Kisah Keluarga Kanibal Garanhuns

Kes Kanibal Garanhuns yang pernah berlaku di Brazil ini melibatkan elemen ajaran sesat, kanibalisme dan penipuan kejam yang melampaui batas kemanusiaan. Kisah ini mula terbongkar pada April 2012 di bandar Garanhuns, negeri Pernambuco selepas pihak berkuasa menyiasat kehilangan beberapa orang wanita muda di kawasan tersebut.
Dalang di sebalik jenayah ini merupakan sebuah keluarga yang kelihatan normal dari luaran. Mereka terdiri daripada Jorge Beltrao Negromonte da Silveira, seorang bekas profesor pendidikan jasmani dan pelukis, isterinya, Isabel Cristina Pires da Silveira serta kekasih Jorge iaitu Bruna Cristina Oliveira da Silva. Bruna hidup bersama pasangan tersebut dengan identiti palsu sebagai anak angkat mereka bagi mengaburi mata penduduk setempat.

Ketiga-tiga individu ini mendakwa mereka adalah ahli sebuah sekta radikal yang digelar O Cartel. Menurut pengakuan Jorge yang didokumentasikan dalam sebuah diari setebal 50 muka surat bertajuk Revelations of a Schizophrenic, misi utama mereka adalah untuk menyucikan dunia dan mengurangkan populasi manusia. Mereka percaya bahawa dengan membunuh wanita serta memakan daging mereka, jiwa mangsa akan disucikan dan ahli kumpulan tersebut akan mendapat kekuatan rohani.
Kumpulan ini sangat licik dalam memilih mangsa. Mereka menyasarkan wanita muda yang berada dalam kesempitan kewangan atau ibu tunggal yang sedang mencari rezeki. Mangsa akan dipancing ke rumah mereka dengan tawaran pekerjaan sebagai pengasuh kanak-kanak atau pembantu rumah dengan gaji yang lumayan. Sebaik sahaja mangsa masuk ke dalam rumah, mereka akan dikurung dan dibunuh dalam satu ritual yang ngeri. Selepas mangsa dibunuh, mayat akan dilapah. Bahagian daging tertentu akan disimpan di dalam peti sejuk untuk dimakan oleh mereka bertiga. Lebih menyayat hati di mana dalam kes mangsa pertama, Jessica Camila da Silva, anak perempuannya yang masih kecil telah dipaksa oleh kumpulan ini untuk memakan daging ibunya sendiri sebagai sebahagian daripada proses kemasukan ke dalam sekta tersebut.

Aspek yang paling menggemparkan penduduk tempatan adalah tindakan Isabel Cristina yang menggunakan daging mangsa sebagai inti untuk menghasilkan empanada dan coxinha (sejenis pastri tradisional Brazil). Isabel kemudiannya menjual makanan tersebut di jalanan dan kepada jiran-jiran di bandar Garanhuns. Ramai penduduk tidak menyedari bahawa inti istimewa yang sering dipuji kesedapannya itu sebenarnya adalah daging manusia. Penjualan ini dilakukan bukan sahaja untuk menghapuskan bahan bukti tetapi juga sebagai cara bagi kumpulan tersebut untuk menyebarkan penyucian kepada orang awam melalui pemakanan daging mangsa yang telah dikorbankan.
Kegiatan ngeri ini akhirnya terbongkar apabila keluarga salah seorang mangsa, Giselly Helena da Silva melaporkan kehilangan mangsa kepada polis. Pihak berkuasa mula curiga apabila mereka mendapati kad kredit Giselly digunakan di sebuah kedai tempatan selepas tarikh dia dilaporkan hilang. Rakaman CCTV membawa polis terus ke rumah Jorge dan rakan-rakannya. Semasa penggeledahan dilakukan di halaman belakang rumah mereka di Garanhuns pada 12 April 2012, polis menemui sisa-sisa mayat dua wanita yang ditanam di situ. Penemuan ini membawa kepada pembongkaran kes pembunuhan pertama di Olinda yang berlaku beberapa tahun sebelumnya.

Pada perbicaraan tahun 2014 dan rayuan seterusnya pada 2018, mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap mereka. Jorge Beltrao dihukum penjara selama 71 tahun, Isabel Cristina dihukum penjara selama 68 tahun dan Bruna Cristina dihukum penjara selama 71 tahun.
Catat Ulasan for "Kisah Keluarga Kanibal Garanhuns"