Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Ambil Cuti Sakit untuk Bercuti, Wanita Ini Terserempak Bos Dalam Penerbangan Sama


     Pada awal tahun 2024, Leila Soares iaitu seorang wanita dari Australia menjadi perhatian di laman media sosial selepas kisahnya tular di media sosial berikutan satu kejadian luar biasa yang berlaku ketika dia cuba menipu majikan dengan mengambil cuti sakit palsu. Niat asalnya hanyalah untuk menikmati sedikit masa rehat daripada kerja dengan alasan kononnya tidak sihat. Namun apa yang bermula sebagai satu helah kecil akhirnya bertukar menjadi pertemuan paling canggung dalam hidupnya  apabila dia secara tidak sengaja menaiki pesawat yang sama dengan bosnya sendiri.

      Segalanya bermula apabila Leila menghantar mesej kepada majikannya yang menyatakan bahawa dia sedang sakit dan memerlukan cuti untuk berehat di rumah. Pada hakikatnya, dia bagaimanapun telah menempah tiket penerbangan untuk bercuti. Maka dengan penuh keyakinan bahawa rahsianya akan selamat, Leila menaiki pesawat tersebut dengan memakai pakaian yang kononnya mampu menyamar yakni lengkap dengan topi besbol, cermin mata hitam dan pelitup muka bagi menutup identitinya daripada orang yang mengenalinya. Segala-galanya berjalan lancar sehinggalah dia mendapati sesuatu yang tidak dijangka di mana bosnya sendiri turut berada dalam pesawat yang sama.

     Kisah itu menjadi sensasi selepas Leila memuat naik video ke platform TikTok yang menunjukkan reaksinya apabila mendapati bosnya berada di barisan tempat duduk yang tidak jauh daripadanya. Dalam video tersebut, dia dilihat menyorokkan wajah dan ketawa dalam panik seolah-olah tidak percaya dengan nasib malangnya sendiri. Video berkenaan mendapat berjuta-juta tontonan dalam masa singkat.


     Menurut laporan media, Leila menjelaskan bahawa dia bernasib baik kerana tidak duduk berdekatan dengan bosnya. Bosnya masuk ke dalam pesawat melalui pintu hadapan manakala Leila masuk melalui pintu belakang dan duduk di bahagian belakang pesawat. Dia percaya itulah sebabnya bosnya tidak menyedari kehadirannya. Walau bagaimanapun, kejadian itu tetap membuatkan dirinya dilanda rasa cemas sepanjang penerbangan. Setiap kali pramugari lalu atau bosnya bergerak, dia dikatakan menundukkan kepala dan berpura-pura tidur.

     Pakar sumber manusia yang ditemu bual oleh beberapa media memberi peringatan bahawa tindakan seperti ini boleh memberi kesan buruk terhadap reputasi profesional seseorang. Dalam banyak organisasi, cuti sakit diberikan berdasarkan kepercayaan antara majikan dan pekerja. Jika kepercayaan itu dikhianati, majikan berhak mengambil tindakan disiplin termasuk amaran rasmi atau pemecatan. Dalam kes Leila, tiada laporan rasmi mengenai tindakan yang diambil terhadapnya namun kejadian itu sudah cukup memberi pengajaran besar bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada orang ramai.

Catat Ulasan for "Ambil Cuti Sakit untuk Bercuti, Wanita Ini Terserempak Bos Dalam Penerbangan Sama"