Kisah Suami yang Racuni Isteri Dengan Metanol


     Kes ini melibatkan pasangan suami isteri yang dianggap sebagai golongan elit dalam masyarakat Jepun iaitu Keisuke Yoshida dan isterinya, Yoko Yoshida. Kedua-duanya merupakan graduan peringkat sarjana dari universiti terkemuka, Universiti Kyoto dan Universiti Hokkaido. Mereka bekerja sebagai penyelidik di sebuah syarikat farmaseutikal gergasi dengan pendapatan tahunan melebihi 10 juta yen (sekitar RM250 000). Di mata jiran tetangga, mereka adalah pasangan sempurna yang tinggal di kondominium mewah dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Namun di sebalik kemewahan tersebut, tersimpan kebencian yang mendalam dan dendam yang akhirnya membawa kepada kematian ngeri.

     Keretakan rumah tangga mereka bermula seawal setahun selepas perkahwinan pada tahun 2011. Keisuke mendapati Yoko menjalin hubungan sulit dengan rakan sekerja selepas terdengar isterinya itu mengigau dengan menyebut nama lelaki lain ketika mabuk. Sebagai hukuman, Keisuke memaksa Yoko berhenti kerja. Tindakan ini memusnahkan kerjaya Yoko sebagai penyelidik manakala Keisuke terus cemerlang dalam kerjayanya. Jurang status dan rasa tidak puas hati ini mencetuskan kitaran toksik di mana Yoko mula mengabaikan kerja rumah dan memaki hamun suaminya. Sementara itu, Keisuke pula mula melanggan pelacur sebagai jalan keluar daripada tekanan di rumah.

     Keadaan menjadi semakin parah apabila mereka berpindah ke Amerika Syarikat selama dua tahun untuk urusan kerja Keisuke. Di sana, Keisuke mengawal ketat pergerakan Yoko dengan menyekat penggunaan kad kredit dan kereta hingga menyebabkan Yoko hidup terkongkong. Sekembalinya mereka ke Jepun pada tahun 2020, pasangan ini hidup seperti orang asing di bawah satu bumbung. Mereka tidak lagi makan bersama atau bercakap secara normal. Setiap kali berlaku interaksi, ia sering berakhir dengan keganasan domestik atau cacian melampau sehinggakan pihak polis pernah dipanggil ke rumah mereka. Walaupun hubungan sudah hancur, mereka enggan bercerai kerana terlalu mementingkan imej pasangan sempurna dan masa depan anak mereka.

     Kemuncak kejadian berlaku pada 15 Januari 2022. Keisukenyang mempunyai akses kepada bahan kimia di makmal farmaseutikalnya telah mencampurkan metanol ke dalam botol minuman keras kegemaran Yoko. Metanol adalah cecair tidak berwarna dan tidak berbau namun sangat toksik jika tertelan walaupun dalam jumlah kecil. Selepas meminumnya, Yoko mula menderita kesakitan yang amat dahsyat selama lebih 24 jam. Dia mengalami sakit kepala yang kronik, muntah meracau dan meracau akibat kesan racun pada saraf. Yoko turut menanggalkan semua pakaiannya dan terkencing di dalam bilik sebelum terjatuh dari katil berulang kali.

     Apa yang paling mengejutkan dalam kes ini adalah sikap dingin Keisuke. Ketika isterinya sedang bertarung nyawa dan mengerang kesakitan di hadapan matanya, Keisuke dilaporkan sangat tenang. Dia memesan makanan mewah, minum bir dan sempat berbalas mesej mesra menerusi aplikasi LINE dengan seorang wanita dari kelab pelacuran. Keisuke langsung tidak memanggil bantuan kecemasan sehinggalah keesokan paginya apabila Mayumi sudah tidak lagi bernyawa. Dia cuba memperdayakan pihak berkuasa dengan mendakwa isterinya mati mengejut akibat penyakit namun hasil bedah siasat menemui kandungan metanol yang mematikan dalam organ mangsa.

     Pada 30 Oktober 2024, Mahkamah Daerah Tokyo telah menjatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun terhadap Keisuke Yoshida. Hakim menyifatkan perbuatan tersebut sebagai pembunuhan yang dirancang dengan teliti dan sangat kejam kerana membiarkan mangsa menderita dalam tempoh yang lama tanpa belas kasihan.

Catat Ulasan for "Kisah Suami yang Racuni Isteri Dengan Metanol "