KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MAELYS DE ARAUJO

Kes Maelys de Araujo merupakan antara kes penculikan dan pembunuhan kejam kanak-kanak yang pernah berlaku di Perancis pada tahun 2017. Ia melibatkan seorang gadis kecil berusia 8 tahun yang hilang secara misteri ketika menghadiri satu majlis perkahwinan di Pont-de-Beauvoisin.
Pada malam 26 Ogos 2017, keluarga Maelys de Araujo menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di Pont-de-Beauvoisin, sebuah bandar kecil di tenggara Perancis. Maelys yang ketika itu baru berusia lapan tahun dilihat mengenakan gaun putih yakni sepadan dengan tema majlis perkahwinan tersebut. Pada sekitar jam 3 pagi, ibu bapanya menyedari bahawa anak mereka tidak lagi kelihatan di mana-mana. Mereka segera mencari di sekitar dewan, kawasan parkir dan persekitaran luar. Usaha itu bagaimanapun sia-sia. Tiada siapa yang melihat ke mana Maelys pergi.
Kehilangannya menimbulkan panik dalam kalangan tetamu dan pihak polis pun segera dihubungi. Dalam tempoh beberapa jam, kawasan sekitar ditutup dan pasukan penyelamat bersama anjing pengesan mula menjalankan operasi besar-besaran. Walaupun usaha intensif dilakukan selama berhari-hari, tiada sebarang petunjuk ditemui. Kehilangan itu menjadi misteri besar dan mula mendapat liputan meluas media di seluruh Perancis.

Beberapa hari selepas kejadian, pihak polis menyoal siasat semua tetamu majlis termasuk seorang lelaki bernama Nordahl Lelandais, berusia 34 tahun. Dia merupakan bekas anggota tentera yang tinggal tidak jauh dari lokasi perkahwinan dan merupakan kenalan kepada keluarga pengantin. Pada awalnya, Lelandais memberi kerjasama penuh kepada polis dan menegaskan bahawa dia tidak tahu apa-apa mengenai kehilangan Maelys. Walau bagaimanapun, penyiasat mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila mendapati tindak-tanduknya agak mencurigakan.
Rakaman CCTV dari sekitar kawasan menunjukkan bahawa kereta Lelandais iaitu jenis Audi A3 putih berada berhampiran dewan perkahwinan pada malam kejadian. Dalam salah satu rakaman, polis mendapati terdapat bayangan kecil berpakaian putih di dalam kereta tersebut yang dipercayai adalah Maelys. Selain itu, anjing pengesan menemui kesan DNA mangsa pada papan pemuka kereta Lelandais. Apa yang lebih mencurigakan, dia didapati mencuci keretanya secara menyeluruh pada keesokan harinya seolah-olah cuba menghapuskan bukti.

Apabila disoal mengenai tindakan itu, Lelandais mendakwa dia hanya membersihkan kereta selepas digunakan. Namun alasan itu gagal meyakinkan pihak penyiasat. Dalam masa beberapa minggu, polis menemui lebih banyak bukti yang mengaitkannya dengan kehilangan Maelys termasuk pergerakan telefonnya yang direkodkan di kawasan pergunungan berdekatan selepas waktu kejadian.
Selama beberapa bulan, Lelandais berkeras menafikan sebarang penglibatan. Dia menuduh pihak berkuasa cuba menjadikannya kambing hitam. Namun tekanan semakin meningkat apabila hasil analisis forensik mengesahkan bahawa DNA Maelys benar-benar wujud di dalam keretanya. Tekanan siasatan dan bukti kukuh akhirnya menyebabkan dia mengaku bersalah pada Februari 2018 iaitu hampir enam bulan selepas kehilangan itu.
Dalam pengakuannya, Lelandais mendakwa bahawa kematian Maelys berlaku secara tidak disengajakan. Menurutnya, dia hanya menampar Maelys selepas gadis itu panik ketika berada dalam keretanya dan tidak berniat membunuh. Versi ini diragui ramai kerana bukti menunjukkan bahawa dia mengumpan Maelys keluar dari dewan dengan alasan mahu menunjukkan anak anjingnya. Dari situ, dia dipercayai menculik gadis itu dan kemudian membunuhnya.

Selepas pengakuan tersebut, Lelandais membawa polis ke kawasan pergunungan Chartreuse yang jaraknya kira-kira 15 kilometer dari lokasi majlis. Di situlah pasukan penyiasat menemui tengkorak kecil dan beberapa tulang yang kemudian disahkan melalui ujian DNA sebagai milik Maelys. Penemuan tersebut menamatkan pencarian panjang selama hampir enam bulan penuh penderitaan bagi keluarga Maelys.
Siasatan lanjut terhadap latar belakang Lelandais membuka kisah yang lebih mengerikan. Polis menemui bukti bahawa dia juga terlibat dalam kes pembunuhan lain termasuk kes seorang anggota tentera muda bernama Arthur Noyer yang hilang pada April 2017, hanya beberapa bulan sebelum kes Maelys. Lelandais akhirnya mengaku membunuh Noyer selepas tekanan siasatan.
Lelandais digambarkan sebagai seorang individu yang berperwatakan tenang, tidak mencurigakan dan pandai menyesuaikan diri di khalayak ramai. Di sebalik imej itu, dia menyimpan obsesi dan kecenderungan ganas yang terpendam. Psikologi forensik menyifatkannya sebagai individu yang mempunyai sifat manipulatif, narsistik dan tidak berperasaan terhadap mangsa.

Perbicaraan kes Maelys de Araujo bermula pada 31 Januari 2022 di Mahkamah Grenoble. Dalam mahkamah, Lelandais tampil dengan wajah tenang tetapi sepanjang perbicaraan dia sering mengelak daripada menjawab soalan dengan jujur. Pendakwa raya menegaskan bahawa pembunuhan itu tidak mungkin berlaku secara tidak sengaja tetapi sebaliknya dilakukan dengan niat jahat dan mungkin bermotifkan seksual memandangkan mangsa ialah seorang kanak-kanak kecil.
Selepas hampir tiga minggu perbicaraan dan keterangan saksi, pada 18 Februari 2022, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Nordahl Lelandais dengan tempoh minimum 22 tahun sebelum layak untuk pertimbangan pembebasan bersyarat. Keputusan itu disambut dengan tangisan oleh keluarga Maelys yang selama ini menuntut keadilan untuk anak mereka.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MAELYS DE ARAUJO"