Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM HO YEN NHI : Dibunuh gara-gara Hutang


     Pada 10 Oktober 2023, negara Vietnam dikejutkan oleh satu kes pembunuhan kejam yang membabitkan seorang gadis muda iaitu Ho Yen Nhi yang bukan sahaja dikenali dengan kecantikannya tetapi juga kerana pencapaiannya dalam dunia peragaan. Ho Yen Nhi yang berusia 17 tahun ketika itu merupakan naib johan pertandingan Miss Ao Dai Vietnam 2022. Sayangnya, kehidupannya yang masih panjang telah diragut dengan kejam oleh seorang lelaki bernama Ta Duy Khanh. 

     Hubungan antara Khanh yang berusia 38 tahun dan Ho Yen Nhi dikatakan bermula sekitar awal tahun 2023. Berdasarkan keterangan polis, hubungan mereka bukan sekadar hubungan biasa malah turut melibatkan urusan kewangan. Ho Yen Nhi dikatakan pernah meminjam wang daripada Khanh sebanyak kira-kira 50 juta dong Vietnam (lebih kurang RM10 000). Namun urusan hutang ini bukan sahaja tidak diselesaikan bahkan menjadi punca utama pertengkaran yang membawa kepada tragedi berdarah tersebut.

     Pada petang kejadian, Ho Yen Nhi dikatakan telah pergi ke apartmen Khanh yang terletak di Vinhome Ocean Park, daerah Gia Lam, Hanoi. Di sana, berlaku satu pertengkaran hebat antara mereka berdua. Saksi dan penyiasatan awal mendapati bahawa pertengkaran itu berpunca daripada isu hutang yang belum dilunaskan oleh Ho Yen Nhi. Ketika perbalahan memuncak, Khanh bertindak di luar kewarasan dengan menikam mangsa berulang kali menggunakan senjata tajam. Tikaman tersebut sangat parah hingga menyebabkan Ho Yen Nhi meninggal dunia di tempat kejadian.

      Cuma apa yang lebih mengerikan tentang pembunuhan itu ialah cara Khanh memperlakukan mayat mangsa selepas kejadian. Dalam usaha untuk menghapuskan bukti jenayah, Khanh telah memotong mayat Ho Yen Nhi kepada beberapa bahagian. Bahagian tubuh tersebut dimasukkan ke dalam kotak polisterin berwarna putih dan kemudian dibalut dengan pita pelekat agar tidak dapat dihidu oleh orang lain. Dia seterusnya menghubungi sebuah teksi dari syarikat Long Bien untuk menghantar bungkusan berisi mayat tersebut ke satu lokasi berhampiran Sungai Merah (Red River) di kawasan Giang Cao, daerah Bat Trang.

     Setibanya di lokasi tersebut, Khanh membuang beberapa bahagian mayat ke dalam sungai dan selebihnya ditanam di tebing sungai. Demi memastikan lokasi pengebumian mayat tidak dikesan, dia membeli beg simen dan cuba menutup kawasan tersebut dengan lapisan konkrit. Namun disebabkan kawasan itu sering dilalui orang ramai, Khanh terpaksa mencari lokasi lain untuk menanam sisa tubuh mangsa pada keesokan harinya.

     Bagi menyembunyikan jejak jenayahnya, Khanh turut memusnahkan semua barangan peribadi mangsa. Dua buah telefon pintar milik Ho Yen Nhi dibuang ke dalam sungai manakala beg tangan dan seliparnya disembunyikan di rumah sewa milik Khanh di Bat Trang. Dia kemudiannya melarikan diri ke kampung halamannya di Thai Binh dengan niat untuk meloloskan diri dari tangkapan pihak berkuasa.

     Walau bagaimanapun, jenayah sekejam ini tidak dapat disembunyikan lama. Pada 13 Oktober 2023, penduduk setempat menemui beberapa potongan tubuh manusia yang terapung di tebing Sungai Merah. Penemuan tersebut segera dilaporkan kepada pihak polis dan siasatan terperinci pun dijalankan. Hasil forensik mengesahkan bahawa mayat tersebut ialah Ho Yen Nhi. 

     Pihak berkuasa segera mengesan suspek utama berdasarkan hubungan peribadi mereka dan bukti transaksi serta saksi. Hanya dalam tempoh kurang 24 jam yakni pada malam 14 Oktober 2023, Khanh berjaya diberkas di kampung halamannya. Ketika diserbu, Khanh cuba membunuh diri menggunakan sebilah pisau tetapi gagal. Dia kemudian ditahan dan dibawa ke Hanoi untuk disoal siasat. Semasa soal siasat, Khanh mengakui semua perbuatannya termasuk motif kewangan dan dendam berkaitan hutang yang tidak dibayar. Dia turut membawa polis ke lokasi penemuan sisa-sisa tubuh yang lain. 

     Perbicaraan kes ini berlangsung di Mahkamah Rakyat Bandaraya Hanoi. Pada 30 Julai 2024, mahkamah menjatuhkan hukuman mati kepada Tạ Duy Khanh atas kesalahan membunuh dan tambahan 5 tahun penjara atas kesalahan merompak harta benda mangsa. Hukuman ini dijalankan secara kumulatif yang bermaksud hukuman akhir tetap hukuman mati. Mahkamah menegaskan bahawa perbuatan Khanh adalah terancang, kejam dan bertentangan dengan nilai kemanusiaan.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM HO YEN NHI : Dibunuh gara-gara Hutang"