Apa Jadi Bila Khianati Kartel? Ini Kisah El Cholo

El Cholo atau nama sebenarnya Carlos Enrique Sanchez Martinez pernah berada di kedudukan tinggi dalam Cartel Jalisco Nueva Generacion (CJNG), sebuah kartel yang terkenal dengan disiplin dalaman yang keras dan keganasan melampau terhadap musuh serta pengkhianat. Pada peringkat awal penglibatannya, El Cholo merupakan individu penting dalam struktur CJNG dan dipercayai menjadi orang kanan kepada ketuanya iaitu Nemesio Oseguera Cervantes yang dikenali sebagai El Mencho. Dia terlibat dalam pengurusan wilayah, operasi keselamatan dan pengedaran dadah di sekitar negeri Jalisco. Kedudukannya yang berpengaruh menjadikannya individu yang dihormati dan ditakuti dalam dunia kartel.
Namun pada sekitar tahun 2017, berlaku perpecahan besar apabila El Cholo meninggalkan CJNG dan menubuhkan kumpulan saingan dikenali sebagai Cartel Nueva Plaza bersama Erick Valencia atau El 85. Langkah ini dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan mutlak. Sejak itu, perang terbuka tercetus antara kedua-dua kartel terutama di kawasan Guadalajara yang menyaksikan peningkatan mendadak kes pembunuhan, penculikan dan keganasan bersenjata. Dalam konflik tersebut, El Cholo menjadi sasaran utama CJNG. Selepas beberapa tahun diburu, dis akhirnya berjaya dikesan dan ditangkap pada Mac 2021. Penangkapannya itu bagaimanapun tidak bertujuan membawanya ke muka pengadilan. Ia sebaliknya menandakan bermulanya hukuman paling kejam terhadap seorang bekas orang kanan yang dianggap telah mengkhianati kumpulan.


Selepas ditahan, El Cholo tidak terus dibunuh. Berdasarkan laporan forensik dan siasatan pihak berkuasa Mexico, dia terlebih dahulu melalui satu tempoh penyeksaan yang sistematik. Tubuhnya menunjukkan kesan penderaan fizikal yang serius dan berulang membuktikan bahawa penyeksaan tersebut dilakukan secara terancang dan berperingkat. Kedua-dua kakinya mengalami patah teruk pada beberapa bahagian, termasuk tulang paha dan lutut dipercayai untuk melumpuhkan pergerakannya sepenuhnya.
Selain itu, terdapat kecederaan parah pada jari kaki dan anggota bawah serta kesan hentakan kuat pada bahagian badan dan rusuk. Pemeriksaan lanjut turut menemui tanda-tanda penggunaan kejutan elektrik, satu kaedah yang lazim digunakan untuk mematahkan ketahanan mental mangsa dan memaksa pengakuan tanpa menyebabkan kematian segera. Antara penemuan paling mengejutkan dalam laporan forensik ialah kecederaan pada bahagian kepala dan wajah. Pihak berkuasa mengesahkan bahawa mata El Cholo telah dicungkil semasa dia masih hidup yakni berdasarkan pendarahan aktif pada soket mata. Dalam konteks dunia kartel, perbuatan ini membawa makna yang jelas iaitu hukuman terhadap seseorang yang dianggap berpaling tadah daripada kumpulan asalnya.

Dalam keadaan fizikal dan mental yang tertekan, El Cholo kemudiannya dipaksa merakam satu video pengakuan. Dalam rakaman tersebut, dia mengakui bertanggungjawab terhadap beberapa perbuatan jenayah serius termasuk pembunuhan besar-besaran. Video ini dipercayai dirakam sebagai propaganda dan amaran terbuka CJNG kepada musuh-musuh mereka serta ahli dalaman yang mungkin berniat mengkhianat.
Selepas penyeksaan tersebut berakhir, El Cholo ditembak beberapa kali di kepala. Tembakan ini dipercayai menjadi punca utama kematiannya dan dianggap sebagai hukuman penamat. Mayat El Cholo kemudian dibalut dengan plastik lalu dibuang di sebuah taman awam di kawasan Tlaquepaque, Jalisco bersama satu mesej bertulis daripada CJNG yang jelas bertujuan menakut-nakutkan pihak lawan.
Catat Ulasan for "Apa Jadi Bila Khianati Kartel? Ini Kisah El Cholo"