FANDY, Streamer Twitch Melahirkan Anak Secara Langsung, Cecah 50 000 Penonton

Pada awal Oktober 2025, satu peristiwa di penstriman langsung yang jarang berlaku di mana seorang penyiar strim popular di platform Twitch bernama Fandy melahirkan anaknya secara langsung di hadapan puluhan ribu penonton.
Fandy, seorang penyiar strim wanita dari Amerika Syarikat yang dikenali dengan kandungan permainan video dan sesi IRL streaming (In Real Life) telah mengejutkan pengikutnya pada 7 Oktober 2025 apabila dia menulis di akaun X :
"Hi Twitter, my water just broke so I think I’m going live. Baby time :)" (Air ketuban saya baru pecah, jadi saya rasa saya akan buat siaran langsung. Masa untuk bersalin)
Dalam siaran tersebut, Fandy memilih untuk melahirkan anaknya melalui kaedah kelahiran air. Dia bersiap di dalam sebuah kolam inflasi khas yang dipasang di ruang tamunya dengan kehadiran beberapa orang pembantu dan pasukan perubatan yang mengawasi keselamatan sepanjang proses itu. Walaupun ramai menyangka siaran tersebut akan melanggar garis panduan kandungan Twitch, Fandy ternyata berhati-hati. Segala sudut kamera telah diatur agar tiada bahagian tubuh atau adegan sensitif ditunjukkan kepada penonton. Apa yang disiarkan hanyalah suasana sebenar yakni perbualan, dorongan semangat daripada pasukan di sisi dan detik-detik penuh emosi sebelum bayi itu dilahirkan.
Menariknya, CEO Twitch sendiri, Dan Clancy turut muncul dalam ruangan sembang secara langsung untuk memberikan kata semangat dan ucapan tahniah. Dia menulis:
"Fandy, best of luck and congratulations. Wishing you the best in this journey.” (Fandy, semoga berjaya dan tahniah. Saya doakan yang terbaik untuk kamu dalam perjalanan ini.)

Sepanjang siaran, jumlah penonton meningkat mendadak. Menurut laporan beberapa portal hiburan, penstriman itu mencecah antara 20 000 hingga 50 000 penonton serentak. Ruangan sembang dipenuhi ucapan tahniah dan tanda sokongan daripada komuniti Twitch yang teruja melihat detik istimewa tersebut. Setelah hampir lapan jam bersiaran, Fandy akhirnya melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Luna.
Selepas siaran itu tamat, sebahagian netizen memuji Fandy atas keberaniannya berkongsi detik kehidupan dengan jujur. Namun tidak kurang juga yang mengecam tindakannya kerana menyifatkan kelahiran adalah pengalaman peribadi dan tidak wajar dijadikan tontonan umum. Ada yang mempersoalkan soal privasi bayi yang baru lahir yang belum mampu memberi keizinan terhadap pendedahan tersebut.
Pihak Twitch sendiri tidak mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap Fandy kerana siarannya mematuhi dasar kandungan platform. Menurut laporan, tiada bahagian yang bersifat eksplisit atau melanggar polisi kesopanan Twitch. Siaran tersebut lebih bersifat dokumentari dan emosi memperlihatkan realiti seorang wanita menyambut kehidupan baru dengan bantuan pengguna dalam talian.
Catat Ulasan for "FANDY, Streamer Twitch Melahirkan Anak Secara Langsung, Cecah 50 000 Penonton"