Bekas Vokalis Lostprophets, Ian Watkins, Maut Ditikam Dalam Penjara

Menurut laporan The Independent dan BBC, Watkins ditemui dalam keadaan parah di salah satu blok tahanan penjara berkenaan selepas diserang oleh dua banduan lain. Pasukan perubatan penjara dilaporkan bergegas ke lokasi bagi memberikan rawatan kecemasan. Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius yang dipercayai berpunca daripada tikaman menggunakan senjata tajam buatan sendiri.
Polis West Yorkshire mengesahkan dua suspek yang dikenali sebagai Rashid Gedel, 25 tahun dan Samuel Dodsworth, 43 tahun telah ditahan dan kini berdepan pertuduhan membunuh. Kedua-dua mereka merupakan banduan di penjara sama dan difahamkan mempunyai rekod jenayah berat termasuk serangan bersenjata serta kes keganasan.
Siasatan awal mendapati serangan berlaku sekitar jam 8.00 pagi waktu tempatan ketika rutin harian penjara sedang berlangsung. Sumber dalaman menyatakan bahawa Watkins diserang secara mengejut ketika dia berada di kawasan rekreasi tahanan. Penjara HMP Wakefield yang digelar Monster Mansion kerana menempatkan beberapa pesalah paling berbahaya di Britain dilaporkan berada dalam keadaan kawalan penuh selepas kejadian tersebut bagi tujuan keselamatan dan siasatan lanjut.

Jurucakap Perkhidmatan Penjara Diraja England mengesahkan kematian Watkins dan memaklumkan bahawa satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan. “Kami boleh mengesahkan seorang banduan lelaki telah meninggal dunia di HMP Wakefield pada 11 Oktober. Polis sedang menjalankan siasatan dan kami bekerjasama sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Watkins sebelum ini dijatuhi hukuman 29 tahun penjara dan tambahan 6 tahun tempoh pemerhatian pada tahun 2013 selepas mengaku bersalah terhadap 13 pertuduhan jenayah seksual terhadap kanak-kanak termasuk cubaan rogol terhadap bayi. Kes tersebut mendapat perhatian meluas kerana sifatnya yang kejam dan menjijikkan sekali gus menghancurkan karier muziknya yang ketika itu berada di kemuncak populariti.
Sejak pemenjaraannya, Watkins dilaporkan sering menjadi sasaran banduan lain kerana kesalahannya yang melibatkan penderaan kanak-kanak. Pada tahun 2023, dia pernah dilaporkan diserang lalu dijadikan tebusan selama enam jam oleh sekumpulan tahanan sebelum diselamatkan oleh pengawal penjara.
Hingga setakat ini, pihak polis masih meneruskan siasatan bagi menentukan motif sebenar serangan tersebut dan sama ada ia dirancang lebih awal. Kedua-dua suspek dijangka akan dihadapkan ke mahkamah Leeds Crown Court dalam tempoh terdekat.
Catat Ulasan for "Bekas Vokalis Lostprophets, Ian Watkins, Maut Ditikam Dalam Penjara "