KISAH PEMBUNUHAN ANEH RIKA OKADA

     Pada awal tahun 2014, Rika Okada, seorang jururawat berusia 29 tahun yang menetap di Osaka, Jepun menjalani kehidupan harian seperti biasa. Dia yang dikenali sebagai seorang yang berdikari bekerja sepenuh masa dalam sektor kesihatan. Namun pada akhir Mac 2014, Rika tiba-tiba hilang tanpa khabar hingga menyebabkan keluarganya mula berasa bimbang. Setelah beberapa hari gagal menghubunginya, laporan orang hilang dibuat kepada pihak polis.

     Siasatan awal polis mendapati tiada tanda pencerobohan atau kekacauan di kediaman Rika. Barangan peribadinya juga tidak menunjukkan petunjuk jelas tentang pergaduhan. Semasa menyemak aktiviti terakhirnya, polis mendapati bahawa beberapa hari sebelum hilang, Rika menulis di Facebook bahawa dia akan bertemu seorang sahabat lama yang tidak ditemuinya sejak lebih 10 tahun. Hantaran ini kemudian menjadi petunjuk utama dalam siasatan awal.

     Lebih dua bulan berlalu tanpa perkembangan besar sehingga akhir Mei 2014, polis telah menemui satu transaksi kewangan yang mencurigakan. Rekod menunjukkan kad kredit Rika digunakan untuk membayar penghantaran sebuah kotak kayu besar dari Osaka ke Tokyo serta sewaan sebuah ruang simpanan barang di kawasan Hachioji, Tokyo. Perkara ini menimbulkan tanda tanya kerana Rika telah lama dilaporkan hilang. Bertindak atas maklumat tersebut, polis pergi ke lokasi ruang simpanan berkenaan. Di dalam stor itu, mereka menemui kotak kayu besar kira-kira dua meter panjang yang dihantar melalui perkhidmatan pos. Kotak itu tidak pernah dibuka sejak penghantaran. Pada bahagian luarnya terdapat label yang bermaksud boneka menyebabkan ia tidak disyaki semasa proses penghantaran.

     Apabila pihak berkuasa membuka kotak tersebut, mereka menemui jasad Rika Okada di dalamnya. Mayatnya berada dalam keadaan membongkok dan dibungkus kemas. Pemeriksaan forensik mendapati tubuh Rika mempunyai lebih daripada sedozen kesan tikaman namun tiada kecederaan defensif pada tangan atau lengan zekali gus menunjukkan mangsa kemungkinan besar tidak sedar, dilemahkan terlebih dahulu atau tidak mampu melawan ketika serangan berlaku. Penemuan ini mengesahkan bahawa Rika telah dibunuh. Mayatnya dihantar sebagai bungkusan pos dari Osaka ke Tokyo sebelum disimpan di ruang simpanan bagi mengelakkan penemuan segera. Cara pembunuhan dan pengendalian mayat ini menunjukkan jenayah yang dirancang dengan teliti, bukan perbuatan spontan.


     Siasatan polis kemudian tertumpu kepada individu yang mempunyai akses kepada kad kredit dan pasport Rika. Tidak lama selepas itu, pihak berkuasa menemui seorang wanita bernama Yuri Oishi yang merupakan kenalan lama Rika sejak sekolah rendah telah meninggalkan Jepun menuju ke Shanghai, China menggunakan pasport Rika. Perbuatan ini mencetuskan kecurigaan serius kerana ia menunjukkan cubaan untuk melarikan diri dan menutup jejak. 

      Yuri Oishi bagaimanapun akhirnya ditahan oleh pihak berkuasa China atas kesalahan imigresen. Polis Jepun mengesahkan bahawa suspek adalah orang terakhir yang dipercayai bertemu Rika sebelum hilang. Jepun kemudian memohon ekstradisi supaya Oishi dibawa pulang untuk siasatan lanjut dan pendakwaan berkaitan kes pembunuhan tersebut.

     Berhubung motif pembunuhan, pihak berkuasa Jepun tidak mendedahkan secara rasmi bagi menjaga integriti perbicaraan. Apa yang diketahui secara sahih adalah bahawa pembunuhan tersebut melibatkan hubungan peribadi antara mangsa dan suspek. Setakat maklumat yang tersedia dari sumberi, tiada laporan rasmi yang secara umum menunjukkan keputusan mahkamah akhir seperti sabitan atau hukuman dijatuhkan terhadap Yuri Oishi. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN ANEH RIKA OKADA"