan karbon dioksida dengan kadar yang tersangat pantas. Fenomena ini mencetuskan Hypercapnia (keracunan karbon dioksida) yang menyebabkan Dave mengalami sesak nafas yang teruk, pening dan hilang keupayaan untuk berfikir secara rasional. Dalam keadaan keliru dan tercungap-cungap, masa 5 minit yang diperuntukkan telah berlalu pergi. Dave gagal memotong tali yang melilit dirinya. Dia akhirnya tidak sedarkan diri akibat kehabisan oksigen sebelum meninggal dunia di dasar gua, betul-betul di sebelah mayat remaja yang cuba diselamatkannya.
Kematian Dave Shaw meninggalkan duka yang mendalam buat pasukannya. Sahabatnya, Don Shirley yang menunggu di kedalaman atas turut hampir maut akibat serangan dekompresi yang teruk semasa cuba memberikan bantuan. Dia bagaimanapun terselamat selepas melalui proses rawatan dekompresi selama berjam-jam. Pihak berkuasa dan pasukan SAR pada mulanya memutuskan untuk menamatkan operasi dan membiarkan kedua-dua mayat tersebut di dasar gua kerana risiko untuk menghantar penyelam lain ke kedalaman 270 meter adalah terlalu tinggi. Walau bagaimanapun sebuah kejadian yang dianggap ajaib telah berlaku tiga hari kemudian iaitu pada 11 Januari 2005.

Ketika pasukan penyelamat sedang menarik naik baki tali dan peralatan yang ditinggalkan di kawasan air yang lebih cetek, mereka menyedari bahawa tali tersebut terasa amat berat. Apabila ditarik sehingga ke permukaan, seluruh pasukan SAR terpaku apabila mendapati mayat Dave Shaw dan jasad Deon Dreyer telah timbul bersama-sama. Siasatan mendapati tali beg mayat yang tersangkut pada peralatan Dave rupa-rupanya telah mengikat kedua-dua mayat mereka. Perubahan tekanan air dalam tempoh beberapa hari tersebut telah menyebabkan gas di dalam badan mereka mengembang lalu menaikkan mereka ke permukaan secara semula jadi. Walaupun misi tersebut berakhir dengan kehilangan nyawanya sendiri, Dave Shaw akhirnya berjaya menunaikan janjinya kepada ibu bapa Deon. Kedua-dua mayat tersebut dikeluarkan dari air pada hari yang sama.
Kisah Dave ini turut diabadikan dalam dokumentari Dave Not Coming Back arahan Jonah Malak. Judulnya diambil daripada mesej radio bawah air yang memaklumkan kematian Dave Shaw kepada kru di permukaan. Dokumentari ini menggabungkan temu bual bersama Don Shirley dan ahli keluarga mangsa serta memaparkan rakaman video tulen daripada kamera dahi milik Dave yang merakam detik-detik akhirnya di kedalaman 270 meter. Tonton aksi selaman terakhir Dave di bawah:

Catat Ulasan for "Kisah Dave Shaw yang Tidak Pernah Pulang: Misteri Laut Dalam"