Kisah Sedih Lelaki yang Tergantung Dalam Biliknya Selama 27 Tahun

Kisah ini bermula pada tahun 2016 apabila sebuah portal berita di Vietnam mendedahkan sekeping foto yang meruntun jiwa. Foto tersebut memaparkan seorang lelaki dewasa yang tubuhnya kurus kering tergantung pada siling rumah dengan kedua-dua tangan dan kakinya diikat menggunakan helaian tali yang banyak. Lelaki itu dikenal pasti sebagai Cao Bac At yang ketika itu berusia 48 tahun menetap di sebuah apartmen usang di Bandar Cam Pha, Wilayah Quang Ninh, Vietnam.
Pendedahan ini pada mulanya mencetuskan kemarahan orang ramai yang menyangka ia adalah satu kes penderaan kejam oleh ahli keluarga. Namun di sebalik visual yang nampak mengerikan itu, tersimpan sebuah naratif kasih sayang seorang ibu yang sangat mendalam dan menyedihkan. Ibu kepada lelaki ini, seorang warga emas bernama Hou telah menjaga anaknya dalam keadaan sedemikian selama 27 tahun tanpa pengetahuan dunia luar.
Penderitaan Bac At sebenarnya bermula sejak dia berusia satu bulan lagi. Dia dilahirkan sebagai bayi yang sihat dan menjadi cahaya mata yang sangat dinantikan oleh pasangan Hou kerana mereka sebelum itu dikurniakan empat orang anak perempuan. Walau bagaimanapun, kegembiraan itu hanya sementara apabila Bac At diserang demam panas yang melampau. Doktor mengesahkan dia menghidapi penyakit meningitis (radang selaput otak) yang mengakibatkan komplikasi saraf yang sangat serius. Akibatnya, Bac At lumpuh seluruh badan atau quadriplegia seumur hidup.

Sepanjang membesar, Bac At hanya mampu terbaring di atas katil. Menjelang usianya 21 tahun, keadaan menjadi semakin kritikal. Akibat terlalu lama berbaring tanpa sebarang pergerakan, tubuhnya mula dipenuhi dengan kudis tekanan (bedsores) yang sangat teruk. Luka-luka tersebut menjadi berdarah dan bernanah hingga menyebabkan Bac At menjerit kesakitan setiap kali kulitnya bersentuhan dengan permukaan tilam atau kain. Melihat anak kesayangannya merintih mahu membunuh diri kerana tidak tahan dengan kesakitan itu, si ibu nekad mencari jalan penyelesaian yang unik namun drastik.
Puan Hou mendapat idea untuk menggantung anaknya bagi mengelakkan badan Bac At daripada menyentuh apa-apa permukaan. Dia menggunakan beg plastik yang diisi dengan bahan lembut seperti gabus untuk melapik tangan dan kaki anaknya sebelum diikat dengan tali bagi mengelakkan kulit anaknya melecet. Melalui cara ini, Bac At terapung di udara sekali gus membolehkan aliran udara sampai ke seluruh badannya dan luka-kudisnya mula kering. Bac At sendiri mengakui bahawa posisi tergantung itu adalah satu-satunya keadaan yang membolehkan dia berasa selesa tanpa rasa pedih yang menyeksakan. Dia telah berada dalam keadaan tergantung itu selama 27 tahun tanpa pernah keluar dari bilik tersebut.

Kehidupan harian mereka sangat mencabar. Puan Hou yang semakin dimamah usia perlu bekerja keras sebagai buruh kasar seperti mengangkat batu bata dan melombong arang batu demi menyara kos ubat-ubatan dan lampin pakai buang. Tugas membersihkan badan Bac At juga merupakan satu proses yang sangat rumit. Ibunya perlu membuka satu demi satu ikatan tali pada bahagian badan tertentu, mengelapnya dan mengikatnya semula sebelum beralih ke bahagian lain. Proses mandi yang menyeluruh bagi Bac At boleh memakan masa sehingga satu minggu untuk disiapkan.
Walaupun lumpuh fizikal, minda Bac At tetap cerdas. Dia dilaporkan mampu berkomunikasi dan mempunyai emosi yang stabil. Bac At sangat meminati sukan bola sepak dan menghabiskan masanya dengan menonton perlawanan di televisyen. Sorakan atau bunyi erangan yang keluar daripada mulutnya merupakan caranya mengekspresikan kegembiraan apabila pasukan kegemarannya menjaringkan gol.

Kisah ini hanya terbongkar apabila Puan Hou yang ketika itu sudah mencecah usia 86 tahun, mula menyedari bahawa tenaganya semakin hilang. Dia bimbang jika dirinya meninggal dunia secara mengejut, tiada sesiapa yang akan tahu keberadaan anaknya yang tergantung itu dan Bac At mungkin akan mati kelaparan. Disebabkan rasa tanggungjawab dan kasih sayang itulah, Puan Hou sendiri yang meminta bantuan wartawan untuk menyebarkan kisah mereka agar ada pihak yang sudi menjaga anaknya setelah be tiada nanti.
Setelah kisah ini tular, rakyat Vietnam yang pada mulanya mengecam akhirnya tunduk dengan kecekalan hati Puan Hou. Pelbagai tabung bantuan telah dilancarkan bagi membantu meringankan beban dua beranak ini.
Catat Ulasan for "Kisah Sedih Lelaki yang Tergantung Dalam Biliknya Selama 27 Tahun"