MISTERI TRAGEDI MALDIVES: TEORI ‘ILUSI DINDING PASIR’ MUNGKIN PUNCA LIMA PENYELAM ITALI MAUT

MALE, MALDIVES – Misteri menyelubungi tragedi maut yang mengorbankan lima pelancong Itali di Maldives baru-baru ini mungkin terjawab menerusi teori ilusi dinding pasir. Perkara ini dikongsi oleh kumpulan penyelam profesional dari Finland yang terlibat dalam misi pencarian dan membawa keluar mayat kesemua mangsa.
Kejadian yang berlaku pada Khamis (14 Mei 2026) lalu mengorbankan Profesor Biologi Marin, Monica Montefalcone, anak perempuannya, Giorgia Sommacal (22 tahun), dua penyelidik muda, Federico Gualtieri dan Muriel Oddenino, (31 tahun) serta jurupandu menyelam mereka, Gianluca Benedetti. Kumpulan pelancong tersebut dilaporkan maut ketika menerokai sebuah gua laut dalam yang dipenuhi yu di kawasan Atol Vaavu pada kedalaman kira-kira 160 kaki (48 meter).
Penyelam pakar daripada organisasi penyelidikan Dan Europe iaitu Sami Paakkarinen, Jenni Westerlund dan Patrik Gronqvist percaya bahawa mangsa telah tersilap jalan ketika cuba keluar dari gua Thinwana Kandu. Menurut laporan akhbar La Repubblica, mayat Gianluca Benedetti ditemui terlebih dahulu berhampiran pintu masuk gua manakala empat mangsa lain ditemui di dalam satu laluan sempit yang berakhir dengan jalan buntu. Ketua Pegawai Eksekutif Dan Europe, Laura Marroni mengesahkan bahawa tiada jalan keluar langsung dari lokasi empat mayat tersebut ditemui.

Berdasarkan struktur geografi gua, laluan masuk bermula dengan ruang gua yang besar, terang dan berpasir. Ia kemudian bersambung dengan satu laluan koridor sepanjang 30 meter dan selebar tiga meter yang memerlukan bantuan lampu suluh. Koridor ini seterusnya membawa ke ruang kamar kedua yang lebih besar, berbentuk bulat dan gelap gelita tanpa sebarang cahaya semula jadi.
Di antara koridor dan kamar kedua tersebut, terdapat satu beting pasir. Pakar penyelam Finland menjelaskan bahawa mangsa berkemungkinan besar melepasi beting pasir itu dengan mudah semasa masuk tanpa menyedarinya. Walau bagaimanapun, keadaan berubah apabila mereka berpusing untuk keluar dalam keadaan gelap, beting pasir tersebut kelihatan seumpama sebuah dinding tegar (ilusi dinding pasir) yang menutup jalan keluar sebenar.
Akibat kekeliruan itu, mangsa dipercayai tersilap mengambil laluan ke sebelah kiri beting pasir yakni sebuah koridor pendek yang berakhir dengan jalan buntu. Keempat-empat mangsa ditemui di dalam kamar kecil berkenaan dipercayai akibat menyangka ia adalah jalan pulang yang betul.

Laura Marroni menjelaskan bahawa keadaan akan menjadi sangat sukar untuk berpatah balik sekiranya penyelam tersilap arah terutamanya dengan bekalan udara yang sangat terhad. Memandangkan mangsa hanya menggunakan tangki oksigen standard, tempoh masa yang selamat untuk berada di dalam gua pada kedalaman tersebut adalah sangat singkat.
"Kita bercakap tentang tempoh masa sekitar 10 minit, atau mungkin kurang. Memikirkan bahawa anda berada di laluan yang salah dengan baki udara yang semakin menipis, selepas berpusing-pusing mencari jalan keluar adalah satu situasi yang amat mengerikan. Panik akan menyebabkan pernafasan menjadi laju sekali gus mempercepatkan penyusutan bekalan oksigen," kata Marroni.
Pihak berkuasa tempatan kini sedang menyiasat bagaimana kumpulan pelancong tersebut dibenarkan menyelam sehingga kedalaman hampir 200 kaki (60 meter). Mengikut undang-undang pelancongan Maldives, had maksimum menyelam yang dibenarkan untuk pelancong hanyalah 98 kaki (30 meter). Beberapa kamera GoPro milik mangsa telah ditemui dan diharap dapat membantu pihak berkuasa merungkai detik-detik terakhir sebelum kejadian. Proses bedah siasat pertama juga sedang dijalankan bagi membantu siasatan.

Misi membawa keluar mayat mangsa dilaporkan amat rumit dan memerlukan taklimat teknikal yang mendalam, penelitian peta gua secara terperinci serta perancangan penyah mampatan (decompression) yang rapi. Selepas berjaya menemui mangsa yang terperangkap di dalam rekahan gua yang kompleks itu, pasukan penyelam Finland naik ke permukaan dan menulis pesanan ringkas empat perkataan pada papan kapur,"We found all four" (Kami temui keempat-empatnya).
Kejadian ini secara keseluruhannya telah mengorbankan enam nyawa termasuk seorang anggota pasukan penyelamat tempatan Maldives yang maut ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan. Mayat Monica dan Federico berjaya dibawa keluar pada hari Selasa manakala mayat Giorgia dan Muriel dibawa naik ke darat sehari selepas itu.
Catat Ulasan for "MISTERI TRAGEDI MALDIVES: TEORI ‘ILUSI DINDING PASIR’ MUNGKIN PUNCA LIMA PENYELAM ITALI MAUT"