Buruan FBI Selama Hampir Sembilan Tahun Ditangkap di Mexico

MEXICO — Seorang lelaki yang hampir sembilan tahun menjadi buruan utama agensi penguatkuasaan undang-undang Amerika Syarikat akhirnya berjaya ditangkap di Mexico sekali gus menamatkan salah satu kes buruan paling lama dalam sejarah senarai Ten Most Wanted atau 10 individu paling dikehendaki oleh Federal Bureau of Investigation (FBI).
Suspek dikenali sebagai Alejandro Rosales Castillo, berusia 27 tahun, ditahan pada 16 Januari 2026 di bandar Pachuca, negeri Hidalgo. Penahanan tersebut merupakan hasil kerjasama rapat antara pihak berkuasa Mexico dan Amerika Syarikat menerusi perkongsian maklumat risikan serta operasi keselamatan bersama.
Castillo diburu sejak 2016 atas pelbagai tuduhan jenayah serius seperti pembunuhan dengan niat jenayah, rompakan bersenjata, penculikan serta melarikan diri daripada proses perundangan selepas kejadian pembunuhan berlaku. Dia disenaraikan sebagai salah seorang daripada 10 paling dikehendaki FBI pada 24 Oktober 2017 dengan pihak berkuasa menawarkan ganjaran sehingga USD250 000 (lebih RM1 juta) kepada sesiapa yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penangkapannya.
Kes ini berpunca daripada kejadian pada 17 Ogos 2016 di Charlotte, North Carolina apabila mayat Truc Quan Sandy Ly Le, seorang wanita berusia 23 tahun yang bekerja di sebuah restoran ditemui di kawasan berhutan di Cabarrus County dengan kecederaan akibat tembakan. Siasatan awal mendapati mangsa merupakan bekas rakan sekerja Castillo di mana kedua-duanya pernah mempunyai hubungan yang rapat sebelum kejadian tersebut.


Menurut FBI dan laporan penyiasatan, Castillo dipercayai telah menghubungi Le dengan alasan mahu membayar semula wang pinjaman sebanyak USD1000. Dia bagaimanapun didakwa telah memaksa mangsa mengeluarkan wang dari akaun bank sebelum membawa Le ke kawasan hutan dan menembaknya di kepala lalu melarikan diri dari lokasi kejadian. Kenderaan mangsa kemudiannya ditemui di sebuah stesen bas di Phoenix, Arizona pada beberapa hari sebelum mayatnya dijumpai.
Selepas kejadian itu, Castillo dipercayai memasuki Mexico melalui Nogales, Arizona, pada 16 Ogos 2016. Dia hidup secara berpindah-randah di beberapa bandar di negara tersebut termasuk kemungkinan di Aguascalientes dan Veracruz. Sepanjang tempoh dalam buruan, Castillo menggunakan beberapa nama samaran serta berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan Sepanyol sekali gus menyukarkan usaha pengesanan oleh pihak berkuasa.
Penangkapannya pada pertengahan Januari 2026 merupakan hasil operasi risikan bersepadu melibatkan FBI, Interpol, Secretaria de Seguridad y Proteccion Ciudadana (SSPC) Mexico serta Fiscalia General de la Republica (FGR). Castillo ditahan berdasarkan Notis Merah Interpol dan waran penangkapan bagi tujuan ekstradisi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Castillo kini ditahan di Mexico City sementara menunggu proses ekstradisi ke Amerika Syarikat. Dia dijangka dihadapkan ke mahkamah di North Carolina bagi menghadapi semua pertuduhan yang dikenakan. Selain pertuduhan pembunuhan, Castillo turut disiasat atas dakwaan rompakan bersenjata, kecurian kenderaan serta penglibatan dalam kes penculikan hingga menjadikan kes ini antara yang paling serius pernah dikendalikan oleh pihak penguatkuasaan undang-undang. FBI berharap perkembangan ini dapat memberikan kelegaan kepada keluarga mangsa khususnya selepas penantian panjang sejak kehilangan Truc Quan Sandy Ly Le.
Catat Ulasan for "Buruan FBI Selama Hampir Sembilan Tahun Ditangkap di Mexico"