Misteri Si Pembuat Patung: Kisah Benar Anatoly Moskvin dan 29 Mayat Kanak-kanak

     Bercerita tentang Anatoly Moskvin, lelaki warganegara Rusia inu bukanlah seorang penjenayah biasa. Dia ialah seorang ahli sejarah, wartawan dan pakar necropolis (kajian tentang tanah perkuburan) yang sangat dihormati sebelum rahsia gelap di sebalik dinding apartmennya terbongkar kepada dunia pada tahun 2011.

     Latar belakang Moskvin bermula dengan kecemerlangan intelektual. Dia merupakan seorang poliglot yang menguasai 13 bahasa dan mempunyai perpustakaan peribadi melebihi 60 000 buah buku. Obsesinya terhadap kematian dikatakan bermula sejak usia 12 tahun apabila dia dipaksa oleh sekumpulan penganut ajaran sesat untuk mencium dahi seorang mayat gadis berusia 11 tahun di satu majlis pengebumian. Peristiwa traumatik itu di mana menurut pengakuan Moskvin telah menyemai minat dan ketertarikan luar biasa terhadap roh si mati yang akhirnya membawa kepada perbuatan jenayah yang tidak terbayangkan.

     Kegiatan gelapnya mula aktif antara tahun 2003 sehingga 2011. Dalam tempoh tersebut, Moskvin telah menceroboh ratusan tanah perkuburan di sekitar wilayah Nizhny Novgorod. Dia menggali semula kubur kanak-kanak perempuan yang berusia antara 3 hingga 12 tahun secara rahsia. Moskvin mendakwa bahawa dia akan berkomunikasi dengan roh kanak-kanak tersebut dengan baring di atas kubur mereka. Sekiranya Moskvin berasa roh tersebut mahu berjalan-jalan, dia akan menggali dan membawa pulang mayat mereka di dalam beg galasnya ke apartmen yang dikongsi bersama ibu bapanya.

     Apa yang ditemui oleh pihak polis di dalam kediamannya sangat mengejutkan norma kemanusiaan. Terdapat 29 mayat yang telah diawet menggunakan campuran garam dan soda penaik. Mayat-mayat ini tidak dibiarkan begitu sahaja kerana Moskvin mengubah mereka menjadi patung bersaiz manusia yang mengerikan. Dia memakaikan mereka pakaian kanak-kanak yang lengkap, stoking nilon dan memakai topeng lilin atau kain pada muka mayat tersebut agar kelihatan lebih hidup. Lebih menyedihkan, dia menanam kotak muzik di dalam rongga dada mayat-mayat ini supaya mereka boleh mengeluarkan bunyi apabila disentuh.

     Kehidupan seharian Moskvin bersama koleksi tersebut dilakukan seolah-olah mereka adalah ahli keluarga yang bernyawa. Dia memberikan setiap mayat itu nama, menyambut ulang tahun kelahiran mereka. Selain itu, Moskvin turut meletakkan mereka di hadapan televisyen untuk menonton kartun bersama-sama. Moskvin mendakwa motifnya bukanlah bersifat seksual tetapi sebaliknya dia berasa sunyi dan mahu menjadi bapa kepada kanak-kanak tersebut. Malah Moskvin menyimpan harapan bahawa suatu hari nanti teknologi pengklonan akan membolehkan dia menghidupkan semula semua mangsa tersebut.

     Rahsia ini berjaya disembunyikan selama bertahun-tahun daripada pengetahuan ibu bapanya yang sering keluar bandar. Bau busuk yang datang dari biliknya sering disalah anggap oleh jiran-jiran sebagai bau sampah atau kerosakan sistem pembetungan. Hanya selepas Moskvin ditangkap kerana merosakkan kubur, pihak berkuasa melakukan penggeledahan di rumahnya sebelum menemui realiti sebenar yang mengubah persepsi orang ramai terhadapnya daripada seorang sarjana kepada "raksasa".

     Pada akhirnya, sistem keadilan Rusia memutuskan bahawa Anatoly Moskvin tidak layak untuk dibicarakan secara jenayah. Diagnosis psikiatrik mengesahkan dia menghidap schizophrenia paranoid tahap ekstrem. Sejak Mei 2012, dia telah ditempatkan di sebuah hospital psikiatrik di bawah pengawasan ketat. Walaupun Moskvin berkali-kali memohon untuk dibebaskan dengan alasan sudah pulih, pihak mahkamah dan keluarga mangsa tetap berkeras bahawa dia adalah ancaman besar kepada masyarakat yang tidak seharusnya diberi peluang untuk kembali ke tanah perkuburan.

Catat Ulasan for "Misteri Si Pembuat Patung: Kisah Benar Anatoly Moskvin dan 29 Mayat Kanak-kanak"