OBSESI DAHSYAT SEORANG CIKGU PSIKO

Kes ini bermula di sebuah pekan kecil bernama Shatura, yang terletak di pinggir bandar Moscow, Rusia. Yulia Simonova merupakan seorang guru muzik yang sangat dihormati dan mempunyai reputasi yang bersih di sekolahnya. Dia dikenali sebagai seorang pendidik yang berdedikasi dan sering memberikan perhatian lebih kepada pelajar-pelajar yang berbakat. Namun di sebalik imej profesional tersebut, tersembunyi satu sisi gelap yang akhirnya membawa kepada salah satu kes jenayah paling mengejutkan di Rusia pada tahun 2015.
Hubungan yang tidak sihat ini bermula apabila Yulia memberikan perhatian istimewa kepada salah seorang pelajarnya, seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang dikenali sebagai Vanya (atau Damian dalam beberapa laporan). Yulia yang ketika itu berusia 49 tahun didakwa telah memanipulasi dan memikat budak lelaki tersebut. Pakar psikologi kemudiannya berpendapat bahawa latar belakang Yulia yang dibesarkan oleh ibu yang sangat mengawal (toksik) menyebabkannya mencari pengiktirafan dan kuasa melalui hubungan yang tidak seimbang ini.
Setelah hampir dua tahun terperangkap dalam hubungan tersebut, budak lelaki berkenaan mula meningkat remaja dan menyedari bahawa apa yang berlaku adalah satu kesalahan. Dia mula menjauhkan diri, mengabaikan panggilan telefon dan akhirnya cuba memutuskan hubungan dengan Yulia. Penolakan ini ternyata tidak dapat diterima oleh Yulia. Perasaan cinta yang obsesif itu bertukar menjadi kebencian yang amat mendalam. Yulia mula merancang satu tindakan balas dendam yang sangat kejam kerana menganggap jika dia tidak boleh memiliki remaja itu, maka sesiapa pun tidak boleh memilikinya.

Dalam pertemuan sulit yang dirakam secara tersembunyi oleh polis, Yulia mendedahkan rancangan yang sangat sadis. Dia bukan sahaja mahu remaja itu dibunuh, tetapi mahu mangsa diseksa terlebih dahulu. Yulia mengarahkan pembunuh tersebut untuk mematahkan tangan dan kaki mangsa serta mencungkil matanya. Dia mahu menjadi orang terakhir yang dilihat oleh mangsa di mana dirinya merancang untuk muncul di hadapan mangsa yang sedang menderita, memberikan kata-kata manis palsu kononnya mahu menyelamatkannya sebelum bertindak mencekik remaja itu sehingga mati dengan tangannya sendiri.

Pada April 2015 yakni saat Yulia menyerahkan sebahagian daripada wang bayaran kepada ejen penyamar di dalam sebuah kereta, pihak polis segera mengepung dan menangkapnya. Rakaman video tangkapan menunjukkan Yulia kelihatan tenang dan tidak menunjukkan sebarang kekesalan pada awalnya. Akhirnya, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun ke atas Yulia Simonova atas tuduhan cubaan membunuh secara terancang. Dia kini dilaporkan masih menjalani hukuman di penjara Rusia.
Catat Ulasan for "OBSESI DAHSYAT SEORANG CIKGU PSIKO"