KISAH PEMBUNUHAN KEJAM LARISSA RODRIGUES


     Pada tahun 2025, sebuah kes kematian tragis telah menggemparkan bandar Ribeirao Preto, di negeri Sao Paulo, Brazil apabila seorang jurulatih pilates berusia 37 tahun, Larissa Rodrigues ditemui meninggal dunia di kediamannya sendiri. Pada peringkat awal, kematian tersebut disangka berpunca daripada masalah kesihatan biasa. Siasatan lanjut pihak berkuasa bagaimanapun mendapati kematian itu melibatkan unsur jenayah serius iaitu pembunuhan melalui keracunan yang didakwa dilakukan oleh suami dan ibu mentua mangsa sendiri.

     Larissa Rodrigues dikenali sebagai seorang wanita aktif, sihat dan komited terhadap kerjayanya sebagai jurulatih pilates. Dia menjalani gaya hidup sihat, mempunyai rangkaian sosial yang luas serta disenangi oleh rakan-rakan dan pelajarnya. Dari sudut luaran, kehidupannya kelihatan stabil dan teratur.

     Namun keadaan rumah tangga Larissa mula berubah pada awal tahun 2025. Hubungannya dengan suaminya, Dr. Luiz Antonio Garnica, seorang pakar bedah berusia 38 tahun dilaporkan menjadi semakin tegang selepas Larissa dipercayai mengetahui bahawa suaminya itu menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita lain. Penemuan itu menimbulkan konflik serius dalam perkahwinan mereka dan memberi kesan besar terhadap emosi mangsa.

     Pada sekitar Februari hingga Mac 2025, Larissa mula mengalami masalah kesihatan yang berulang dan sukar dijelaskan. Dia sering mengadu berasa lemah, loya, pening dan tidak bermaya walaupun sebelum itu dia tidak mempunyai sejarah penyakit kronik.

      Menurut keterangan rakan-rakan terdekat, Larissa menyedari satu perkara yang amat membimbangkan di mana setiap kali ibu mentuanya, Elizabete Arrabaca, datang melawat ke rumah, simptom tersebut akan muncul atau menjadi semakin teruk. Perkara ini pernah diceritakan kepada rakan-rakannya. Cuma pada waktu itu, tiada siapa menyangka bahawa aduan tersebut berkait dengan tindakan jenayah.

     Pada 22 Mac 2025, Larissa ditemui tidak bernyawa di apartmennya. Pihak perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia sebelum ketibaan mereka. Keadaan mayat serta situasi di tempat kejadian menimbulkan kecurigaan lalu polis membuka siasatan sebagai kematian mencurigakan.


     Suami mangsa memaklumkan bahawa dia menemui isterinya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan cuba memberikan bantuan kecemasan. Walau bagaimanapun, polis mendapati terdapat keterangannya tidak konsisten termasuk tanda-tanda bahawa kematian berlaku lebih awal daripada masa yang didakwa.

     Hasil bedah siasat dan ujian toksikologi yang dijalankan mengesahkan bahawa Larissa meninggal dunia akibat keracunan. Ujian forensik menemui kehadiran chumbinho yakni sejenis racun tikus yang mengandungi bahan toksik berbahaya dan diharamkan untuk kegunaan domestik di Brazil. Selain itu, analisis lanjut turut mengesan kandungan plumbum dalam tubuh mangsa. Pakar forensik berpendapat bahawa Larissa tidak diracun sekali gus. Dia sebaliknya diracun secara berperingkat dalam tempoh tertentu yang akhirnya menyebabkan kegagalan fungsi tubuh dan membawa kepada kematian.

     Berdasarkan bukti kukuh yang dikumpulkan, pihak polis Brazil pada Mei 2025 telah menahan suami mangsa, Dr. LuizAntonio Garnica dan ibunuyaz Elizabete Arrabaca. Kedua-duanya disyaki terlibat secara langsung dalam perancangan dan pelaksanaan pembunuhan tersebut.


     Ibu mentua mangsa dipercayai bertanggungjawab memperoleh racun manakala suami mangsa pula didakwa mengetahui tindakan tersebut serta gagal menghalang atau melaporkannya. Malah dia juga disiasat atas dakwaan mengubah atau membersihkan tempat kejadian yang boleh dikategorikan sebagai cubaan menghapuskan bukti.

     Pihak berkuasa percaya bahawa motif utama pembunuhan berkait rapat dengan konflik rumah tangga dan hubungan sulit suami mangsa. Selain itu, faktor lain seperti pertikaian keluarga dan kemungkinan isu kewangan turut disiasat sebagai unsur tambahan yang mendorong kepada tindakan jenayah tersebut. Menurut siasatan polis, Larissa dipercayai sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan perkahwinannya, sesuatu yang mungkin menimbulkan kebimbangan kepada pihak-pihak tertentu.

     Sehingga kini, suami dan ibu mentua mangsa telah didakwa secara rasmi atas tuduhan pembunuhan dengan niat. Kedua-dua tertuduh masih berada dalam tahanan sementara menunggu perbicaraan penuh. Beberapa sesi pendengaran awal telah diadakan bagi merekodkan keterangan saksi dan menilai bukti forensik. Namun keputusan muktamad mahkamah masih belum diumumkan dengan kes ini masih dalam proses perundangan.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM LARISSA RODRIGUES"