Kisah Lawrence Campbell: Lelaki yang Menang Loteri RM17 Juta Namun Wang Lesap Dibawa Kekasih

Pada awal tahun 2024 bertempat di Winnipeg, Manitoba, Kanada, seorang lelaki bernama Lawrence Campbell mendakwa bahawa kehidupannya berubah secara mendadak selepas memenangi loteri bernilai jutaan dolar. Kehidupan berubah yang dimaksudkan kerana kekayaan yang dinikmatinya tetapi akibat kehilangan wang tersebut kepada teman wanitanya sendiri.
Menurut laporan rasmi, Campbell mendakwa bahawa dia telah membeli tiket Loteri 6/49 lalu memenangi hadiah utama bernilai sekitar 5 juta dolar Kanada (sekitar lebih RM17 juta). Namun apabila Campbell cuba menuntut wang kemenangan tersebut, timbul satu masalah besar di mana dia tidak mempunyai pengenalan diri rasmi (ID) serta akaun bank yakni dua syarat penting yang diperlukan oleh pihak Western Canada Lottery Corporation (WCLC) bagi mengesahkan pemilik sah tiket berkenaan.

Disebabkan hal itu, Campbell mendakwa pegawai daripada WCLC telah menasihatinya untuk menamakan teman wanitanya iaitu Krystal Ann McKay sebagai wakil bagi menuntut hadiah tersebut. Campbell yang ketika itu percaya sepenuhnya kepada McKay menyerahkan tiket berkenaan dengan keyakinan bahawa teman wanitanya itu akan memproses tuntutan bagi pihaknya dan menyerahkan semula wang kemenangan tersebut kepadanya selepas urusan selesai. Walau bagaimanapun, keadaan berubah sebaik sahaja hadiah tersebut dibayar ke dalam akaun bank McKay.
Campbell mendakwa bahawa sejurus selepas wang kemenangan dimasukkan, McKay terus menghilangkan diri dan memutuskan semua hubungan dengannya. Dia mendakwa tidak lagi menerima panggilan, mesej atau sebarang maklumat daripada wanita itu. Wang sebanyak 5 juta dolar yang sepatutnya menjadi tiket kepada kehidupan baru kini hilang tanpa jejak. Campbell akhirnya mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas teman wanitanya serta memfailkan saman terhadap pihak WCLC atas dakwaan memberikan nasihat salah dan membenarkan proses tuntutan yang dianggapnya cacat.

Namun kes ini bukanlah semudah yang disangka. Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media tempatan, McKay menafikan tuduhan Campbell dan mendakwa bahawa tiket loteri itu sebenarnya merupakan hadiah hari jadi daripada Campbell kepadanya. Jika dakwaan itu benar, maka dari sudut undang-undang, tiket tersebut dianggap milik sah McKay, bukan Campbell. Ini menjadikan isu pemilikan tiket dan hak ke atas wang kemenangan tersebut sangat kompleks dan kini sedang diputuskan oleh mahkamah.
Campbell dalam aduannya kepada media, menyifatkan dirinya sebagai mangsa keadaan. Dia mendakwa bahawa sistem loteri Kanada tidak melindungi individu yang tidak mempunyai dokumen rasmi dan terlalu mempercayai pasangan mereka. Menurut Campbell lagi, dia hanya bertindak mengikut arahan pegawai loteri tanpa menyangka bahawa kepercayaannya kepada teman wanita akan membawa padah. “Saya fikir saya akan berkongsi kehidupan baru dengan dia. Namun sebaliknya, saya kehilangan segalanya,” katanya dalam satu temu bual dengan saluran berita tempatan.
Hingga kini, mahkamah Kanada masih meneliti tuntutan sivil yang difailkan oleh Campbell. Tiada keputusan rasmi dikeluarkan berhubung siapa pemilik sah wang loteri tersebut. WCLC pula enggan mengulas lanjut dengan menegaskan bahawa mereka telah memproses tuntutan mengikut prosedur yang ditetapkan iaitu tiket hanya akan dibayar kepada individu yang hadir dengan pengenalan diri yang sah dan tandatangan yang sepadan.
Catat Ulasan for "Kisah Lawrence Campbell: Lelaki yang Menang Loteri RM17 Juta Namun Wang Lesap Dibawa Kekasih"