Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kejadian Arah Sesat: Kematian Regina Murmura Akibat Arahan Waze di Brazil

 
     Pada petang 4 Oktober 2015 yang tenang di bandar pesisir Rio de Janeiro, Brazil, sepasang suami isteri warga emas bernama Regina Murmura, 70 tahun dan suaminya Francisco Murmura, 69 tahun bersiap untuk memandu ke rumah sahabat lama mereka di Niteroi. Mereka menaiki sebuah kereta Fiat Panda berwarna putih. Seperti kebanyakan pemandu moden, mereka bergantung sepenuhnya kepada aplikasi navigasi Waze untuk mencari laluan terbaik. Tanpa mereka sedari, keputusan itu akan membawa mereka ke tempat terakhir yang pernah mereka sangkakan iaitu sebuah kawasan pelarian jenayah bersenjata di tengah Rio.

     Kisah ini bermula dengan satu kesilapan kecil yang membawa akibat besar iaitu nama jalan yang sama di dua lokasi berbeza. Di kawasan metropolitan Rio de Janeiro, terdapat Avenida Quintino Bocaiuva, sebuah kawasan selamat berhampiran pantai di Niteroi. Namun di kawasan lain yang hanya dipisahkan oleh beberapa kilometer, terdapat Rua Quintino Bocaiuva yang terletak di dalam favela Caramujo iaitu antara kawasan paling berbahaya di bandar itu yakni dikawal oleh geng bersenjata dan pengedar dadah.

      Pasangan Murmura, yang tidak mengenali selok-belok jalan raya Rio mengikuti arahan Waze yang mencadangkan laluan paling cepat. Tanpa memberi amaran atau penjelasan, Waze membawa mereka terus ke Rua Quintino Bocaiuva iaitu ke tengah-tengah kawasan kumuh yang terkenal dengan keganasan dan aktiviti haram. Aplikasi tersebut hanya menilai berdasarkan faktor lalu lintas dan jarak, bukannya risiko keselamatan atau kadar jenayah kawasan tersebut.

     Ketika kereta mereka mula memasuki kawasan itu, suasana di sekitar sudah berubah. Bangunan-bangunan mula kelihatan usang, jalan menjadi sempit dan tidak rata dan sekumpulan lelaki muda dilihat berlegar di tepi jalan. Regina dan Francisco mula berasa tidak sedap hati. Namun pada ketika itu, mereka sudah terlalu jauh ke dalam kawasan tersebut untuk berpatah balik. Penduduk tempatan kemudian melaporkan bahawa beberapa anggota geng mula mengekori kereta mereka dengan penuh curiga. Di kawasan seperti Caramujo, kehadiran kenderaan asing sering dianggap sebagai ancaman khususnya apabila geng di situ sering menjadi sasaran polis yang melakukan serbuan secara tiba-tiba. Melihat kereta Fiat putih itu, mereka menyangka ia milik polis yang menyamar. Dalam beberapa saat, suasana bertukar menjadi ganas.

     Ketika Francisco cuba memusingkan stereng untuk berpatah balik, tembakan dilepaskan ke arah kereta mereka. Peluru bertalu-talu menembusi tingkap dan badan kereta. Francisco menunduk sambil menjerit meminta isterinya berlindung. Namun malangnya, salah satu peluru terkena kepala Regina sekali gus menyebabkannya rebah serta-merta di tempat duduk penumpang. Dalam keadaan panik dan berdarah, Francisco terus memandu keluar dari kawasan itu secepat mungkin, menempuh jalan sempit dan berlubang sambil menekan hon. Setelah berjaya keluar dari kawasan berbahaya, dia berhenti di sebuah kedai berhampiran dan meminta bantuan orang awam. Penduduk tempatan yang melihat kejadian segera menghubungi polis dan ambulans tetapi Regina telah meninggal dunia di tempat kejadian.

     Apabila ditemu bual media kemudian, Francisco hanya mampu berkata dalam kesedihan yang mendalam, “Kami hanya ikut Waze. Kami tidak tahu kami masuk ke kawasan maut.”

     Pihak Waze yang ketika itu dimiliki oleh Google mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan mereka amat sedih dan bersimpati terhadap keluarga mangsa serta berjanji akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Brazil untuk menilai semula sistem pemetaan mereka. Walau bagaimanapun, syarikat itu juga menegaskan bahawa aplikasi mereka tidak memiliki data jenayah yang membolehkan sistem memberi amaran tentang tahap bahaya sesuatu kawasanbkerana maklumat tersebut bukan sebahagian daripada pangkalan data navigasi awam.

     Bagi memahami kejadian ini sepenuhnya, seseorang perlu memahami konteks sosial di Rio de Janeiro. Kawasan favela ialah penempatan setinggan yang dibina di lereng bukit yang sering menjadi tempat perlindungan bagi penduduk miskin selain dikawal ketat oleh geng bersenjata. Kawasan seperti Caramujo dikenali sebagai zon merah. Ia tidak memiliki kehadiran polis tetap dan undang-undang di situ sering ditentukan oleh kumpulan jenayah. Penduduk luar jarang sekali berani memasuki kawasan sebegitu tanpa alasan kukuh. Disebabkan itu, apabila Regina dan suaminya secara tidak sengaja masuk ke situ, mereka telah melanggar sempadan tidak rasmi yang boleh membawa maut.

Catat Ulasan for "Kejadian Arah Sesat: Kematian Regina Murmura Akibat Arahan Waze di Brazil"