Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH STACEY KONWISER: Wanita Penjaga Harimau yang Mati Akibat Diserang Harimau

     Pada 15 April 2016, seorang penjaga zoo berpengalaman iaitu Stacey Konwiser telah mati akibat diserang oleh seekor harimau Malayan di Palm Beach Zoo, Florida, Amerika Syarikat. Stacey yang ketika itu berusia 38 merupakan ketua penjaga harimau di zoo tersebut dan dikenali dengan gelaran Tiger Whisperer kerana kemampuannya menjalin hubungan erat serta memahami perilaku harimau-harimau yang dijaganya.

     Stacey merupakan seorang wanita berdedikasi dalam bidang konservasi haiwan. Dia memiliki ijazah sarjana dalam bidang konservasi biologi dari Mount Holyoke College dan menimba pengalaman kerja tambahan di Australia sebelum kembali ke Amerika Syarikat. Sepanjang kariernya, Stacey turut pernah bertugas di The Living Desert Zoo di California yang tempat dia bertemu dengan suaminya yang juga merupakan penjaga zoo. Di Palm Beach Zoo, Stacey memainkan peranan penting dalam penjagaan dan pendidikan awam mengenai empat ekor harimau Malayan yang terancam kepupusan. Keprihatinannya terhadap nasib spesies tersebut sangat mendalam. Dia juga sering terlibat dalam ceramah dan program kesedaran yang dikenali sebagai Tiger Talk.

     Namun pada hari kejadian, sesuatu yang luar biasa berlaku di sebalik rutin harian Stacey. Dia dilaporkan telah memasuki kawasan night house iaitu sebuah ruang khas di belakang pentas yang menempatkan harimau-harimau semasa haiwan tersebut tidak dipamerkan kepada umum. Kawasan ini dikawal ketat dan tidak boleh dimasuki tanpa prosedur keselamatan yang teliti. Stacey dipercayai sedang membuat persiapan untuk sesi ceramah Tiger Talk apabila dia secara tidak sengaja memasuki kandang seekor harimau Malayan jantan bernama Hati. Menurut siasatan awal, pintu kandang tersebut tidak berkunci dengan sempurna di mana terdapat kemungkinan wujud halangan visual seperti kotak besar yang tidak tercatat dalam pelan yang menyebabkan Stacey gagal menyedari bahawa harimau itu masih berada dalam kandang tersebut.

     Serangan berlaku dengan pantas dan ganas. Harimau itu dikatakan menyerang leher serta bahagian belakang Stacey hingga menyebabkan kecederaan yang amat serius. Menurut laporan autopsi rasmi, Stacey mengalami patah pada tulang belakang serviks, saluran darah utama terputus serta kesan koyakan teruk akibat gigitan. Walaupun pasukan zoo segera memberikan bantuan dan membawa beliau ke hospital, Stacey disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan yang terlalu parah. Beberapa laporan awal mendakwa dia sempat membuat panggilan kecemasan melalui radio sebelum serangan tetapi kenyataan ini kemudian dinafikan oleh pihak zoo sebagai satu kekeliruan.

     Kejadian tersebut merupakan kejadian pertama dalam sejarah Palm Beach Zoo di mana seorang pekerja maut akibat serangan haiwan. Berikutan tragedi itu, pihak zoo terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi tujuan siasatan dan pengukuhan semula protokol keselamatan. Beberapa agensi kerajaan termasuk Occupational Safety and Health Administration (OSHA), Florida Fish and Wildlife Conservation Commission serta polis tempatan terlibat dalam penyiasatan lanjut bagi menentukan sama ada kecuaian prosedur menjadi punca utama kejadian ini. Penemuan awal mendapati bahawa pintu kandang tidak dikunci menggunakan padlock seperti yang ditetapkan dalam piawaian keselamatan.

     Harimau yang menyerang Stacey tidak dibunuh serta-merta seperti dalam beberapa kes serupa di tempat lain. Pihak zoo sebaliknya mengambil keputusan untuk memelihara harimau tersebut yang diberi nama Hati dan menempatkannya dalam kawasan khas. Setahun selepas kejadian itu, harimau Hati dilaporkan mati ketika menjalani pembedahan akibat komplikasi kesihatan kronik dan bukan kerana kaitan langsung dengan kejasian tersebut.

     Dalam usaha memperingati legasi Stacey, Palm Beach Zoo menubuhkan satu tabung khas dinamakan Stacey Konwiser Memorial Fund yang bertujuan menyokong program pemuliharaan harimau Malayan dan latihan profesional penjaga haiwan.

Catat Ulasan for "KISAH STACEY KONWISER: Wanita Penjaga Harimau yang Mati Akibat Diserang Harimau"