Kisah Pembunuhan Kejam Arnima Hayat

     Pada tahun 2022, satu penemuan ngeri di sebuah apartmen di North Parramatta, Sydney telah membongkar salah satu kes pembunuhan paling kejam yang melibatkan komuniti imigran di Australia. Kejadian yang menimpa Arnima Hayat mendedahkan sisi gelap keganasan rumah tangga yang melampau di mana pelaku bukan sahaja tergamak meragut nyawa mangsa malah cuba melenyapkan bukti kewujudan jasadnya dengan cara yang sangat tidak berperikemanusiaan.

    Arnima Hayat (19 tahun) merupakan seorang gadis yang mempunyai masa depan yang sangat cerah. Berasal daripada keluarga imigran Bangladesh yang menetap di Sydney, Arnima dikenali sebagai seorang yang pintar, penyayang dan sangat berdedikasi terhadap pelajarannya. Dia merupakan pelajar perubatan tahun kedua di Western Sydney University dan bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang pakar bedah. Di mata keluarga dan rakan-rakan, Arnima adalah seorang yang ceria. Walau bagaimanapun, segalanya berubah selepas beliau mengenali seorang lelaki bernama Meraj Zafar.

    Arnima bertemu Meraj melalui media sosial. Meraj yang merupakan seorang pemandu lori berketurunan Pakistan mempunyai personaliti yang sangat berbeza dengan Arnima. Hubungan mereka sejak awal lagi tidak direstui oleh ibu bapa Arnima, Abu Hayat dan Mahafuza Akter. Ibu bapanya dapat menghidu sifat agresif dan panas baran Meraj. Namun akibat terlalu mengikut perasaan cinta, Arnima memutuskan untuk memutuskan hubungan dengan keluarganya demi mengahwini Meraj.

     Selepas berkahwin, kehidupan Arnima berubah menjadi mimpi ngeri. Meraj mula menunjukkan belang sebenarnya dengan mengawal setiap gerak-geri Arnima, memutuskan komunikasinya dengan dunia luar dan sering melakukan keganasan fizikal. Beberapa minggu sebelum kematiannya, Arnima dilaporkan telah menghubungi ahli keluarganya dan menyatakan hasrat untuk meninggalkan Meraj kerana sudah tidak tahan diseksa.

    Pada 30 Januari 2022, satu pergaduhan besar berlaku di apartmen mereka di North Parramatta. Menurut fakta kes di mahkamah, Meraj telah membunuh Arnima dengan cara menekup mukanya menggunakan bantal sehingga mangsa sesak nafas dan meninggal dunia. Apa yang lebih mengerikan adalah tindakan Meraj selepas pembunuhan tersebut. Meraj bukan saja tidak menunjukkan rasa kesal tetapi turut menghantar mesej kepada rakan-rakannya menyatakan bahawa dia telah membunuh isterinya, siap dengan penggunaan emoji ketawa. Bagi melenyapkan bukti, Meraj telah membeli berpuluh-puluh liter asid hidroklorik dari sebuah kedai perkakasan. Dia kemudian meletakkan mayat Arnima di dalam tab mandi lalu merendam mayat isterinya dengan asid tersebut. Tujuannya adalah untuk menghancurkan tubuh mangsa sepenuhnya supaya tidak dapat dikesan atau dikenal pasti oleh pihak polis.

      Pihak polis menyerbu apartmen tersebut pada keesokan harinya selepas menerima panggilan kecemasan daripada ibu Meraj yang bimbang tentang keadaan menantunya. Apabila polis memecah masuk ke dalam bilik air, mereka menemui pemandangan yang sangat ngeri. Keseluruhan tubuh Arnima telah cair dan hancur akibat tindak balas kimia yang kuat kecuali sebelah kakinya yang masih belum hancur sepenuhnya.

     Meraj Zafar melarikan diri selepas kejadian itu namun akhirnya menyerah diri kepada polis beberapa hari kemudian. Sepanjang perbicaraan, Meraj pada awalnya cuba menafikan perbuatannya namun bukti rakaman CCTV di kedai perkakasan dan mesej pengakuan kepada rakannya tidak dapat disangkal lagi. Kes ini berakhir di Mahkamah Agung New South Wales pada Disember 2024. Meraj Zafar telah dijatuhi hukuman penjara selama 21 tahun 6 bulan dengan tempoh tanpa parol selama 16 tahun. Walaupun hukuman telah dijatuhkan, keluarga Arnima meluahkan rasa kecewa kerana menganggap hukuman tersebut terlalu ringan berbanding kekejaman yang dilakukan terhadap anak mereka.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Arnima Hayat"