Lakaran Wajah Penjenayah Paling Lawak Tapi Polis Betul-Betul Berjaya Tangkap Suspek

Menurut laporan rasmi daripada pihak berkuasa Lancaster City Police, seorang lelaki yang tidak dikenali telah mendekati seorang peniaga di sebuah gerai di pasar tempatan dan berpura-pura sebagai pekerja di syarikat penghantaran. Lelaki itu mendakwa dia perlu memungut bayaran daripada peniaga tersebut bagi pihak syarikat lalu diberikan sejumlah wang tunai. Namun selepas menerima wang itu, dia terus menghilangkan diri tanpa sebarang rekod rasmi atau resit. Apabila peniaga tersebut menyedari dirinya tertipu, laporan polis segera dibuat.
Masalah utama yang dihadapi pihak polis ketika itu ialah tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang jelas selain tiada saksi lain yang dapat memberikan gambaran terperinci mengenai wajah suspek. Namun peniaga itu mempunyai satu kelebihan, ingatan visual yang agak kuat. Maka dia mengambil inisiatif melukis sendiri wajah lelaki yang menipunya berdasarkan ingatan. Lukisan tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis. Hasil lakaran itu, bentuknya sangat ringkas yakni hampir menyerupai kartun dengan mata berbentuk bulatan, kening tebal, bibir kecil dan rambut hitam pekat dengan bentuk kepala yang agak bujur.

Walaupun ramai menganggap lakaran tersebut kelakar dan sukar dipercayai boleh membantu siasatan, pihak polis tetap mengedarkannya kepada orang awam melalui media tempatan dan laman sosial rasmi. Tidak disangka, beberapa hari kemudian, pihak polis menerima maklumat daripada individu yang mengenali wajah dalam lakaran tersebut. Berdasarkan petunjuk itu, polis berjaya mengenal pasti suspek sebagai Hung Phuoc Nguyen iaitu seorang lelaki berusia 44 tahun yang sudah lama dikehendaki atas beberapa kesalahan lain termasuk kecurian kecil di kawasan sama.
Pihak polis kemudian mengesahkan bahawa wajah sebenar Nguyen memang mempunyai beberapa ciri yang menonjol dan menyerupai lakaran tersebut terutama gaya rambut, bentuk dagu dan kening. Walaupun lakaran itu kelihatan seperti dilukis secara rawak, ia cukup untuk mencetuskan ingatan kepada mereka yang pernah melihat lelaki itu sebelum ini. Nguyen akhirnya dituduh atas dua pertuduhan kecurian dan satu pertuduhan penipuan.
Catat Ulasan for "Lakaran Wajah Penjenayah Paling Lawak Tapi Polis Betul-Betul Berjaya Tangkap Suspek"