Kisah Pembunuhan Kejam Khalidatun Nikmah

Pada bulan Julai 2022, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di di daerah Ungaran, Kabupaten Semarang, Jawa Tengah, Indonesia. Kes ini melibatkan pembunuhan kejam dan jenayah pemotongan anggota badan yang menimpa seorang wanita muda berusia 24 tahun bernama Khalidatun Nikmah. Perbuatan tidak berperikemanusiaan ini dilakukan oleh bekas kekasihnya sendiri, Imam Sobari yang berusia 32 tahun di dalam sebuah bilik sewa yang mereka diami bersama.
Menyingkap kembali latar belakang hubungan antara mangsa dan pelaku, kedua-duanya sebenarnya merupakan jiran sekampung yang berasal dari Desa Cibunar, Balapulang, Kabupaten Tegal. Hubungan asmara mereka telah bermula sejak tahun 2015 ketika Khalidatun masih berstatus seorang pelajar sekolah menengah. Walau bagaimanapun, hubungan tersebut telah melampaui batas sehingga menyebabkan Khalidatun mengandung. Enggan menerima tindakan tersebut, keluarga Khalidatun telah melaporkan Imam kepada pihak berkuasa atas dakwaan melakukan jenayah seksual terhadap gadis di bawah umur. Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun kepada Imam pada tahun 2016. Dia bagaimanapun dibebaskan lebih awal pada Disember 2021 selepas menerima pengurangan tempoh hukuman.
Sekeluarnya dari tirai besi, Imam segera mencari Khalidatun untuk menyambung kembali hubungan cinta mereka. Walau bagaimanapun, keluarga mangsa memaklumkan bahawa Khalidatun telah pun berkahwin dengan lelaki lain sejak dua tahun lalu di mana suaminya kini bekerja di Taiwan. Malah mangsa juga tiada di kampung kerana telah berhijrah untuk bekerja di sebuah kilang di Ungaran, Semarang. Disebabkan berasa sakit hati dan enggan melepaskan wanita yang kononnya dicintai, Imam nekad menjejaki mangsa ke Semarang. Menggunakan helah dan pujukan, Imam akhirnya berjaya mempengaruhi Khalidatun untuk tinggal bersamanya. Bagi mengaburi mata pemilik bilik sewa di Jalan Soekarno Hatta, Bergas, Imam bertindak memalsukan dokumen perkahwinan mereka untuk menunjukkan kononnya mereka adalah pasangan suami isteri yang sah.
Kehidupan bersama yang disangka manis itu bertukar menjadi toksik apabila Imam langsung tidak berusaha mencari pekerjaan. Sepanjang tinggal di situ, dia hanya menghabiskan masa dengan makan, tidur dan merokok di dalam bilik manakala Khalidatun terpaksa keluar bekerja menyara kehidupan. Pada hari Sabtu, 16 Julai 2022, kesabaran Khalidatun akhirnya muncak. Mangsa telah menegur sikap malas Imam dengan kata-kata tajam serta mempersoalkan bila lelaki itu akan mula bekerja. Teguran tersebut ternyata mencetuskan kemarahan luar biasa dalam diri Imam. Dek kerana gagal mengawal emosi, Imam bertindak menyerang dan mencekik Khalidatun hingga wanita itu kehabisan penafasan lalu meninggal dunia di tempat kejadian.
.

Menyedari mangsa sudah tidak bernyawa, Imam mula diselubungi ketakutan dan panik. Bagi mengelakkan perbuatannya dihidu oleh penghuni bilik sewa yang lain, dia telah mengheret mayat Khalidatun ke dalam bilik air. Pada keesokan harinya, Ahad 17 Julai 2022, Imam mendapat idea jahat untuk melupuskan mayat tersebut dengan cara memotongnya kepada beberapa bahagian agar lebih mudah dibuang. Proses pemotongan yang sangat mengerikan ini dilakukan oleh pelaku selama tiga hari berturut-turut yakni dari hari Ahad hinggalah Selasa, 19 Julai 2022 menggunakan senjata tajam berkarat yang berada di dalam bilik tersebut. Sepanjang tiga hari tersebut, Imam sengaja mengurung diri dan tidak keluar dari bilik bagi memastikan tiada sesiapa yang curiga.
Anggota badan mangsa yang telah dipotong kemudiannya dibahagikan dan dimasukkan ke dalam tujuh bungkusan plastik berasingan. Bagi menghapuskan bukti, Imam membawa plastik-plastik tersebut dan membuangnya secara berperingkat di beberapa lokasi yang berbeza. Selepas selesai membuang mayat, Imam sempat mencuri wang tunai serta barangan kemas milik mangsa untuk dijual bagi mendapatkan belanja melarikan diri. Sebelum meninggalkan Tegal untuk menuju ke Jawa Timur, dia bahkan sempat singgah bertemu bapa mangsa untuk menyerahkan sedikit wang bagi nafkah anak hasil hubungan luar nikah mereka dahulu.
Siri pembunuhan kejam ini mula terbongkar pada hari Ahad, 24 Julai 2022 apabila seorang nelayan tempatan di Sungai Wonoyobo, Ungaran Timur menemui salah satu bungkusan plastik yang mengandungi cebisan tubuh manusia yang sudah reput. Penemuan tersebut menggemparkan seluruh penduduk kawasan sekitar. Pihak polis yang bergegas ke lokasi kejadian segera melakukan pencarian menyeluruh bersama penduduk kampung. Hasil pemeriksaan di sekitar lokasi penemuan, pihak berkuasa menemui sebuah kad ATM yang tercicir. Kad ATM inilah yang menjadi petunjuk utama yang merungkai identiti mangsa sebagai Khalidatun Nikmah di mana profilnya sepadan dengan laporan kehilangan yang dibuat sebelum ini.

Satu aspek mistik dan mengerikan yang turut dikongsi oleh penghuni rumah sewa tersebut adalah mengenai misteri bau air paip. Sepanjang tiga hari proses pemotongan itu berlaku, para penghuni mengadu bahawa air paip yang keluar dari sinki dan bilik air mereka berbau hanyir darah pekat hingga mangkuk dan perkakas dapur yang dicuci menggunakan air tersebut tetap melekat dengan bau hanyir yang sukar hilang. Pada waktu itu, mereka langsung tidak menyangka bahawa bau tersebut datangnya daripada sisa darah mangsa yang mengalir masuk melalui sistem saliran memandangkan sumber air rumah sewa itu datang daripada air perigi. Sebaik sahaja kes ini tular, kebanyakan penghuni bilik sewa tersebut bertindak berpindah keluar serta-merta kerana trauma dan ketakutan.
Pada hari yang sama mayat mangsa ditemui, pihak polis berjaya mengesan kedudukan Imam Sobari yang sedang dalam pelarian menaiki kereta api menuju ke Tulungagung. Dia akhirnya ditangkap tanpa sempat melawan di Stesen Kereta Api Kutoarjo, Purworejo. Susulan tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan itu, Imam Sobari telah didakwa di bawah Pasal 338 dan Pasal 340 Kanun Keseksaan (KUHP) Indonesia atas pertuduhan pembunuhan terancang. Sabit kesalahan, pelaku berhadapan dengan hukuman paling berat iaitu hukuman mati, penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya tempoh kurungan selama 20 tahun.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Khalidatun Nikmah"