Kisah Benar Jarrett Adams: Dari Penjara Ke Mahkamah

Jarrett Adams bukanlah lahir daripada keluarga kaya atau berpengaruh. Dia membesar di kawasan perumahan sederhana di South Side, Chicago, sebuah tempat yang sering dikaitkan dengan kadar jenayah tinggi, kemiskinan dan diskriminasi kaum. Di sebalik semua cabaran itu, Adams merupakan pelajar yang pintar dan bercita-cita tinggi. Seperti kebanyakan remaja lain, dia mempunyai impian untuk menamatkan sekolah, menyambung pelajaran dan memperbaiki kehidupan keluarganya. Namun lada usia 17 tahun, satu kejadian hitam telah mengubah arah hidupnya.
Pada tahun 1998, Adams bersama dua rakannya menyertai program musim panas di University of Wisconsin–Whitewater. Program itu bertujuan memperkenalkan pelajar sekolah menengah kepada kehidupan kampus. Semuanya berjalan baik sehinggalah satu malam di mana mereka bergaul dengan seorang pelajar perempuan di asrama universiti tersebut. Perhubungan antara mereka pada malam itu dikatakan berlaku atas persetujuan bersama. Namun beberapa hari kemudian, pelajar perempuan itu membuat laporan polis mendakwa dia telah dirogol oleh Adams dan dua rakannya.

Apa yang sepatutnya menjadi pertemuan biasa bertukar menjadi mimpi ngeri. Ketika siasatan dijalankan, tiada bukti kukuh yang menyokong tuduhan rogol tersebut seperti tiada DNA yang mengaitkan Adams, tiada saksi mata selain keterangan pelapor sendiri penuh percanggahan. Cuma disebabkan faktor perkauman dan prasangka terhadap lelaki kulit hitam, pihak pendakwa tetap meneruskan pertuduhan.
Lebih malang, peguam bela yang dilantik oleh mahkamah untuk mewakili Adams didapati tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Dia gagal mengemukakan saksi penting yang mampu mengesahkan bahawa hubungan itu berlaku secara sukarela, bukan paksaan. Adams yang masih remaja pada waktu itu tidak memahami selok-belok undang-undang dan hanya mampu bergantung kepada peguamnya. Akibat kelemahan pembelaan tersebut, juri akhirnya memutuskan Adams bersalah atas tuduhan rogol dan dia dijatuhi hukuman 28 tahun penjara di penjara dewasa. Ketika itu, usianya baru menginjak 17 tahun.
Bagi seorang remaja yang tidak pernah melakukan jenayah, kehidupan di penjara adalah satu penyeksaan yang sukar dibayangkan. Adams bukan sahaja terpaksa berdepan tekanan mental kerana dituduh atas jenayah yang tidak dilakukannya. Malah dia juga berhadapan diskriminasi, keganasan dan penghinaan setiap hari. Dalam keadaan terasing dan kehilangan harapan, Adams pernah mengakui bahawa dia hampir menyerah kepada nasib.

Walau bagaimanapun, sesuatu berubah dalam dirinya. Ketika menghabiskan masa di perpustakaan penjara, Adams mula tertarik membaca buku undang-undang. Dia ingin memahami bagaimana sistem keadilan yang sepatutnya melindungi orang tidak bersalah boleh menghancurkan hidup seseorang yang tidak mampu membela diri. Hari demi hari, Adams mempelajari undang-undang perlembagaan, prosedur mahkamah dan kes-kes lama tentang sabitan salah. Di dalam sel penjara, Adams menanam azam iaitu jika dia tidak dapat mencari keadilan daripada orang lain, dirinya akan mencarinya sendiri.
Maka dengan hanya berbekalkan buku dan pengetahuan asas undang-undang, Adams mula menulis surat kepada organisasi bantuan guaman dan pertubuhan hak asasi manusia. Salah satu suratnya sampai ke tangan Wisconsin Innocence Project (WIP) yakni sebuah organisasi yang terkenal kerana membela banduan yang disabit secara salah. Para peguam dari WIP tertarik dengan kisah Adams dan bersetuju untuk menyemak semula kesnya.
Pasukan peguam itu mendapati terdapat kecuaian serius dalam perbicaraan asal. Peguam bela Adams telah gagal memberikan pembelaan yang efektif, satu pelanggaran terhadap hak perlembagaan Amerika Syarikat. Selain itu, saksi penting yang boleh membuktikan bahawa hubungan antara Adams dan pelapor adalah secara suka sama suka tidak pernah dipanggil ke mahkamah. Setelah bertahun-tahun mengumpul bukti dan merayu keputusan, pada tahun 2007, Mahkamah Rayuan akhirnya membatalkan sabitan bersalah terhadap Jarrett Adams. Selepas hampir 10 tahun di penjara, dia akhirnya dibebaskan tetapi tanpa sebarang bayaran ganti rugi dan tanpa permohonan maaf rasmi.

Selepas dibebaskan, Adams sedar bahawa dia mempunyai dua pilihan sama ada hidup dalam dendam atau menjadikan pengalaman itu sumber kekuatan untuk memperjuangkan keadilan. Adans memilih pilihan kedua. Melalui tekad yang luar biasa, Adams menyambung pelajaran di universiti dan kemudiannya menamatkan pengajian undang-undang di Loyola University Chicago School of Law.
Perjalanan itu tidak mudah. Ramai yang meragui kelayakannya kerana latar belakangnya sebagai bekas banduan. Adams bagaimanapun membuktikan bahawa dia layak. Setelah lulus peperiksaan bar, dia dilantik menjadi peguam dan bekerja bersama Innocence Project, organisasi yang dahulu membebaskannya. Kini, Adams mengendalikan firma guaman sendiri, Jarrett Adams Law yang memberi tumpuan kepada kes-kes ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa polis dan pembebasan banduan yang disabit salah. Dalam satu wawancara, Adams pernah berkata:
“Saya tidak akan biarkan sesiapa melalui apa yang saya alami. Saya menjadi peguam kerana saya tahu bagaimana rasanya bila sistem gagal melindungi kita.”
Catat Ulasan for "Kisah Benar Jarrett Adams: Dari Penjara Ke Mahkamah"