Kisah Pembunuhan Kejam Fatima Yasser

     Kes pembunuhan kejam yang menimpa seorang gadis remaja berusia 16 tahun, Fatima Yasser Khalil telah mengejutkan Mesir pada awal Ramadan 2026. Fatima, seorang gadis yang dikenali dengan sifat lemah-lembut dan peribadi yang murni merupakan seorang pelajar yang sedang menanti hari bahagianya. Dia dijadualkan melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya, Mahmood hanya beberapa hari selepas sambutan Aidilfitri. Walau bagaimanapun, impian murni itu berkecai menjadi satu kejadian hitam yang berpunca daripada sifat tamak dan hasad dengki yang membuak-buak dalam kalangan ahli keluarga sendiri.

     Segalanya bermula pada November 2025 apabila Fatima mengikat tali pertunangan dengan Mahmood, seorang pemuda dari kampung El Cabab. Sebagai persediaan hidup berumah tangga, Mahmood telah menyiapkan sebuah apartmen yang luas dan cantik di tingkat dua rumah keluarganya. Namun kewujudan apartmen ini menjadi punca utama konflik apabila kakak ipar Mahmood iaitu Doaa mula menaruh perasaan iri hati. Doaa yang mempunyai anak kecil mendesak agar Fatima menyerahkan apartmen besar itu kepadanya dan berpindah ke unit yang lebih kecil. Fatimanyang sedar akan haknya dengan tegas menolak permintaan tersebut sekali gus mencetuskan dendam tersembunyi dalam diri Doaa.

     Ketegangan semakin memuncak pada 3 Ramadan 2026. Fatima dan ibunya telah dijemput ke rumah keluarga Mahmood untuk berbuka puasa dan meninjau hiasan terakhir rumah baharu mereka. Disebabkan hari sudah lewat malam dan ketiadaan kenderaan untuk pulang ke Port Said yang terletak 45 kilometer jauhnya, mereka memutuskan untuk bermalam di sana. Pada pagi kejadian sekitar jam 8:30 pagi, seorang lagi watak misteri dalam kes ini, Shad (anak saudara Mahmood yang dikatakan mempunyai obsesi pelik terhadap Mahmood sendiri) telah mengejutkan Fatima untuk keluar berjalan-jalan. Ibu Fatima tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah Shad pulang sendirian dalam keadaan menangis histeria 30 minit kemudian mendakwa Fatima sudah pulang dan sedang tidur di bilik bawah.

     Kehilangan Fatima hanya disedari sepenuhnya pada jam 12:00 tengah hari apabila ibunya cuba mengejutkannya untuk solat Zohor. Ibunya mendapati bantal dan selimut telah disusun sedemikian rupa untuk menyerupai susuk tubuh manusia yang sedang tidur namun Fatima tiada di situ. Suasana menjadi hura-hara sehingga Mahmood menemui jasad Fatima yang sudah kaku di tingkat dua rumah tersebu. Pemandangan itu amat mengerikan di mana Fatima terbaring dengan wajah yang membengkak dan kesan darah yang jelas di sekitar lehernya.

     Laporan forensik dari hospital mengesahkan fakta yang menyayat hati. Fatima telah dicekik sehingga mati menggunakan kain tudung yang dipakainya sendiri. Jerutan itu begitu kuat sehingga menyebabkan patah tulang vertebrae leher dan memutuskan bekalan oksigen mangsa. Terdapat juga kesan pergelutan yang jelas pada tangan dan kaki mangsa yabg menunjukkan Fatima cuba mempertahankan dirinya sehingga ke nafas terakhir. Melalui siasatan intensif, Doaa akhirnya mengaku bertanggungjawab melakukan pembunuhan kejam itu. Wanita itu mendedahkan bahawa dia mengekori Fatima ke tingkat atas dan setelah satu lagi pertengkaran mengenai apartmen berlaku, dia menolak Fatima sehingga mangsa pengsan sebelum bertindak menjerut lehernya sehingga nyawa mangsa berakhir.

     Walaupun Doaa telah mengaku, bapa Fatima, Haji Yasser tetap menuntut siasatan lebih mendalam kerana dia percaya seorang wanita tidak mungkin mampu mengawal dan membunuh anaknya yang kuat tanpa bantuan rakan sejenayah memandangkan terdapat kesan lebam yang menunjukkan tangan dan kaki mangsa dipegang dengan kuat. Kini, Doaa berada dalam tahanan pihak berkuasa Port Said sementara siasatan lanjut dijalankan untuk menentukan sama ada Shad atau ahli keluarga lain turut terlibat dalam perancangan pembunuhan ini.

 

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Fatima Yasser"