Kisah Dendam Pekerja Terhadap Majikan yang Berakhir dengan Pembunuhan Sadis

Pada tahun 2023, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di di Jalan Mulawarman Raya, Semarang, Jawa Tengah yang melibatkan seorang pemilik kedai penapis air iaitu Irwan Hutagalung (53 tahun). Cara pembunuhannya kejam dengan mangsa telah dikerat dan mayatnya disimen kerana motif yang berakar umbi daripada dendam yang mendalam akibat penderaan di tempat kerja.
Kisah ini bermula apabila Irwan Hutagalung, seorang usahawan yang dikenali sebagai individu yang sangat tegas dan berdisiplin dalam urusan kewangan mengambil seorang pemuda bernama Husein sebagai pekerja untuk menghantar galon air. Husein yang berasal dari Banjarnegara mempunyai kekurangan fizikal di mana lengan kirinya tidak berfungsi secara normal akibat kecederaan saraf sejak kecil. Meskipun Irwan pada awalnya berjanji untuk memahami keterbatasan fizikal Husein, keadaan berubah menjadi toksik sebaik sahaja Husein mula bekerja. Irwan didakwa sering memarahi, menghina selain melakukan kekerasan fizikal terhadap Husein setiap kali berlaku kesilapan kecil dalam kerja.

Penyeksaan yang dialami Husein dikatakan melangkaui batas kemanusiaan. Selain sering dibentak dengan kata-kata kesat, Husein turut mendakwa tubuhnya dipukul dan dicucuh dengan puntung rokok yang menyala sehingga meninggalkan kesan luka bakar yang masih belum sembuh sehingga saat dia ditangkap. Apabila Husein cuba meletak jawatan kerana tidak tahan lagi, Irwan didakwa merampas kad pengenalan miliknya dan mengancam akan membunuhnya jika dia melarikan diri. Tekanan fizikal dan mental yang berterusan ini akhirnya mencetuskan niat dalam diri Husein untuk membalas dendam dengan cara yang paling ekstrem.
Pada malam Jumaat, 30 April 2023 yakni ketika Irwan sedang tidur nyenyak di dalam bilik di kedai tersebut, Husein mengambil peluang tersebut untuk menyerang mangsa. Dia menggunakan sebatang kuku kambing untuk menghentam kepala mangsa berkali-kali sehingga tidak berdaya. Dalam keadaan panik namun didorong oleh kebencian, Husein kemudian memotong badan mangsa kepada empat bahagian. Dia memotong kepala mangsa kerana mendakwa sering dimaki dan memotong kedua-dua tangan mangsa kerana tangan itulah yang sering digunakan oleh Irwan untuk memukulnya. Bahagian tubuh mangsa kemudian dimasukkan ke dalam karung dan disembunyikan di lorong sempit di sebelah kedai sebelum disimen menggunakan campuran simen serta pasir untuk menghilangkan bau.

Penemuan mayat tersebut hanya berlaku beberapa hari kemudian apabila jiran-jiran di sekitar kedai menghidu bau busuk yang amat menyengat. Setelah diperiksa, mereka menemui kesan simen baharu yang mencurigakan di lorong kedai tersebut. Apabila pihak polis tiba dan membongkar tempat simen itu, mereka menemui mayat mangsa dalam keadaan yang sangat tragis. Husein yang ketika itu telah melarikan diri ke kampung halamannya di Banjarnegara dengan membawa wang tunai milik mangsa akhirnya berjaya dikesan dan ditangkap oleh pihak berkuasa.

Semasa sesi soal siasat dan sidang media, Husein tidak menunjukkan tanda-tanda penyesalan yang mendalam. Dia sebaliknya kelihatan tenang dan menyatakan rasa puas hati kerana dendamnya telah terbalas. Walau bagaimanapun, tindakan kejamnya tetap tidak dapat dijustifikasi di sisi undang-undang. Pada 12 Januari 2024, Muhammad Husen telah dijatuhi hukuman 20 tahun penjara oleh Pengadilan Negeri Semarang. Dia disabitkan bersalah di bawah Pasal 339 KUHP kerana melakukan pembunuhan yang disertai dengan jenayah lain iaitu mencuri wang milik mangsa. Meskipun pihak pendakwa raya menuntut hukuman penjara seumur hidup atas faktor kekejaman mangsa dicincang dan dicor simen, mahkamah memutuskan hukuman yang lebih ringan.
Catat Ulasan for "Kisah Dendam Pekerja Terhadap Majikan yang Berakhir dengan Pembunuhan Sadis"