Gadai Rumah Demi Suami Muda, Akhirnya Merana di Negara Orang


     Kisah ini bermula pada tahun 2011 apabila Diana Peebles, seorang pesara dari Edinburgh, Scotland memutuskan untuk bercuti ke Sri Lanka bagi mencari ketenangan. Di sebuah hotel di kawasan pantai Hikkaduwa, dia bertemu dengan Priyanjana De Zoysa iaitu seorang pemuda tempatan yang bekerja sebagai kakitangan hotel. Walaupun terdapat jurang usia yang sangat besar dengan Diana berusia 60-an manakala Priyanjana baru berusia 20-an hubungan mereka berkembang dengan pantas. Hanya selepas beberapa minggu berkenalan yakni atas dasar cinta yang mendalam, Diana bersetuju untuk mengahwini pemuda tersebut.



     Terpedaya dengan janji manis dan impian untuk menghabiskan hari tua di negara tropika, Diana membuat keputusan drastik yang mengubah hidupnya. Dia pulang ke Scotland untuk menjual rumahnya dan mengeluarkan seluruh wang simpanan pencennya. Diana kemudian berpindah secara tetap ke Sri Lanka lalu melaburkan kira-kira £100 000 (sekitar RM600 000) untuk membina sebuah rumah mewah bagi keluarga Priyanjana di kampung halamannya. Selain itu, Diana turut membelikan sebuah van untuk membolehkan suaminya memulakan perniagaan pengangkutan.

     Walau bagaimanapun, kebahagiaan yang diharapkan hanyalah sebuah ilusi yang mahal harganya. Tidak lama selepas menetap di sana, Diana mula menyedari bahawa dia dianggap tidak lebih daripada sekadar mesin wang oleh suami dan keluarga mertuanya. Keadaan menjadi semakin tegang apabila Priyanjana kerap meminta wang tambahan. Kehidupan Diana mula dikawal. Selain itu, dia mendakwa dirinya sering kali dipinggirkan di dalam rumah yang dibina menggunakan wangnya sendiri. Realiti pahit ini mencapai kemuncaknya pada tahun 2017 apabila Priyanjana telah ditembak mati secara kejam oleh sekumpulan samseng. Motif pembunuhan dipercayai berkaitan dengan pemerasan wang di mana kumpulan tersebut mengetahui bahawa Priyanjana mempunyai isteri warga asing yang kaya.


     Selepas kematian suaminya, penderitaan Diana tidak berakhir bahkan menjadi semakin buruk. Dia dikejutkan dengan penemuan dokumen yang membuktikan bahawa Priyanjana sebenarnya telah mengahwini seorang wanita tempatan yang jauh lebih muda secara rahsia. Lebih memilukan, keluarga mentuanya mula melayan Diana dengan penuh kebencian dan cuba mengusirnya keluar. Diana mendakwa pasport dan dokumen pentingnya dikawal selain diancam supaya tidak menuntut harta yang telah dibelinya.

     Pada tahun 2018 dengan sisa keberanian yang ada, Diana berjaya menghubungi pihak kedutaan dan melarikan diri kembali ke Scotland. Dia pulang ke tanah airnya dalam keadaan sehelai sepinggang tanpa rumah dan tanpa wang simpanan yang telah dikumpul sepanjang hayatnya. Diana kini terpaksa menetap di rumah kos rendah dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan kebajikan kerajaan.

Catat Ulasan for "Gadai Rumah Demi Suami Muda, Akhirnya Merana di Negara Orang"