Apa Sebenarnya yang Berlaku Kepada Lima Penyelam Itali di Atol Vaavu? BAHAGIAN II

Pada lewat pagi Khamis 14 Mei 2026 yakni ketika laut mulai bergelora dan angin bertiup kencang, sepasukan lima penyelam berpengalaman dari Itali telah menyelam menuju ke gua gelap-gelita di luar perairan Atol Vaavu yang terletak kira-kira satu jam perjalanan menaiki bot laju ke selatan dari ibu negara Male. Kumpulan tersebut terdiri daripada jurulatih, Gianluca Benedetti, Monica Montefalcone, seorang profesor madya ekologi di Universiti Genoa, anak perempuan Monica, Giorgia Sommacal, ahli biologi marin Federico Gualtieri dan penyelidik, Muriel Oddenino. Mereka meneroka jauh ke dalam rangkaian gua tersebut yang bermula pada kedalaman sekitar 47 meter (154 kaki) dan menjunam sehingga 70 meter (230 kaki) pada titik terendahnya. Mereka bagaimanapun tidak pernah kembali.
Mayat kelima-lima penyelam skuba itu hanya ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memakan masa berhari-hari. Proses yang penuh getir dan berbahaya itu turut mengorbankan mangsa keenam iaitu seorang penyelam tentera tempatan, Sarjan Mohamed Mahudhee. Menurut pihak berkuasa tempatan, kumpulan tersebut sebenarnya mempunyai permit untuk menyelam melebihi had rekreasi Maldives iaitu 30 meter (98 kaki). Namun masih tidak jelas sama ada mereka telah menyelam lebih dalam daripada yang dirancang atau sama ada mereka mempunyai peralatan yang bersesuaian untuk ekspedisi berisiko tinggi sedemikian.
Sebelum kejadian, kumpulan penyelam ini menginap di atas kapal layar mewah sepanjang 36 meter dinamakan Duke of York yang menawarkan pakej pelayaran tersuai untuk sehingga 25 tetamu. Kapal layar tersebut merupakan impian setiap pencinta lautan kerana ia membolehkan penyelam meneroka pulau-pulau batu karang di Maldives dari dekat sambil menikmati makan malam makanan laut dan bersantai di atas dek atas. Pada sekitar jam 1:30 tengah hari pada hari Khamis, seseorang di atas kapal tersebut telah menghantar isyarat kecemasan. Ketua jurucakap kerajaan Maldives, Mohamed Hussain Shareef memaklumkan bahawa ketika isyarat dihantar, kumpulan itu telah berada di dalam air selama kira-kira dua jam dan gagal muncul semula ke permukaan.
![]() |
| Gambar sekadar hiasan |
Sebuah kapal pelayaran lain yang berada berhampiran menjadi pihak pertama yang bertindak balas. Dalam tempoh setengah jam, penyelam dari kapal tersebut berjaya menemui mayat Benedetti di pintu masuk gua. Susulan penemuan itu, Pasukan Pengawal Pantai Maldives memulakan pencarian di permukaan dan di dalam air. Pihak berkuasa mula bertindak atas andaian bahawa empat lagi penyelam yang hilang berada di dalam gua tersebut. Malangnya, cuaca buruk memburukkan lagi keadaan. Perkhidmatan Meteorologi Maldives telah mengeluarkan amaran putih pada pertengahan pagi Khamis dengan memberi amaran tentang angin kencang dan laut bergelora. Menjelang pertengahan petang, tahap amaran dinaikkan ke paras kuning, membawa angin kencang sehingga 30 batu sejam dengan tiupan mencecah 50 batu sejam serta ombak yang sangat besar.
Selepas penemuan mayat Benedetti pada hari Khamis, pihak berkuasa Maldives mengambil masa sehingga behari Isnin untuk mengesan baki empat penyelam lain yang akhirnya ditemui di dalam bilik (chamber) ketiga gua tersebut. Operasi SAR multinasional ini melibatkan pakar tempatan, tiga penyelam dari Finland yang menganggotai kumpulan keselamatan skuba global Divers Alert Network (DAN) serta peralatan pakar yang disumbangkan oleh United Kingdom dan Australia. Shareef menjelaskan bahawa arus kuat yang tidak menentu, laluan gua yang sempit dan kegelapan yang pekat menjadikan operasi tersebut tersangat mencabar. Dia menegaskan bahawa seseorang itu perlu menjadi pakar mutlak untuk melakukan selaman pada tahap tersebut.
Operasi mencari itu juga terpaksa dihentikan selama sehari selepas Sarjan Mahudhee, penyelam kanan tentera meninggal dunia pada hari Sabtu. Pihak berkuasa percaya Mahudhee maut akibat penyakit penyahmampatan (decompression sickness) yang berlaku apabila penyelam naik ke permukaan terlalu cepat sehingga menyebabkan penurunan tekanan mendadak di sekeliling mereka. Mahudhee telah dikebumikan dengan penuh penghormatan ketenteraan dalam satu majlis di Male yang dihadiri oleh ribuan rakyat termasuk Presiden Mohamed Muizzu, pegawai pelancongan dan tentera serta duta-duta asing.

Hanya segelintir penyelam yang pernah menjejakkan kaki ke dalam ekosistem bawah air yang luar biasa ini. Salah seorang daripada mereka ialah Vladimir Tochilov, pakar selam teknikal dari Rusia yang pernah menyelam di situ pada tahun 2014. Tochilov menjelaskan bahawa gua sepanjang kira-kira 200 meter itu terdiri daripada beberapa ruang besar dan hanya boleh diakses oleh penyelam gua teknikal yang mempunyai persediaan, pengalaman dan perancangan yang betul. Rakaman video (di hujung artikel) dari syarikat menyelamnya, Neva Divers mendedahkan ekosistem gua yang gelap, gersang dan seolah-olah berada di dunia lain. Penyelam terpaksa menggunakan lampu suluh untuk menerangi laluan serta melalui koridor yang sangat sempit sekali gus mewujudkan suasana yang menakutkan dan klaustrofobik.
Tochilov menekankan bahawa selaman gua bukan sahaja memerlukan latihan teknikal yang intensif, malah persediaan psikologi yang kuat untuk menghadapi rasa takut dan hilang arah. Apabila penyelam masuk semakin dalam ke dalam gua Maldives ini, mereka akan sampai ke satu titik di mana cahaya dari pintu keluar tidak lagi kelihatan dan mereka terpaksa mengemudi dalam kegelapan mutlak. Tochilov menambah bahawa tidak seperti kebanyakan destinasi popular lain, Maldives tidak terkenal dengan aktiviti selaman gua dan gua yang diterokai ini mungkin satu-satunya yang wujud di kawasan tersebut. Faktor keunikan inilah yang berkemungkinan besar menarik perhatian para saintis, ahli biologi serta penyelidik kerana gua itu mempunyai flora dan fauna tersendiri yang tidak dapat ditemui di luarnya.
Hingga kini, punca sebenar yang menimpa kumpulan penyelam Itali itu masih belum jelas. John Volanthen, seorang pegawai penyelamat dari British Cave Rescue Council yang pernah memainkan peranan utama dalam menyelamatkan pasukan bola sepak remaja Thailand yang terperangkap di dalam gua Tham Luang pada tahun 2018 menyatakan bahawa selaman gua laut dalam membawa pelbagai risiko besar. Antara bahaya utamanya ialah narkosis gas iaitu kesan bius yang dialami oleh penyelam akibat menghirup gas termampat pada kedalaman yang ekstrem. Bagi mencegah keadaan ini, penyelam biasanya menggunakan campuran pernafasan khas seperti nitrogen dan oksigen. Volanthen berpendapat bahawa para penyelam Itali itu berkemungkinan mengalami kekeliruan ketika berada jauh di dalam gua di mana kesan narkosis tersebut boleh mencetuskan panik dan mengurangkan keupayaan mereka untuk mencari jalan keluar.

Rentetan daripada kejadian ini, siasatan kini ditumpukan kepada kapal layar Duke of York dan lesen operasinya telah digantung. Shareef mendedahkan bahawa pihak berkuasa mendapati dokumen kapal tersebut tidak lengkap dan tidak memiliki lesen sekolah menyelam. Dia menegaskan bahawa mana-mana pengusaha yang menjalankan operasi sekolah menyelam, mengiklankan dan membantu pelanggan dalam misi menyelam sama ada untuk tujuan rekreasi mahupun teknikal wajib mempunyai lesen berkenaan.
Sebelum selaman dilakukan, Pusat Penyelidikan Marin Maldives sebenarnya telah meluluskan cadangan penyelidikan daripada Montefalcone, Gualtieri dan Oddenino untuk mengkaji batu karang lembut di sekeliling Atol Vaavu. Walau bagaimanapun, nama Sommacal dan Benedetti tidak disenaraikan dalam permohonan tersebut. Walaupun para penyelidik Itali itu mendapat permit untuk melakukan selaman teknikal melebihi 30 meter, pihak berkuasa Maldives langsung tidak dimaklumkan bahawa mereka akan melakukan selaman gua. Shareef menyatakan sekiranya mereka tahu, pihak Pengawal Pantai atau profesional lain pasti akan dikerahkan untuk membantu selaman kompleks tersebut dengan garis panduan yang lebih jelas.

Pada masa sama, Universiti Genoa mengesahkan bahawa Montefalcone dan Oddenino berada di Maldives untuk mengkaji kesan perubahan iklim terhadap biodiversiti. Aktiviti menyelam pada hari kejadian itu bagaimanapun bukan sebahagian daripada projek penyelidikan rasmi dan dilakukan atas dasar peribadi. Abdul Muhsin Moosa, pengendali kapal tersebut memberitahu bahawa kapal layar itu hanya mempunyai kebenaran untuk selaman sehingga 30 meter dengan para penyelam telah diberi taklimat mengenainya. Orietta Stella, peguam bagi syarikat pelancongan Itali Albatros Top Boat yang memasarkan pakej tersebut turut menegaskan bahawa pihak pengurus tidak tahu-menahu tentang rancangan kumpulan itu untuk menyelam lebih dalam dan sama sekali tidak akan membenarkannya jika mengetahuinya lebih awal. Dia juga menjelaskan bahawa pihak Albatros hanya memasarkan pelayaran tersebut dan tidak memiliki kapal mahupun menggaji kru tempatan yang bertugas.
Ketika pihak berkuasa terus menyiasat punca kehilangan lima nyawa ini, Carlo Sommacal kini terpaksa menanggung duka yang mendalam atas kehilangan isteri dan anak perempuannya. Mengenang mendiang isterinya yang telah menyempurnakan sekitar 5000 selaman dan disifatkan sebagai antara penyelam terbaik di dunia, dia percaya Montefalcone seorang yang sangat berhati-hati serta tidak akan sesekali membahayakan nyawa orang lain. Baginya, "sesuatu yang luar biasa pasti telah berlaku di dasar laut sana."

Catat Ulasan for "Apa Sebenarnya yang Berlaku Kepada Lima Penyelam Itali di Atol Vaavu? BAHAGIAN II"