Kisah Pembunuhan Kejam Zahra Ramadhani


     Kejadian yang menyayat hati ini berlaku di Kabupaten Simalungun, Sumatera Utara pada penghujung tahun 2025 melibatkan dua remaja di bawah umur yang masih berstatus pelajar Sekolah Menengah Pertama (SMP). Mangsa, seorang gadis berusia 15 tahun bernama Zahra Ramadani merupakan seorang pelajar kelas 9 yang dikenali sebagai seorang yang ceria dalam kalangan keluarga dan rakan-rakannya. Namun kehidupan remaja  itu berakhir dengan kejadian yang mengerikan di tangan kekasihnya sendiri iaitu Alif Hadinata yang juga berumur 15 tahun.

​     Hubungan antara Zahra dan Alif bermula seperti cinta monyet remaja yang lain. Walau bagaimanapun, kekurangan pengawasan daripada orang dewasa menyebabkan batasan pergaulan mereka mula terhakis. Mereka sering bertemu secara sembunyi-sembunyi di kawasan yang sunyi untuk mengelakkan perhatian orang ramai. Titik hitam bermula pada hari Ahad, 28 Disember 2025 apabila Alif menjemput Zahra dengan motosikal dan membawa mangsa ke sebuah kawasan perladangan ubi yang terpencil berhampiran perkebunan getah PT Bridgestone. Di lokasi tersebut, kedua-duanya telah melakukan hubungan intim atas dasar suka sama suka.

     Ketegangan mula memuncak selepas mereka selesai melakukan hubungan tersebut. Zahra secara tiba-tiba mendakwa bahawa dia telah mengandung dan menuntut  Alif untuk bertanggungjawab. Mangsa meminta Alif menyediakan wang sebanyak Rp500 000 (sekitar RM140) dengan alasan untuk membeli ubat bagi menggugurkan kandungan tersebut. Pengakuan ini serta-merta mencetuskan panik yang luar biasa dalam diri Alif. Dalam keadaan emosi yang tidak stabil dan bimbang akan masa depannya, Alif gagal berfikir secara waras. Pertengkaran mulut tercetus sebelum keadaan bertukar menjadi ganas apabila Alif mula menyerang Zahra secara fizikal.

​     Dalam cubaan untuk mendiamkan mangsa, Alif bertindak menjerut leher Zahra sehingga mangsa jatuh dari motosikal. Walaupun Zahra cuba melarikan diri dan menjerit meminta pertolongan, Alif mengejarnya lalu menghentam kepala serta wajah mangsa dengan batu kerikil secara berulang kali sehingga mangsa pengsan. Tidak cukup dengan itu, Alif yang dalam keadaan dirasuk amarah kemudian pergi meminjam sebilah pisau daripada seorang penduduk kampung yang berada tidak jauh dari situ dengan alasan lain. Dia kembali ke lokasi kejadian lalu menikam mangsa berkali-kali tanpa belas kasihan bagi memastikan mangsa tidak lagi bernyawa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.


     Mayat Zahra hanya ditemui beberapa jam kemudian oleh dua pengawal keselamatan yang kebetulan lalu di kawasan Blok Z24 perkebunan tersebut. Mereka curiga selepas melihat sekumpulan lalat hijau menghurung satu sudut di celah pokok getah dan terhidu bau yang sangat menyengat. Penemuan jasad mangsa yang masih memakai seragam sekolah itu segera dilaporkan kepada pihak polis dan menggemparkan seluruh penduduk kampung termasuk bapa mangsa yang meraung apabila melihat keadaan anak perempuannya itu.

     Susulan siasatan intensif dan maklumat daripada saksi, pihak polis berjaya menahan Alif di rumah kakaknya pada malam yang sama. Alif akhirnya mengaku melakukan pembunuhan itu kerana terlalu takut dan tidak mampu memenuhi tuntutan wang tersebut. Hasil bedah siasat secara perubatan kemudian mengesahkan bahawa Zahra sebenarnya tidak mengandung sekali gus menunjukkan bahawa dakwaan mangsa hanyalah satu cubaan untuk menguji atau menuntut perhatian daripada kekasihnya. Alif kini berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak dan Kanun Keseksaan Indonesia atas kesalahan pembunuhan terancang.



Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Zahra Ramadhani"