Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEJADIAN TRAGIS EVEREST 1996

     Pada pertengahan Mei tahun 1996, satu kejadian tragis berlaku di Gunung Everest yakni gunung tertinggi di muka bumi yang terletak di sempadan Nepal dan Tibet. Kejadian ini menjadi titik hitam dalam sejarah pendakian dunia apabila lapan pendaki maut dalam tempoh kurang daripada dua hari akibat ribut salji dahsyat yang melanda secara tiba-tiba. 

     Gunung Everest dengan ketinggian 8,848 meter dianggap sebagai puncak tertinggi dunia dan simbol kebanggaan bagi para pendaki. Pada musim bunga tahun 1996, dua ekspedisi besar sedang bersiap untuk mencapai puncak melalui laluan tenggara Nepal. Ekspedisi pertama ialah Adventure Consultants yang diketuai oleh pendaki terkenal dari New Zealand iaitu Rob Hall, seorang pendaki berpengalaman yang pernah menakluki Everest sebanyak empat kali. Ekspedisi kedua ialah Mountain Madness yang diketuai oleh Scott Fischer, seorang pendaki berkarisma dari Amerika Syarikat.

     Kedua-dua pasukan membawa bersama para pelanggan berbayar yakni individu dari pelbagai latar belakang, termasuk profesional, doktor, ahli perniagaan dan pendaki amatur yang membayar puluhan ribu dolar untuk merasai pengalaman menawan puncak dunia. Antara mereka ialah Beck Weathers, seorang pakar patologi dari Texas, Doug Hansen, seorang posmen dari Seattle dan Yasuko Namba, seorang wanita Jepun berusia 47 tahun yang bercita-cita menjadi wanita Jepun tertua menawan Everest.

     Pada awal pagi 10 Mei 1996, para pendaki mula bergerak dari Kem IV (South Col) menuju ke puncak. Cuaca pada awalnya kelihatan cerah dan stabil. Namun disebabkan jumlah pendaki yang terlalu ramai, lebih 30 orang bergerak serentak hingg menyebabkan laluan sempit di bahagian atas Everest menjadi sesak. Masalah mula timbul apabila pasukan pendahulu mendapati bahawa tali keselamatan belum dipasang di beberapa bahagian penting seperti di kawasan Hillary Step, satu tebing batu yang curam dan sempit tidak jauh dari puncak.

     Kelewatan memasang tali itu menyebabkan kesesakan panjang di ketinggian melebihi 8000 meter, kawasan yang digelar zon maut. Di zon ini, tekanan udara amat rendah dan oksigen hanya sekitar satu pertiga daripada paras laut. Tubuh manusia sukar berfungsi dengan normal hingga membuatkan sistem pernafasan terganggu, pergerakan menjadi perlahan dan minda sukar membuat keputusan yang waras.

Rob Hall

      Disebabkan kelewatan tersebut, ramai pendaki hanya berjaya tiba di puncak antara jam 2:00 hingga 3:00 petang sedangkan peraturan keselamatan menetapkan bahawa pendaki mesti berpatah balik sebelum jam 2:00 petang bagi mengelakkan risiko cuaca buruk. Namun keinginan menawan puncak dunia menyebabkan ramai enggan berpatah balik walaupun masa sudah lewat.

      Ketika kebanyakan pendaki masih berada di bahagian atas gunung, ribut salji kuat tiba-tiba melanda. Angin kencang mencecah lebih 160 kilometer sejam, suhu jatuh mendadak ke paras -40°C dan jarak penglihatan hampir sifar. Dalam keadaan itu, ramai pendaki kehilangan arah dan tidak dapat mencari laluan pulang ke Kem IV. Bekalan oksigen tambahan semakin berkurangan manakala tenaga para pendaki merosot dengan cepat akibat keletihan dan suhu ekstrem.

      Antara mereka yang terperangkap ialah Rob Hall bersama kliennya, Doug Hansen. Hansen sudah terlalu lemah untuk bergerak turun tetapi Hall enggan meninggalkannya. Walaupun diseru oleh rakan-rakan untuk turun menyelamatkan diri, Hall tetap bersama kliennya di ketinggian melebihi 8700 meter di mana dia berharap bantuan akan tiba. Namun ribut terlalu kuat, dan tiada siapa mampu mendaki semula ke atas untuk menyelamatkan mereka.

Scott Fisher

      Di bahagian lain, Scott Fischer dari pasukan Mountain Madness juga mengalami nasib yang sama. Dia mengalami keletihan melampau akibat dehidrasi dan kekurangan oksigen. Pendaki sherpa yang menemaninya, Lopsang Jangbu cuba membantunya turun tetapi akhirnya terpaksa meninggalkan Fischer apabila cuaca semakin memburuk. Fischer kemudian ditemui mati di lereng gunung dengan keadaan masih terikat pada tali keselamatan.

     Pada pagi 11 Mei 1996, selepas semalaman bergelut dalam suhu beku, Hall masih hidup tetapi dalam keadaan amat lemah. Dia sempat berhubung melalui radio dengan pasukan di bawah dan buat kali terakhir bercakap dengan isterinya, Jan Arnold yang sedang hamil di New Zealand. Dalam perbualan terakhir yang menyayat hati itu, Hall memberitahu bahawa dia akan berehat seketika dan berpesan supaya isterinya menjaga diri serta anak mereka yang bakal lahir. Selepas itu, komunikasi terputus. Mayatnya hanya ditemui beberapa hari kemudian, masih terikat pada tali dan berbaring tidak jauh dari jasad Hansen.

     Antara kisah paling luar biasa daripada kejadian ini ialah pengalaman Beck Weathers. Dia pengsan dan dianggap telah mati oleh kumpulannya lalu ditinggalkan di kawasan terbuka dalam ribut. Namun beberapa jam kemudian, Weathers sedar semula dan dalam keadaan separuh beku, dia berjalan sendirian menuju ke kem. Wajahnya sudah membeku, matanya hampir buta akibat salji dan tangannya keras kaku. Apabila akhirnya diselamatkan oleh pasukan helikopter Nepal, doktor mengesahkan bahawa kedua-dua tangannya perlu dipotong akibat tisu badan beku. Hidungnya juga musnah dan perlu dibina semula melalui pembedahan. 

     Secara keseluruhan, lapan pendaki maut dalam kejadian ini termasuk dua ketua ekspedisi terkenal, Hall dan Fischer. Turut terkorban ialah Hansen, Yasuko Namba, dan beberapa pendaki lain. Kejadian Everest 1996 kemudiannya menjadi subjek kepada pelbagai penulisan, dokumentari dan filem. Wartawan Jon Krakauer yang turut berada dalam ekspedisi Rob Hall, menulis buku bertajuk Into Thin Air (1997) yang menjadi rujukan utama tentang kejadian ini. Filem Everest (2015) pula menggambarkan semula detik-detik getir itu dengan tepat berdasarkan catatan sebenar.

 

Catat Ulasan for "KISAH KEJADIAN TRAGIS EVEREST 1996"