Kisah Saki Tamogami: Wanita yang Miliki Tiga Rumah Sebelum Usia 35 Tahun Hasil Hidup Berjimat Secara Ekstrem

Di Jepun, sebuah negara yang terkenal dengan kos sara hidup tinggi, muncul seorang wanita muda yang kisahnya mencetuskan kekaguman dan inspirasi. Namanya ialah Saki Tamogami, seorang wanita yang berjaya memiliki tiga buah rumah sebelum mencecah usia 35 tahun. Kejayaannya itu kerana dia datang daripada keluarga kaya atau mewarisi harta tetapi hasil daripada gaya hidupnya yang luar biasa berjimat dan disiplin kewangan yang hampir mustahil dibayangkan oleh kebanyakan orang.
Tamogami mula bekerja sebaik sahaja menamatkan pengajian universiti. Ketika berusia 19 tahun, dia telah menetapkan satu matlamat hidup yang sangat jelas iaitu memiliki tiga buah rumah sebelum berusia 35 tahun. Bagi kebanyakan orang, impian sebegitu mungkin dianggap terlalu tinggi atau tidak realistik apatah lagi untuk seorang wanita muda yang baru memulakan kerjaya. Namun bagi Tamogami, dia bertekad menjadikannya kenyataan melalui gaya hidup berjimat secara ekstrem.

Tamogami bekerja sebagai ejen hartanah, pekerjaan yang banyak membuka matanya tentang nilai pelaburan jangka panjang dan potensi pasaran perumahan di Jepun. Pengalaman itu memberi ilham kepadanya untuk menjadikan hartanah sebagai sasaran utama simpanannya. Walaupun pendapatannya tidaklah besar, dia belajar bagaimana untuk menabung hampir setiap yen yang diperolehnya. Tamogami menjalani kehidupan yang sangat sederhana, malah boleh dikatakan ekstrem bagi kebanyakan orang. Dia membelanjakan hanya sekitar 200 yen sehari (sekitar RM6–RM7) untuk makanan. Hidangannya biasanya sangat ringkas seperti roti bakar, mi segera atau lobak putih yang dibeli semasa waktu diskaun di pasar raya. Kadangkala dia sanggup menunggu sehingga lewat malam kerana pada waktu itu harga makanan akan dikurangkan separuh.
Tamogami mempunyai satu prinsip yang menjadi pegangannya setiap kali berbelanja, “Jangan beli apa-apa yang tidak ada diskaun.” Prinsip ini menjadi rutin harian yang benar-benar diamalkannya. Dia jarang membeli pakaian baharu. Tamogami sebaliknya memakai baju-baju lama, pakaian terpakai yang dibeli dengan harga murah atau diberikan oleh keluarga. Dia bahkan tidak membeli sebarang perabot baru dengan kebanyakan perabot di rumahnya diperoleh secara percuma daripada orang yang ingin membuangnya.

Selain itu, Tamogami juga menemui cara luar biasa untuk menambah pendapatan. Rambut panjangnya dijaga rapi bukan semata-mata untuk kecantikan tetapi kerana dia menjual rambutnya apabila sudah panjang yang biasanya mendapat sekitar 3100 yen (sekitar RM100) hasil jualan. Duit itu pula digunakan untuk menampung keperluan asasnya seperti bil elektrik dan air. Setiap perbelanjaan kecil dikira dengan teliti. Dia mengelakkan makan di luar, tidak mempunyai telefon mahal dan tidak menonton televisyen kerana menganggapnya membazir tenaga serta masa.
Sejak berumur 19 tahun, Tamogami tidak pernah membazir untuk perkara yang tidak perlu. Walaupun rakan-rakannya keluar bersosial, melancong atau membeli barangan berjenama, dia memilih untuk tinggal di rumah, menabung selain mencari tawaran harga murah setiap kali membeli barang dapur. Sikap tegas terhadap diri sendiri inilah yang membolehkan dia menyimpan sebahagian besar gajinya setiap bulan.
Tamogami juga belajar banyak tentang pasaran hartanah melalui kerjayanya sebagai ejen. Menerusi pengetahuan tersebut, dia mampu memilih lokasi yang strategik dan berpotensi untuk dijadikan pelaburan jangka panjang. Baginya, setiap sen yang dijimatkan adalah satu langkah lebih dekat kepada kebebasan kewangan.

Hasil kesungguhan dan gaya hidup yang luar biasa berjimat itu, Tamogami berjaya membeli rumah pertamanya pada usia 27 tahun di kawasan Saitama dengan harga kira-kira 10 juta yen (sekitar RM300 000). Dua tahun kemudian, dia membeli rumah kedua bernilai 18 juta yen (sekitar RM570 000). Pada tahun 2019 yakni sebelum berusia 35 tahun, dia mencapai matlamat hidupnya dengan membeli rumah ketiga bernilai 37 juta yen (sekitar RM1.1 juta) Rumah ketiga itu bagaimanapun ditukarkan Tamogami menjadi kafe kucing yang dinamakan Cafe Yuunagi sebagai simbol pencapaian hidup dan impiannya sejak kecil untuk membantu kucing terbiar.
Cuma harus diingatkan, gaya hidup ekstrem seperti Tamogami ini tidak sesuai untuk semua orang. Berjimat secara keterlaluan mungkin membawa kesan kepada kesihatan atau kesejahteraan mental jika tidak diimbangi dengan baik. Namun yang penting adalah mengambil semangat serta nilai daripada kisah ini iaitu berfikir jangka panjang, berbelanja dengan bijak dan menghargai setiap sen yang diperoleh.
Catat Ulasan for "Kisah Saki Tamogami: Wanita yang Miliki Tiga Rumah Sebelum Usia 35 Tahun Hasil Hidup Berjimat Secara Ekstrem"