Kisah Penipuan Dahsyat Wang Dali

Pada pertengahan tahun 2014, sebuah balai polis di Kota Huzhou, Wilayah Zhejiang, China menjadi tumpuan apabila tiga orang lelaki hadir dalam keadaan emosi yang sangat tegang. Apa yang menghairankan, ketiga-tiga lelaki ini tidak hadir untuk bergaduh sesama sendiri atas urusan peribadi yang biasa. Mereka sebaliknya sedang bertengkar hebat bagi menuntut hak dan mempertahankan status masing-masing sebagai bapa kandung kepada sepasang anak kembar yang bakal lahir. Mereka mendakwa bahawa kekasih serta isteri mereka iaitu seorang wanita berpangkat tinggi bernama Chen Yuehua telah ditahan oleh pihak polis.
Siasatan pihak polis mendedahkan bahawa segala-galanya bermula pada penghujung tahun 2013 melalui aplikasi WeChat. Suspek yang menggunakan nama akaun Zijian de Xingguang telah berjaya memikat mangsa pertamanya iaitu Zhang Qiang. Melalui perbualan teks secara harian, suspek memperkenalkan dirinya sebagai Chen Yuehua, seorang doktor tentera wanita yang memegang ijazah kedoktoran (Ph.D.) dari Hospital Besar Wilayah Tentera Nanjing. Profilnya yang kelihatan sangat berpendidikan, sopan dan berkerjaya tinggi amat memikat hati Zhang Qiang yang ketika itu sedang mengalami krisis rumah tangga bersama isteri asalnya. Terpedaya dengan kelembutan Chen Yuehua, Zhang Qiang mengambil keputusan drastik untuk menceraikan isterinya. Dia bahjan anggup membeli sebuah rumah baharu dan mendaftarkannya di bawah nama Chen Yuehua sebagai persediaan perkahwinan mereka.
Tidak lama kemudian, Chen Yuehua mendakwa dirinya telah hamil anak kembar (lelaki dan perempuan) yang dalam budaya masyarakat China dianggap sebagai simbol tuah yang sangat besar. Berita gembira ini membuatkan Zhang Qiang menjadi gelap mata dan menuruti segala kemahuan wanita tersebut. Menggunakan statusnya sebagai doktor tentera, Chen Yuehua sering memberikan alasan perlu kembali ke kem tentera atau melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat untuk menghilangkan diri dalam tempoh yang lama. Sepanjang tempoh "kehilangan" tersebut, Zhang Qiang terus-menerus mengirimkan wang sara hidup yang mencecah puluhan ribu yuan demi menyokong pengajian dan kesihatan kandungan isterinya itu tanpa sebarang prasangka.
Persoalan besar yang timbul dalam kes ini adalah bagaimana seorang penipu mampu mengaburi mata tiga lelaki yang berbeza malah sehingga ke tahap tinggal bersama dan mengadakan hubungan intim tanpa terbongkar. Dari segi biologi, suspek bertubuh kurus, mempunyai kulit yang halus, suara yang tinggi serta garisan halkum yang hampir tidak kelihatan menyebabkan penampilannya apabila memakai pakaian wanita, solekan dan rambut palsu kelihatan sangat meyakinkan. Selain daripada itu, suspek mengkaji ilmu perubatan, mengumpul buku teks perubatan selain melakonkan watak doktor dengan sangat berkesan di hadapan jiran tetangga bagi mengukuhkan identiti palsunya.

Apabila melibatkan hubungan intim bersama para mangsa, suspek menggunakan taktik manipulasi psikologi yang sangat licik. Dia menetapkan syarat mutlak bahawa lampu bilik mesti dipadamkan sepenuhnya atas alasan sifatnya yang pemalu dan memegang status sebagai seorang wanita bekerjaya yang menjaga kehormatan diri. Bagi mengelakkan bahagian sulitnya disentuh, suspek sentiasa memakai seluar pendek khas yang diperbuat daripada bahan silikon tebal. Apabila perutnya mula membesar akibat kehamilan palsu, dia membeli replika perut mengandungi silikon dan pakaian berlapis di internet untuk memberikan tekstur yang realistik jika disentuh. Taktik ini bukan sahaja melindungi rahsianya, malah membuatkan para mangsa melihat sifat enggan disentuh itu sebagai satu tanda kesucian dan kelembutan seorang wanita yang baik.
Sifat tamak suspek membuatkannya mengulangi modus operandi yang sama kepada dua lagi mangsa lain dalam tempoh masa yang bertindih. Selain Zhang Qiang, suspek turut menjalinkan hubungan dan tinggal bersama seorang pekerja kilang bernama Wang Bin. Seterusnya, dia turut memperdayakan mangsa ketiga, Encik Li hingga ke peringkat mengadakan majlis jamuan perkahwinan rasmi. Bagi mengelakkan mangsa-mangsa ini menyemak status perkahwinan mereka di pejabat pendaftaran rasmi, Chen Yuehua akan meminta dokumen pengenalan diri mangsa dengan alasan bahawa pihak tentera mempunyai saluran dalaman khas untuk menguruskan dokumen perkahwinan penjawat awam. Dia kemudiannya menyerahkan sijil perkahwinan palsu yang dicetak sendiri kepada mangsa.
Sistem penipuan tiga penjuru ini berjalan lancar hinggalah Wang Bin mula menyedari perubahan pelik pada "isterinya" yang sering bersembunyi secara mencurigakan semasa menjawab panggilan telefon. Didorong oleh rasa cemburu, Wang Bin bertindak menyalin nombor telefon rahsia tersebut lalu menghubunginya hanya untuk mendengarkan suara Zhang Qiang di talian yang turut mendakwa dirinya sebagai suami sah kepada Chen Yuehua. Menyedari bahawa mereka kemungkinan besar telah menjadi mangsa penipuan, satu laporan polis telah dibuat yang akhirnya membawa kepada penahanan Chen Yuehua di sebuah kedai teh ketika dia sedang "sarat mengandung" lima bulan.
Drama penipuan ini mencapai kemuncaknya semasa sesi soal siasat di balai polis. Pegawai penyiasat yang kebetulan merupakan seorang bekas tentera mula berasa curiga apabila Chen Yuehua gagal menjawab soalan-soalan asas mengenai struktur pentadbiran hospital tentera tempat dia kononnya bertugas. Setelah disemak dengan pihak angkatan tentera, disahkan bahawa nama Chen Yuehua langsung tidak wujud dalam sistem. Menyedari bahawa helahnya telah tamat, suspek akhirnya akur lalu berdiri di hadapan pegawai polis dan para suaminya. Dia membuka zip pakaiannya lalu mengeluarkan gumpalan kain, kapas dan beg silikon yang membentuk perut buncitnya selama ini.
Kejutan terbesar berlaku apabila polis menyemak nama sebenar yang diakui oleh suspek iaitu Wang Dali. Melalui semakan pangkalan data sistem biometrik dan rekod penjenayah lampau, pihak polis mengesahkan bahawa individu yang berdiri di hadapan mereka dengan rambut palsu dan pakaian wanita itu merupakan seorang lelaki tulen berusia hampir 30 tahun yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan penipuan. Zhang Qiang, Wang Bin dan Encik Li yang berada di situ dilaporkan terpaku dan trauma melihat wanita yang mereka cintai dan sayangi selama ini berubah menjadi seorang lelaki di hadapan mata mereka sendiri.
Wang Dali merupakan seorang keciciran sekolah yang bermula dari peringkat sekolah menengah dan hanya bekerja secara sambilan. Motif utamanya melakukan jenayah ini adalah disebabkan oleh desakan hidup serta dendam peribadi selepas ditinggalkan oleh bekas kekasih wanitanya yang terdahulu kerana masalah kewangan. Dia sengaja memilih mangsa daripada kalangan lelaki yang mempunyai latar belakang ekonomi yang sederhana atau mempunyai kompleks rendah diri terhadap pendidikan kerana golongan ini lebih mudah berasa bangga dan patuh apabila berjaya memikat seorang wanita elit seperti doktor tentera.
Secara keseluruhannya, Wang Dali berjaya mengaut keuntungan mudah sebanyak ratusan ribu yuan termasuk wang simpanan mutlak Encik Li sebanyak 80 000 yuan yang diserahkan bulat-bulat kepadanya. Atas kesalahan melakukan penipuan terancang, menyamar sebagai pegawai tentera dan memalsukan dokumen rasmi kerajaan, Mahkamah Rakyat di China telah menjatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun ke atas Wang Dali berserta denda sebanyak 150 000 yuan serta arahan mandatori untuk memulangkan semula setiap sen wang yang telah dikikis daripada ketiga-tiga mangsa berkenaan.

Catat Ulasan for "Kisah Penipuan Dahsyat Wang Dali"