Kisah Pembunuhan Kejam Bassam Osama

     Kisah ini bermula di Kaherah, Mesir pada tahun 2018 yang melibatkan seorang pemuda bernama Bassam Osama, seorang pelajar tahun akhir jurusan Komputer dan Maklumat di Universiti British. Bassam dikenali sebagai seorang yang berhemah tinggi, bijak dan datang daripada keluarga yang dihormati serta berada. Dia telah menjalin hubungan cinta selama lapan tahun dengan rakan sekampusnya iaitu Habiba Ashraf yang merupakan pelajar jurusan kejuruteraan. Hubungan yang bermula sejak zaman sekolah menengah itu pada mulanya dilihat sebagai sebuah kisah cinta yang indah dan bakal berakhir dengan perkahwinan.

     Namun di sebalik kebahagiaan tersebut, tersimpan sebuah rahsia gelap yang menyelubungi keluarga Habiba. Bapa Habiba, Ashraf Hamed memperkenalkan dirinya sebagai seorang ahli farmasi dan ahli perniagaan kontraktor yang berjaya bagi mengaburi mata orang ramai. Walau bagaimanapun, rakan-rakan Bassam mula menyedari terdapat jurang sosial yang ketara dan kejanggalan pada cara bapa Habiba berkomunikasi yang langsung tidak mencerminkan latar belakang seorang profesional. Bassam yang pada mulanya enggan mempercayai kata-kata rakannya akhirnya mula melakukan siasatan sendiri selepas menemui sekeping sijil kematian palsu atas nama Ashraf Hamed di kediaman mereka.

     Penyiasatan Bassam membongkar kebenaran yang mengerikan. Bapa kekasihnya itu bukanlah seorang ahli perniagaan yang sah tetapi sebaliknya merupakan seorang penjenayah tegar, pemalsu dokumen dan pengedar dadah paling dikehendaki di Mesir. Ashraf Hamed sebenarnya sedang melarikan diri daripada hukuman penjara terkumpul selama 40 tahun atas pelbagai kesalahan jenayah. Malah, ibu tiri Habiba juga merupakan seorang buronan yang mempunyai rekod penipuan. Apabila Bassam cuba mendapatkan kepastian daripada Habiba, gadis itu berpura-pura tidak tahu dan menggunakan manipulasi emosi untuk membuatkan Bassam rasa bersalah kerana meragui keluarganya.

     Ketakutan akan rahsia mereka terbongkar kepada pihak berkuasa menyebabkan Ashraf Hamed merancang untuk membunuh Bassam. Dalam satu tindakan pengkhianatan yang paling kejam, Habiba memilih untuk menyebelahi keluarga penjenayahnya berbanding lelaki yang telah mencintainya selama lapan tahun. Pada awal bulan Ramadan 2018, Ashraf telah menyewa sebuah apartmen di New Cairo dan menyediakan lubang di bawah lantai sebagai kubur buat Bassam. Bassam telah dipancing ke apartmen tersebut atas alasan untuk membincangkan urusan perkahwinan dan pemberian wang hantaran.

     Setibanya di sana, Bassam telah diserang oleh beberapa orang lelaki upahan sebelum dijerut lehernya dengan wayar oleh Ashraf sehingga mati. Mayat pemuda malang itu kemudian dibalut, dimasukkan ke dalam kotak kayu dan ditanam di bawah jubin lantai apartmen tersebut. Bagi menghilangkan bau dan mempercepatkan proses pereputan, mereka menabur kapur tohor dan arang di sekeliling mayat sebelum menyimen semula lantai tersebut. Kehilangan Bassam hanya terbongkar selepas keluarganya membuat laporan polis dan jiran di apartmen tersebut menghidu bau busuk yang mencurigakan.

     Apabila polis menyerbu apartmen tersebut, mereka mendapati unit itu kosong tanpa perabot. Pemeriksaan teliti pada lantai bagaimanapun mendapati terdapat bahagian jubin yang nampak baru dipasang dan simennya masih belum sekata dengan bahagian lain. Setelah lantai itu dipecahkan, pihak polis menemui mayat Bassam yang ditanam di dalam lubang sedalam kira-kira satu meter.

    Polis seterusnya berjaya menjejaki pelaku melalui rakaman CCTV dan rekod telefon. Apabila salah seorang daripada mereka ditangkap, dia segera pecah lubang dengan membuat pengakuan bahawa Ashraf adalah dalang utama yang membunuh Bassam manakala mereka hanya ditugaskan untuk membantu menguruskan mayat. 

     Selepas Ashraf dan Habiba ditahan, polis merampas telefon bimbit mereka. Di sinilah bukti paling kukuh ditemui. Terdapat komunikasi bertulis antara Habiba dan bapanya yang merancang waktu yang tepat untuk memancing Bassam serta mesej selepas kejadian di mana Habiba bertanya sama ada Bassam sudah dihapuskan sepenuhnya. Bukti digital ini mematahkan segala penafian mereka di mahkamah. Keadilan akhirnya ditegakkan di mahkamah pada Oktober 2024. Ashraf Hamed dijatuhi hukuman gantung sampai mati manakala Habiba Ashraf dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selama 25 tahun kerana bersubahat dalam pembunuhan tersebut.


Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Bassam Osama"