Skandal Jenayah Seksual Tingkat 28 yang Menyayat Hati di Incheon

Pada Disember 2019, Korea Selatan dikejutkan dengan satu kes jenayah seksual membabitkan pelajar sekolah menengah yang sangat menyayat hati. Segalanya bermula kira-kira seminggu sebelum kejadian utama. Dua orang remaja lelaki yang dikenali sebagai Hanu (15 tahun) dan Lee Hyon (14 tahun) yang sering terlibat dengan masalah disiplin dan buli telah mensasarkan rakan sekelas mereka, Su-yeon (bukan nama sebenar). Mereka merancang untuk memerangkap mangsa dengan menggunakan taktik kotor.
Pada malam 23 Disember 2019, mereka menggunakan seorang pelajar junior yang rapat dengan Su-yeon sebagai umpan. Mangsa yang bimbang akan keselamatan juniornya terpaksa akur dan datang ke lokasi yang ditetapkan oleh kedua-dua suspek. Setelah Su-yeon tiba, Hanu dan Lee Hyon memaksa mangsa meminum alkohol dalam kuantiti yang sangat banyak sehingga mangsa hilang kesedaran. Dalam keadaan mangsa yang tidak bermaya, mereka mengheret Su-yeon ke tingkat 28 sebuah pangsapuri iaitu di kawasan tangga kecemasan yang sunyi dan tidak mempunyai liputan CCTV. Di sana, mereka melakukan satu tindakan yang sangat tidak berperikemanusiaan di mana mereka bermain "jan-ken-pon" (gunting-batu-kertas) hanya untuk menentukan siapa yang akan merogol mangsa terlebih dahulu. Selepas melakukan jenayah keji tersebut, mereka sempat merakam gambar bogel mangsa sebagai bahan ugutan sebelum meninggalkannya keseorangan dalam cuaca musim sejuk yang melampau.

Apa yang lebih mengecewakan adalah reaksi pihak berkuasa sejurus selepas laporan dibuat. Pihak polis didakwa melakukan kecuaian besar apabila tidak mengambil data asal rakaman CCTV dengan segera hingga menyebabkan bukti visual tersebut terpadam secara automatik selepas tempoh simpanan tamat. Selain itu, pihak sekolah Su-yeon turut dikritik kerana cuba menutup kes tersebut demi menjaga reputasi institusi. Pengetua sekolah dilaporkan lebih bimbang sekolah mereka akan ditutup berbanding kebajikan mangsa. Malah pihak sekolah bertindak memberikan maklumat peribadi keluarga mangsa kepada keluarga pelaku yang menyebabkan Su-yeon menerima surat gangguan daripada mereka.

Keadilan seolah-olah semakin jauh apabila diketahui bahawa bapa kepada Hanu merupakan seorang bekas ahli politik yang berpengaruh. Keluarga pelaku cuba menggunakan kedudukan mereka untuk menyaman abang mangsa atas tuduhan mengurung suspek secara haram semasa abang mangsa cuba mendapatkan pengakuan daripada mereka. Disebabkan berasa tiada jalan keluar, ibu mangsa akhirnya memuat naik petisyen di laman web rasmi Presiden (Blue House). Petisyen tersebut mendapat sokongan luar biasa daripada lebih 300 000 rakyat Korea yang menuntut keadilan buat Su-yeon. Tekanan daripada rakyat inilah yang akhirnya memaksa pihak polis menjalankan siasatan semula secara menyeluruh.

Pada Mei 2021, mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara antara 3 hingga 4 tahun kepada kedua-dua pelaku. Walaupun bukti DNA dan rakaman gambar ditemui, hukuman tersebut dianggap sangat ringan oleh masyarakat kerana mereka dilindungi di bawah Akta Juvana. Bagi Su-yeon dan keluarganya, trauma yang dialami adalah hukuman seumur hidup. Mangsa menderita kemurungan kronik dan ketakutan melampau terhadap orang asing manakala keluarganya terpaksa berpindah rumah berkali-kali untuk melarikan diri daripada stigma dan gangguan. Pelaku pula dilaporkan telah dibebaskan pada tahun 2024.
Catat Ulasan for "Skandal Jenayah Seksual Tingkat 28 yang Menyayat Hati di Incheon"